Monday, June 27, 2011

Medan sedia banyak peluang perniagaan

MEDAN - Kebanyakan rakyat Malaysia ke Indonesia khususnya Jakarta, Bandung dan Medan semata-mata untuk melancong dan membeli-belah, tambahan pula tambang penerbangan yang semakin murah sekarang ini.

:Tidak dinafikan negara republik itu banyak destinasi pelancongan menarik, jadi tidak hairanlah setiap kali menjelang akhir tahun ramai rakyat Malaysia berkunjung ke negara jiran itu.

Barangkali kerana batas waktu, kaji selidik produk yang sesuai dibawa masuk ke Malaysia tidak sempat dilakukan, dan mungkin ada juga khuatir tertipu kerana tidak pernah berurusan dengan pengusaha di Indonesia.

Atas faktor itu, Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahdan cuba membina rangkaian kerjasama ekonomi dengan golongan pengusaha di Medan.

Satu dialog diadakan pada 16 Jun lalu dengan wakil Walikota Medan, Drs Zulkarnaen dan disertai beberapa anggota Himpunan Pengusaha Muda Indonesia (HIPMI) Medan yang membincangkan secara positif peluang-peluang ekonomi di wilayah itu.

Agak menarik apabila Drs Zulkarnanen mencadangkan agar usahawan dari Malaysia segera merebut peluang mengadakan usaha sama perniagaan kerana Medan mempunyai lambakan bahan mentah dan tenaga buruh yang ramai.

“Prospek bisnes boleh dikembangkan lagi kerana kota ini menjadi transit sangat prospektif dengan seramai 7 juta penduduk, faktor buruh dan pasaran tidak menjadi masalah di sini,” katanya pada dialog itu yang turut dihadiri ahli Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Selayang yang menyertai rombongan ke Medan.

Menurutnya, cukai perniagaan dikenakan pemerintah juga paling rendah berbanding negara lain sebagai insentif kepada pelabur yang berminat.

Menurut Drs Zulkarnanen, usahawan Malaysia boleh menceburi perniagaan berasaskan makanan dan minuman kerana bidang itu tidak banyak dipelopori buat masa ini.

“Memandangkan makanan Indonesia juga popular di Malaysia seperti ayam penyet, nasi Padang dan bakso, mungkin usahawan Malaysia juga boleh memasarkan makanan dari negara anda ke sini.

“Kita bangsa yang serumpun, mungkin seleranya tidak banyak beza. Tidak mustahil satu hari nanti makanan Malaysia seperti ikan bakar dan sebagainya akan popular di sini (Medan),” katanya.

Dalam dialog selama hampir dua jam itu, pelbagai persoalan turut dilontar berkaitan hubungan diplomatik dan sikap anti Malaysia oleh sebilangan rakyat republik itu.

Menurut Sohaimi yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Selayang, jelas isu remeh-temeh sengaja ditimbulkan oleh sesetengah pihak tidak memberikan kesan langsung terhadap hubungan diplomatik dua negara itu.

Pada sebelah malam, satu majlis menandatangani kerjasama francais diadakan antara pemilik Ayam Penyet Ria dari Indonesia, Budianto Tanaka dengan Positive Touch Sdn Bhd dari Malaysia yang diwakili Dazma Shah Daud.

Majlis disaksikan oleh Sohaimi dan Gabernor Sumatera Utara, H Gatot Pujo Nugruho turut dihadiri Anggota Majlis Permusyawaratan Rakyat Republik Indonesia (MPR-RI), Senator Dr Rahmat Shah dan wakil Konsul Malaysia di Medan, Norlin Osman.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: