Tidak dinafikan lagu Kau Ilhamku mempunyai kesan yang cukup kuat bukan saja kepada pendengar, malah kepada penyanyinya sendiri, Man Bai.
Walaupun tuan punya badan kurang mendapat publisiti media, namun lagu tersebut membuatkan nama Man Bai tidak pernah dilupakan.
Sekadar mengembalikan ingatan, lagu tersebut dipetik dari album solo pertamanya berjudul ‘Man Bai’ pada 1995 yang berjaya mengangkat Man Bai sebagai antara penyanyi lelaki terbaik negara.
Setahun kemudian, Man Bai kembali dengan album kedua ‘Positif’ tetapi sayang impaknya tidak sebesar album pertama.
Setelah itu, bekas vokalis kumpulan Gersang ini lebih selesa menumpukan kerja di belakang tabir.
Tahun 2011 menyaksikan penyanyi yang terkenal dengan imej botak ini mengubat kerinduan peminat dengan kemunculan album solo terbarunya, ‘Inspirasi’.
Menurut Man Bai, semangat yang membuak-buak untuk menyanyi dan berkarya adalah punca dia kembali memeriahkan industri hiburan.
“Album ini berjudul Inspirasi kerana menggambarkan kekuatan yang diberi kepada saya untuk menghasilkan lagu-lagu yang disukai.
“Saya sendiri tidak tahu berapa lama lagi akan bertahan dalam industri, tetapi sekurang-kurangnya saya berani mengambil cabaran untuk terus berkarya,” katanya ketika majlis pra dengar album Inspirasi di pejabat Sony Music Entertainment.
Bercerita lanjut, Man Bai berkata, album yang akan dipasarkan penghujung bulan ini turut memuatkan lagu popular Gersang, Masih Aku Terasa serta Kau Ilhamku, di samping lima lagu baru.
“Bagi menghargai permintaan peminat, saya merakam kedua-dua lagu dengan susunan muzik yang baru.
“Malah lagu Masih Aku Terasa, saya terpaksa ‘berpatah balik’ bagi mendapatkan feel dan nyanyian yang hampir sama dengan 23 tahun lalu,” katanya yang muncul dengan album pertama Gersang pada 1988.
Lagu lain yang tidak kurang hebatnya adalah single pertama, Kita Cinta (duet dengan Datuk Khadijah Ibrahim) yang disuntik elemen muzik 80-an, selain lagu Air Mata, Tentang Cinta, Sendiri dan Awan Berlalu Pergi.
Proses penghasilan album ini memakan masa empat bulan, Man Bai bertindak sendiri sebagai penerbit dan bekerjasama dengan beberapa komposer serta penulis lirik seperti RA, Asmin Mudin, Alim dan Ahmad Zahir.
Jika diamati, kebanyakan lagu di dalam album ini berentak perlahan dan sarat dengan ‘jiwa’ cinta.
“Pilihan lagu tidak boleh terlalu rancak kerana saya ada identiti sendiri.
“Lagipun, ini adalah cara saya untuk mengalihkan perhatian masyarakat kepada Man Bai dan seterusnya menyedari buah tangan terbaru saya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: