Tuesday, June 21, 2011

Luahan hati Kristal


BIAR pun kecewa Kristal tetap tampil dengan album terbaru.


BIARPUN telah melancarkan album ke-10 mereka pada penghujung tahun lalu, bekas anak didik Awie, kumpulan Kristal tidak dapat mengelakkan rasa kecewa terhadap beberapa stesen radio tanah air.

Kekecewaan itu bukanlah baru berputik sebaliknya ia telah lama tercetus.

Alasan yang diberikan ialah beberapa album Kristal sebelum ini dikatakan tidak memenuhi piawaian yang telah ditetapkan oleh stesen radio berkenaan.

Berikutan itu, buah tangan terbaru mereka tidak berkumandang dicorong radio milik syarikat berkenaan seterusnya menjauhkan peminat dengan produk terbaru yang dihasilkan mereka.

“Walaupun telah hampir setengah tahun Luahan Hati dikeluarkan, adakalanya peminat masih bertanya bilakah Kristal ingin menghasilkan lagu baru.

“Saya sendiri tidak tahu apa lagi ingin dikatakan. Terlalu banyak alasan yang diberikan apabila kami menghantar demo kepada mereka,” luah vokalis Kristal, Mohd. Razlan Mohamed Yusof yang lebih selesa disapa Lan, ketika ditemui baru-baru ini.

Bagi Lan, alasan biasa yang diterima daripada pihak berkenaan adalah Kristal harus menunggu giliran sebelum lagu yang dihantar boleh diputarkan.

Selain itu, jelasnya, ada juga ketikanya mereka diberikan alasan bahawa konsep yang mereka bawakan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

“Kami ada juga mengubah lagu-lagu kami untuk disesuaikan dengan kehendak mereka (radio), namun ia tetap sama, malah mereka akan memberi alasan lain pula.

“Kami sendiri kadang-kadang jadi tidak faham apa sebenarnya yang mereka mahukan. Mereka memberi alasan yang begitu ketat untuk album kami diputarkan tetapi ada artis begitu mudah lagu mereka berkumandang distesyen radio berkenaan.

“Nampak sangat sikap pilih bulu mereka. Kami sebenarnya sudah tidak larat untuk mengikut kerenah mereka.

“Tetapi dalam industri ini kami sebenarnya memerlukan mereka, begitu juga mereka. Jadi, masing-masing kenalah profesional,” ujar Lan meluahkan segala yang terbuku di hati mereka selama ini.

Jelas Lan lagi, adakalanya senario yang berlaku itu menggoncang jiwa mereka untuk terus berjuang dalam industri seni.

Baginya, semangat berkobar untuk memberikan buah tangan terbaru khas buat para peminat sering kali dihantui perasaan tawar hati.

“Kadang-kadang semangat kami seolah-olah hilang untuk terus bergiat aktif dalam dunia seni memandangkan sukarnya untuk mendapat sokongan stesyen radio berkenaani.

“Apabila difikirkan balik, kita penat buat album dan rakam lagu tetapi peminat tidak tahu. Itulah yang membuatkan kami seolah-olah tawar hati,” ujar Lan lagi.

Namun, jelas Lan, tidak semua stesen radio yang memberikan reaksi sama, ada juga yang sudi memutarkan lagu mereka.

Bagi Lan, itu sedikit sebanyak menguatkan semangat mereka untuk terus menjadi anak seni dan melahirkan lagu-lagu baru.

“Alhamdulillah ada juga Radio yang sudi memutarkan lagu kami seperti Luahan Hati, tetapi hanya beberapa stesen sahaja terutamanya milik kerajaan.

“Yang lain itu ada juga diputarkan lagu kami, tetapi lagu-lagu dari album terdahulu seperti Seragam Hitam dan Resam Pak Belalang,” jelas Lan mewakili ahli Kristal yang lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: