Tuesday, June 21, 2011

Cinta Akhir beri peringatan


GANDINGAN Liyana Jasmay dan Iz Suliani dalam Cinta Akhir.


PELAKON Liyana Jasmay, Pierre Andre dan Iz Suliani disatukan dalam sebuah filem pendek, Cinta Akhir, arahan Aaron Koh.

Filem yang menjalani penggambaran selama dua hari itu dibuat sempena kempen Gaya Hidup Bebas Rokok “ASAP" yang dibiayai oleh Dana Belia 1Malaysia (Dana Belia) yang ditaja oleh Yayasan 1Malaysia Development Berhad.

Objektif utama pembikinan filem berdurasi 10 minit itu adalah untuk menyampaikan mesej anti merokok kepada rakyat Malaysia.

Bagi ketiga-tiga artis tersebut, pembabitan mereka adalah sebagai sumbangan peribadi bagi menjayakan kempen tersebut.

Liyana Jasmay menyesal

Pelakon Liyana Jasmay mengaku menyesal dengan apa yang berlaku ke atasnya baru-baru ini yang dituduh sebagai orang ketiga dalam perhubungan cinta antara Fizz Fairuz dan Almy Nadia.

Liyana, 23, tidak sangka perkara (status dalam lama sosial Twitter) yang dianggap gurauan antaranya dengan Fizz, dianggap serius oleh pihak lain.

“Cukuplah, saya tidak mahu komen apa-apa lagi. Kalau saya jawab ia semakin berlarutan. Apa yang sudah berlaku, tidak dapat ditarik balik.

Sekarang ini saya sudah tahu kedudukan batas gurauan.

“Disebabkan kejadian ini, saya terpaksa bataskan gurauan dengan rakan-rakan artis, terutamanya menerusi Internet. Bila dipaparkan secara terbuka, orang suka membuat pelbagai andaian, sedangkan saya dan rakan hanya bergurau,” katanya menepis dakwaan menjalin hubungan dengan Fizz.

Beliau yang ditemui pada majlis pelancaran kempen Gaya Hidup Bebas Rokok “ASAP" di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur, baru-baru ini berkata, berikutan kejadian yang dianggap seperti tidak masuk akal itu, Liyana mengambil keputusan untuk mengawal pergerakan dan pertuturannya apabila berada di khalayak.

“Lain kali saya tidak akan bersikap seperti selalu (ceria) terutamanya di tempat terbuka atau dengan orang yang tidak dikenali, selain kawan-kawan.

“Saya takut sangat perkara seperti ini berulang dan menjadi semakin besar. Sudah tiba masanya untuk saya mengambil sikap berhati-hati bila berada di tempat terbuka, takut nanti disalah erti akan sikap saya yang cepat mesra ini,” katanya.

Pelakon yang sedang mengikuti Diploma Seni Persembahan dan Media di Kolej Sunway berkata, apa yang berlaku memberinya pengajaran agar tidak terlalu bersikap terbuka.

Liyana yang bakal muncul dalam filem Tolong Awekku Pontianak, Julai ini berkata, sekarang ini beliau sibuk menjalani penggambaran filem Papadom 2.

Filem pendek ke Busan

Pengarah Aron Koh,32, yang mengambil masa selama dua hari untuk penggambaran di lokasi sekitar ibu kota berkata, filem arahannya itu menelan belanja sekitar RM130,000 yang diperoleh daripada geran Dana Belia.

Beliau berkata, penghasilan filem itu berdasarkan tanggungjawab sosialnya yang ingin mengingatkan orang ramai tentang bahaya merokok.

“Saya harap orang tidak akan bandingkan Cinta Akhir dengan iklan lain yang pernah dihasilkan sebelum ini. Filem ini bukan untuk memberi ceramah kepada orang ramai tetapi sekadar berkongsi pengetahuan.

“Bahagian akhir cerita itu sengaja dibuat tergantung agar penonton fikir sendiri apa yang berlaku kepada watak utama,” ceritanya.

Malah Aron juga berkata, filem pendek arahannya itu bakal menyertai festival filem antarabangsa di Busan, Korea.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: