![]() |
| PENYANYI genit ini kini berada di London bagi merealisasikan cita-cita merakamkan album Inggeris pertamanya. |
JUARA Akademi Fantasia musim kelima (AF5), Mila bukan kali pertama berkunjung ke London. Sebaliknya, anak kelahiran Teluk Kumbar, Pulau Pinang itu sudah empat kali berada di sana.
Pada 19 Jun lalu, Mila atau Norsyarmilla Jirin sekali lagi terbang ke kota raya itu. Bagaimanapun, pemergiannya ke London kali ini bukan kerana mengadakan persembahan atau makan angin seperti kelazimannya.
Sebenarnya kunjungan Mila kali ini membawa misi besar dalam usahanya melebarkan lagi sayapnya dalam bidang nyanyian di peringkat antarabangsa.
Menurut penyanyi berusia 24 tahun itu, dia cuba mengintai peluang merakamkan album di tanah Inggeris itu selepas empat tahun bergelar artis biarpun perjanjian secara hitam putih masih belum dimeterai.
"Saya berada di London sehingga 23 Ogos ini. Pemergian ke sana atas jemputan Ketua Pegawai Eksekutif BGM Music, Michael King yang berpusat di sana.
"Jika segalanya berjalan lancar saya mungkin akan menandatangani kontrak bersama mereka.
"Seterusnya akan merakamkan 12 lagu Inggeris di sana. Semua kos rakaman album itu mereka yang tanggung," katanya kepada Hits sewaktu ditemui di Studio One Scream, Kelana Jaya, Selangor baru-baru ini.
Pada pertemuan itu, Mila baru sahaja selesai merakamkan dua lagu berjudul Siapa Peduli dan Apa Lagi Yang Tinggal untuk dimuatkan dalam album amal Syair Gaza terbitan Majlis Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).
Jelas penyanyi yang popular dengan lagu Persis Mutiara itu, peluang merakamkan album di UK itu timbul daripada pembabitannya sebagai wakil dari Newcastle dalam pertandingan Open Mic.UK pada Ogos tahun lalu.
Kata Mila, sewaktu pertandingan itu diadakan di Newcastle, dia gagal untuk mara ke peringkat seterusnya. Tetapi peluang terbuka di hadapannya apabila BGM Music tertarik dengan suara dan persembahannya.
"Selepas pertandingan itu Michael menelefon saya dan itulah sebabnya saya ke London pada Januari lalu bagi mengadakan sesi uji bakat dan perbincangan.
"Selepas itu, saya tertarik dengan tawaran merakamkan album daripadanya," ujarnya.
Mila yang baru muncul dengan album sulungnya, Mila Jirin pada Januari lalu menerusi syarikat rakaman MJ Panacea Records berharap kunjungannya ke UK itu akan membuahkan hasil.
Sementara itu, jelas anak sulung daripada tiga beradik itu, pada masa sama, dia lega apabila rakaman lagu untuk album amal Syair Gaza yang bertujuan mengumpul dana bagi membantu meringankan beban penduduk Gaza di Palestine itu selamat dilangsaikannya baru-baru ini.
"Saya baru habis merakamkan lagu solo terbaru saya berjudul Apa Lagi Yang Tinggal ciptaan Kushma dan liriknya pula tulisan isterinya, Zaira Aziz.
"Selain itu, saya juga menyanyi bersama-sama dengan Jay Jay, Mawi, Hafiz AF7, Syafinaz Selamat, Aliya dan Azhan (Akademi Nasyid) dalam lagu bertajuk Siapa Peduli.
"Dua lagu itu bertemakan kemanusiaan dan ketuhanan. Lagu dan album itu akan digunakan oleh Mapim bagi mengisi dana membantu rakyat Palestin melalui jualan album itu kelak," ujarnya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: