Thursday, June 23, 2011

Kilauan Emas platform orang veteran


Barisan peserta Kilauan Emas Zon Selatan di Skudai Parade, Johor Bahru.


JIKA selama ini Astro hanya menerbitkan program realiti TV, Akademi Fantasia untuk golongan remaja, tetapi kini stesen berkenaan turut memberi ruang kepada golongan veteran.

Menerusi program Kilauan Emas, Astro buat julung kalinya menerbitkan rancangan hiburan khas untuk mereka yang berumur 45 tahun ke atas bagi mengetengahkan bakat masing-masing.

Baru-baru ini wartawan Hits berpelung mengikuti sesi uji bakat Kilauan Emas di dua lokasi iaitu di Skudai Parade, Johor Bahru dan Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Sungguh memukau kerana pada usia emas, para peserta masih mampu mendendangkan lagu bernada tinggi mengalahkan orang muda.

Kalau diletak peserta Kilauan Emas sebaris dengan orang muda yang dicungkil bakat menerusi program realiti di atas satu pentas, pasti golongan muda kena beri tabik hormat kepada mereka.

Rata-rata yang datang uji bakat Kilauan Emas adalah mereka yang suka menyanyi, cuma tidak berpeluang untuk menonjolkan bakat masing-masing menerusi pertandingan nyanyian kerana faktor usia.

Kebanyakan peserta yang ditemui berterima kasih kepada Astro kerana menganjurkan pertandingan nyanyian khas untuk mereka yang selama ini mendambakan program sedemikian.

Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata, beliau tidak menjangka sambutan yang diberi amat menggalakkan kerana ia julung kali diadakan.

Katanya, daripada setiap zon iaitu Selatan, Timur, Tengah dan Utara akan dipilih dua wakil bagi meneruskan saingan pada peringkat separuh akhir.

"Ketika di Johor Bahru untuk Zon Selatan, kira-kira 130 peserta datang untuk uji bakat pada hari pertama dan 10 orang terpilih untuk peringkat seterusnya.

"Sewaktu di Berjaya Megamall, Kuantan, untuk Zon Timur, para peserta yang datang memang hebat-hebat. Saya yang tengok pun tidak percaya pakcik dan makcik ini boleh menyanyi dengan baik," ceritanya.

Beliau yang teruja dengan kehadiran para peserta yang mencecah 330 orang pada hari pertama uji bakat di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, baru-baru ini berkata, kehadiran peserta yang diluar dugaan menyebabkan uji bakat yang bermula dari pukul 10 pagi itu berlarutan sehingga ke keesokan harinya, 2.30 pagi.

"Sambutan di Zon Tengah ini di luar dugaan. Sepatutnya uji bakat pada hari Sabtu itu berakhir pukul 6 petang, tetapi disebabkan kami tidak mahu menghampakan peserta yang datang dari jauh, waktu uji bakat dilanjutkan.

"Bayangkan uji bakat berakhir pukul 2.30 pagi, 10 peserta yang terpilih terus memilih lagu untuk hari kedua. Waktu bila mereka berlatih, saya pun tidak tahu, tetapi yang pasti waktu menyanyi semuanya hebat-hebat belaka," katanya.

Nizam berkata, kebanyakan peserta berpengalaman dan kerana itu, persembahan nyanyian mereka pada peringkat saringan tidak sumbang berbanding peserta muda.

Menurutnya, peserta Kilauan Emas bukan sahaja mempunyai suara setanding dengan penyanyi yang pernah merakamkan album, malah ada gaya tersendiri.

Katanya, rata-rata peserta yang datang sesi uji bakat ditemani isteri, anak serta cucu dan ini secara tidak langsung menunjukkan betapa kuatnya ikatan kekeluargaan.

"Dalam usaha untuk mengukuhkan lagi kedudukan Astro Prima sebagai saluran keluarga yang menghiburkan, kami yakin program Kilauan Emas sesuai.

"Kilauan Emas merupakan testimoni kepada saluran ini dalam usaha menawarkan program-program hiburan beraneka genre dan format khusus untuk tontonan ramai," jelasnya tentang program yang mendapat kerjasama Polident itu.

Nizam berkata, para peserta bukan sahaja berpeluang memperlihatkan bakat yang ada malah boleh menggunakan platform yang telah disediakan untuk meningkatkan daya keyakinan, kesungguhan serta keazaman di samping berhibur menerusi program ini.

Program yang menampilkan Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin atau Kak Engku sebagai pengacara itu bakal menemui penonton di Astro Prima (saluran 105), pukul 9 malam esok.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: