Thursday, June 23, 2011

Tabung Haji serah e-tutor ke 30 sekolah di Selangor


Md. Ridza Md. Zain (kanan) melakukan Penyerahan dan Taklimat 1D Tutor kepada wakil sekolah terpilih di Kompleks Haji Kelana Jaya, Selangor, semalam.


PETALING JAYA 22 Jun - Tabung Haji (TH) akan menggunakan pendekatan pendidikan bagi membantu melahirkan anak bangsa yang cemerlang.

Pengarah TH Selangor, Md. Ridza Md. Zain berkata, pendekatan yang sejajar dengan Pelan 50 Tahun TH itu juga dapat membantu merapatkan hubungan dengan pihak sekolah.

Beliau berkata, melalui cara ini banyak manfaat boleh diperoleh terutama dalam memupuk budaya menabung bagi tujuan mengerjakan ibadah haji di kalangan generasi muda.

"Harapan TH ialah melalui program pendidikan ia dapat digunakan oleh sekolah dengan semaksimumnya dan bakal memberikan banyak faedah bagi melahirkan anak bangsa yang cemerlang.

"Program pendidikan ini diwujudkan untuk menyatakan terima kasih TH kepada sekolah-sekolah yang banyak membantu dan memberi kerjasama kepada kami," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan dan taklimat ID tutor.com.my keluaran Kumpulan Utusan kepada sekolah pilihan di Kompleks Haji Kelana Jaya dekat sini hari ini.

Turut hadir Pengurus Kanan Khidmat Pelanggan Tabung Haji, Noorazmima Ismail dan Pengurus Kanan Perfisio Solution Sdn. Bhd., Mohd. Yusni Abdul Ghani.

TH menaja ID untuk 30 buah sekolah di negeri ini dengan setiap sekolah dibekalkan dengan lima ID. Setiap ID bernilai RM150 untuk tempoh setahun.

Dalam pada itu, Md. Ridza berkata, TH membuat tawaran istimewa kepada pelajar yang menjadi ahli Kelab Tabung Haji (Taha) di 30 sekolah terpilih itu apabila mereka hanya perlu membayar RM120 sahaja untuk mendapatkan ID tutor.com.my.

"Tempoh tawaran ini adalah bagi satu tempoh terhad dan boleh dipanjangkan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk menikmati keistimewaan ini.

"Di bawah program kerjasama antara sekolah ini, TH akan membantu sekolah mengadakan bimbingan haji kepada pelajar selaras dengan modul Pendidikan Islam bagi pelajar tingkatan empat," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: