Sunday, June 12, 2011

Keunikan muzikal Studio Mualaf


Artis kalangan saudara baru yang menjayakan Studio Mualaf di TV AlHijrah pada setiap Sabtu pukul 11 malam.


Studio Mualaf & Friends (SMF) - nama yang unik; gandingan istilah yang cukup moden, kombinasi kata Arab dan Inggeris -serta memberikan pula, satu perspektif berbentuk hiburan.

Begitulah juga kandungannya - program ini menampilkan elemen hiburan Islam dalam format rancangan bual bicara berkonsepkan set studio.

Apa yang lebih penting ialah kesannya, kerana program ini khusus mengenai enam mualaf yang berjuang melalui seni muzik untuk menyebarkan syiar Islam.

SMF diasaskan oleh Xifu Nasir dan dianggotai Alex Liew, Leia Zahra, Hafizi JV, Robby Zaid, Divesh Daniel dan Ustaz Ng. Semua mereka adalah mualaf.

“Kami semua sudah lama berkenalan, sama-sama minat muzik dan menyanyi. Jadi timbul idea, untuk bergerak aktif, kami memerlukan kumpulan, jadi saya tubuhkan SMF,” kata Xifu Nasir.

“Dulu kami bertemu dan berlatih di pusat karaoke,” tambah Alex, Ketua Pegawai Eksekutif SMF.

Bermula dari aktiviti suka menyanyi, mereka akhirnya jauh bergerak ke depan termasuk mencipta lagu, terutama memindahkan hadis-hadis Rasulullah dalam bentuk pengucapan muzik.

Dengan kepakaran dan pengalaman muzik, kerana sebahagian mereka mendapat pendedahan menyanyikan lagu-lagu agama ketika belum Islam, kini di SMF, bakat itu disatukan dengan matlamat baru, iaitu demi dakwah Islam.

“Awal tahun lalu SMF pun lahir, dan kami memilih untuk aktif menyanyikan lagu-lagu mengenai Islam dan Allah,” kata Xifu Nasir.

Berlatarbelakang pelbagai bangsa dan etnik serta kepelbagaian agama sebelum memeluk Islam, rancangan sejam ini memberi ruang kepada penonton mengikuti susur-galur perjalanan hidup mereka.

Dari kisah Xifu Nasir yang dilahirkan dalam keluarga Cina Islam dan kemudian membesar dalam keluarga bukan Islam akibat penceraian ibu bapa, SMF dari satu episod ke satu episod, membawa kita jauh mengembara dari kisah ke kisah.

Kisah hidup Hafizi JV tidak kurang warna-warninya. Bekas anggota X-Factor ini menempuh pelbagai ujian, sebelum dan setelah memeluk Islam.

“Ujian sebelum Islam ialah mencari ketenangan, selepas masuk Islam pula ialah mengukuhkan keimanan, dan akhirnya Alhamdulillah, saya mendapat bimbingan,” katanya.

Robby Zaid dulu aktif sebagai pendakwah agama lamanya, selepas mengenal Islam, dia terus aktif berdakwah, termasuk mengadakan dialog ilmiah mengenai Islam dengan rakan-rakan bukan Islam yang berminat untuk memahami Islam.

Leia Zahra pula adalah gadis yang taat pada agama asalnya, hidup dengan penuh kebencian pada Islam dan Rasulullah - hinggalah pada satu saat hidupnya berantakan, gadis Dusun ini diberikan hidayah Islam lima tahun lalu.

Ini antara kisah yang sangat dramatik tetapi benar - yang dibawakan sebagai antara tema penting perjalanan kerohanian yang mengisi program SMF.

Berlatar belakangkan set mewakili realiti kehidupan sebenar artis SMF yang sering bertemu di Rumah Darul Fikrah, di Damansara, program berdurasi sejam dan sebanyak 13 episod ini akan mengangkat tema muzikal sesuai dengan aktiviti SMF yang berdakwah melalui muzik.

Selain kisah perjalanan rohani dan sentuhan muzikal, SMF turut memaparkan realiti hidup SMF, yang aktif menjalankan kegiatan dakwah.

SMF pada masa ini aktif mengadakan dialog memperkenalkan Islam kepada penganut agama lain terutama untuk mempromosi keamanan dan nilai-nilai murni yang diajarkan Rasulullah.

“Dialog dengan penganut agaman lain penting untuk menghapuskan Islamofobia,” kata Xifu Nasir.

Program terbitan TV Al Hijrah ini mula disiarkan semalam memenuhi jadual siaran setiap Sabtu, pukul 11 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: