Friday, June 17, 2011

Jururawat hadapi dakwaan jual bayi

GULAB Jan keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam selepas mengaku tidak bersalah di  atas tuduhan memperdagangkan bayi perempuan berusia lapan bulan tahun lalu. - Foto Effendy Rashid
GULAB Jan keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam selepas mengaku tidak bersalah di atas tuduhan memperdagangkan bayi perempuan berusia lapan bulan tahun lalu.
KUALA LUMPUR: "Kenapa tangkap saya, kenapa tak tangkap Datuk," kata bekas jururawat Gulab Jan Abdul Jabir sambil menangis teresak-esak selepas dia didakwa memperdagangkan seorang bayi perempuan berusia lapan bulan di sebuah hospital swasta di Jalan Ipoh di sini, tahun lalu.

Gulab Jan, 49, yang memakai blaus ungu meluru keluar daripada kandang tertuduh selepas prosiding selesai, berulang kali menyatakan dia tidak bersalah dan tiada wang untuk membayar jaminan RM10,000 yang ditetapkan Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain, kepada anggota polis mahkamah.
Tertuduh yang mengaku tidak bersalah atas dakwaan berkenaan dan mohon dibicarakan didakwa memperdagangkan bayi itu bagi tujuan eksploitasi di Hospital Taj, Nombor 492, Batu 3, Jalan Ipoh di sini, jam 2.10 petang, pada 1 November 2010.
Dia yang diwakili peguam Gerard Lazarus menghadapi tuduhan mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor ‘Amalina Ismail memohon mahkamah mengenakan jaminan RM50,000 dengan dua penjamin terhadap Gulab Jan dengan alasan kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius kerana membabitkan kes penjualan bayi dengan harga yang sangat tinggi.

Bagaimanapun Lazarus memohon mahkamah mengurangkan jaminan terhadap anak guamnya dengan alasan tertuduh yang masih bujang tidak lagi bekerja dan ditanggung ahli keluarganya selain memberi kerjasama penuh ketika proses siasatan polis sehingga didakwa semalam.

“Tujuan jaminan hanya untuk memastikan kehadirannya ke mahkamah, walaupun tuduhan ke atas anak guam saya serius tetapi itu semua tidak boleh digambarkan kerana ini hanya peringkat pendakwaan bukan hukuman,” katanya.
Ahmad Zamzani turut mengarahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 18 Julai depan untuk sebutan kes.

Wang jaminan RM10,000 dibayar dua ahli keluarganya di Kaunter Bayaran Jaminan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, kira-kira jam 2.45 petang, semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: