Friday, June 17, 2011

Pengunjung pantai bantah

  • Foto

    PANTAI Batu Feringgi sentiasa menjadi tumpuan pelancong pada musim cuti sekolah.

  • Foto

Aktiviti tunggang kuda antara tarikan utama di Batu Feringgi

GEORGETOWN: Pengunjung pusat peranginan popular di Batu Feringgi, di sini termasuk pelancong asing tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan negeri mengharamkan aktiviti menunggang kuda di pantai.
Mereka berpendapat, pengharaman aktiviti berkenaan tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya peraturan khusus perlu digubal bagi memastikan keselamatan awam, pengusaha serta kemajuan industri pelancongan negeri.
Pengunjung dari Perak, Sharadatul Nurul Shima Zulkiffli, 20, berkata aktiviti berkuda adalah kegiatan pelancongan yang popular di pantai itu, selain jet-ski dan menaiki belon udara.

Dia yang sering berkunjung ke negeri ini, berkata mewujudkan kawasan khas bagi aktiviti terbabit adalah perlu, selain kawalan yang lebih ketat terhadap haiwan itu.

"Haiwan lain juga boleh mendatangkan kecederaan kepada orang ramai jika tidak dikawal. Jika ada kawalan yang baik oleh penunggang atau pemilik, perkara buruk dapat dielak.

"Ibu bapa sepatutnya mengawasi anak mereka ketika berada di tempat yang menyediakan aktiviti itu kerana pelbagai kejadian yang tidak diingini boleh berlaku," katanya ketika ditemui di sini.
Baru-baru ini, percutian Arina Kirana Azrin, 5, bersama keluarganya bertukar tragedi apabila patah bahu kiri dan cedera paha kanan akibat dirempuh kuda yang dinaiki seorang lelaki ketika bermain dengan kakaknya di pantai Batu Feringgi.

Lelaki terbabit yang bekerja sebagai budak pantai, ditahan polis tidak lama selepas kejadian dan disahkan positif dadah. Berikutan kejadian, kerajaan Pulau Pinang mengharamkan aktiviti menunggang kuda di kawasan pantai itu.

Tindakan kerajaan negeri itu turut dibantah oleh pemilik kuda dan menganggap keputusan berkenaan mahu ‘menutup periuk nasi’ mereka yang sudah beroperasi sejak beberapa tahun lalu.

Kementerian Pelancongan juga mencadangkan kerajaan negeri mewujudkan garis panduan bagi memastikan ciri keselamatan dan cara pengendalian sukan berkuda di tepi pantai supaya produk pelancongan tempatan di negeri itu tidak terjejas.

Antara lain, garis panduan berkenaan ialah mewujudkan zon khas, penggunaan kuda bersesuaian, lesen pengusaha, pengendali kuda mendapat latihan serta berperwatakan menarik.

Pelancong dari Belgium, Mark Dewarchter, 43, berkata kerajaan negeri tidak perlu mengharamkan aktiviti menunggang kuda di pantai itu kerana ia boleh menjejaskan pengusaha yang turut memberi sumbangan terhadap industri pelancongan.

"Tidak perlu haramkan aktiviti berkuda dan cara terbaik ialah beroperasi mengikut waktu supaya prosedur keselamatan dapat dikawal.

"Saya cadangkan pengusaha menggunakan kuda bersaiz kecil seperti kuda padi kerana lebih jinak dan senang dikawal," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: