Sunday, June 26, 2011

Jozan akur dengan Sepah



Tekaan ramai, Jozan akan mengungguli Maharaja Lawak (ML) ternyata meleset apabila Sepah muncul sebagai juara. Mendapat undian tertinggi sebanyak 64 peratus, Sepah yang dianggotai Shiub, Mamat dan Jep. menewaskan tiga pesaingnya, Jozan, (60%), Nabil, ( 52%) dan Jambu (46%).

Jika dinilai pada persembahan setiap minggu, Jozan, yang merupakan duo Zizan dan Johan, mudah mencuri perhatian peminat. Di atas populariti yang ada, mereka juga berada di tahap yang selesa sehinggalah ke semi-final yang lalu.

Walaupun berada di tempat teratas sepanjang tiga minggu terakhir persembahan, namun ia tidak menjamin takhta akhir menjadi milik mereka.

Jozan yang melakonkan watak Hang Tuah dan perompak untuk tugasan pertama kurang memberi impak kepada penonton. Malah kemunculan mereka sebagai gangster Melayu dan Cina untuk tugasan kedua tidak mampu menandingi idea dan kehebatan Sepah.

“Kami sifatkan pertandingan sebegini sebagai berniaga, kadang-kadang ada untung, ada rugi dan ianya sukar untuk diramal.

“Kami akui kekecewaan itu kerana kami menyedari ada sedikit kelemahan dan hambar ketika persembahan pertama.

“Persembahan pertama tidak mampu memberikan impak yang besar kepada menonton yang menantikan persembahan kami,” kata Zizan yang akur dengan kehebatan Sepah pada malam final itu.

Ditanya mengenai tekanan yang diterima sebelum dan selepas persembahan, Johan menyifatkan, perkara itu adalah lumrah dan pastinya akan dirasai oleh semua yang bertanding.

“Amat sukar untuk menghiburkan orang dan membuatkan mereka ketawa terbahak-bahak. Terlalu sukar untuk memikirkan apa yang penonton mahukan kerana setiap orang tidak memiliki minat yang sama.

“Bagaimanapun, saya memuji chemistry yang ada di antara anggota Sepah kerana berjaya mengekalkan identiti komedi Melayu dari awal sehingga akhir persembahan,” katanya yang lebih memilih komedi umum.

Meskipun terpaksa akur dengan Sepah, namun Jozan masih mampu tersenyum bangga apabila berjaya membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai berjumlah RM250,000.



Juri pilih Jozan

Bukan sahaja peminat Jozan mengharapkan mereka memenangi takhta ML, sebaliknya ketiga-tiga juri tetap, Mamat Khalid, Ahmad Idham dan Saiful Apek juga sepakat memilih duo popular itu.

Menurut Mamat Khalid, penilaian awal dibuat setelah menyaksikan 12 minggu persembahan Jozan yang konsisten dan mampu meraih gelaran juara.

“Saya kecewa Jozan kalah. Namun, saya harus jujur pada diri sendiri dan tidak adil sekiranya saya memilih Jozan setelah Sepah menampilkan persembahan yang cukup mantap pada malam ini (semalam)

“Sepah memang layak menang kerana masing-masing menampilkan persembahan yang terbaik,” katanya yang turut disokong Idham dan Apek.



Sepah hampir tarik diri

Di sebalik hilai dan tawa penonton terhadap persembahan Sepah, namun ramai yang tidak tahu kumpulan ini hampir membuat keputusan untuk menarik diri pada saat-saat akhir.

“Kami sebenarnya sudah hampir kehabisan idea, sehingga bertelingkah antara satu sama lain. Namun, kami dapat selesaikan dengan cara yang baik memandangkan kami sudah lama berkawan.

“Mujurlah di saat-saat akhir, iaitu kira-kira jam 4.30 petang, idea datang. Dan kami sepakat untuk membuat persembahan yang terbaik.

“Selepas ini, kami ingin berehat panjang dan perancangan seterusnya masih tidak dapat dipastikan,” kata Jep yang mewakili Sepah.

Mengulas tentang kemenangan mereka, Jep berkata, dia tidak menjangka nasib menyebelahi mereka kerana meramalkan Jozan sebagai juara.

“Sebelum diumumkan sebagai juara, kami bergaduh lagi sebab terlupa skrip dan kami rasa tak cukup beri yang terbaik untuk penonton. Tapi tak sangka kami diumumkan sebagai juara. Ini semua rezeki dan selepas ini kami ingin berehat panjang,” katanya yang berjaya memenangi trofi dan wang tunai berjumlah RM350,000.

Persembahan mereka dalam tugasan pertama yang berkisarkan tentang perompak dan tuan rumah benar-benar menggeletek hati penonton. Tidak kurang hebatnya dengan tugasan kedua yang mengisahkan tentang konflik keluarga. Selain sarat dengan elemen komedi, Sepah juga berjaya menyampaikan mesej yang berguna.

Sepah yang dianggotai oleh Mohd Noor Murad (Mamat), Shahmira Muhammad (Shuib) dan Mohd Nazdri (Jep) merupakan juara Raja Lawak musim ketiga.



Nabil menang duit!

Walaupun terpaksa akur dengan kemenangan Sepah dan Jozan, namun Nabil tetap untung besar setelah memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM150,000.

Sebagai satu-satunya peserta solo, Nabil, seharusnya diberi pujian setelah berjaya menghadapi cabaran dan tekanan untuk beraksi di pentas.

Melakonkan kisah sebagai juru jual dan pengemis, Nabil mampu menghiburkan penonton dengan komedi santainya. Namun sejak awal persembahan. Nabil bukanlah calon kegemaran ramai mungkin kerana diselubungi kisah-kisah kontroversi.

“Saya akui kesilapan saya dan ianya memberi impak yang besar kepada saya yang kehilangan ramai peminat sebelum ini.

“Kalau diikutkan, saya sudah tidak layak untuk berada di pentas final, memandangkan apa yang saya sudah lakukan sebelum ini.

“Saya bersyukur kerana masih lagi diterima dan terima kasih kepada mereka yang terus menyokong saya hingga kini,” kata Nabil yang pernah dinobatkan sebagai Artis Paling Popular Anugerah Bintang Popular 2008.



Jambu

Persembahan Jambu, yang terdiri daripada Tauke dan Yus, tidak juga kurang hebatnya. Malah rata-ratanya berpuas hati dan memuji persembahan mereka. Namun mungkin kerana kurang populariti membuatkan mereka jauh ketinggalan.

“Dapat beraksi hingga final sudah cukup baik untuk kami dan kami tidak menafikan persembahan peserta lain memang cukup hebat terutamanya Sepah.

“Lagipun untuk final, saya dan Yus kurang membuat persiapan kerana sibuk dengan kerja dan tiada banyak masa untuk berlatih,” kata Tauke mewakili Jambu.

Walaupun berada di tempat ke-empat, namun mereka masih membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000.



Akan ada Musim kedua

Melihat kepada sambutan luar biasa dari penonton ML, Pengurus Astro Warna, Nizam Sani, tidak menolak perancangan untuk meneruskan program ini untuk musim kedua.

“Bermula minggu depan, Astro Warna (saluran 132) menyusun program ‘Terbaik Maharaja Lawak’ yang memaparkan setiap aksi dan persembahan peserta final ML,” katanya.

Dalam pada itu, Nizam turut mengulas tentang penambahan wang tunai, terhadap setiap pemenang,

“Hadiah wang tunai ditambah RM50,000 kepada setiap pemenang kerana imbuhan kepada mereka yang bekerja keras untuk memastikan program ini berjalan lancar dengan tambahan episod.

“Mereka layak menerima imbuhan itu kerana apabila kita tambah episod, secara tidak langsung, masa mereka juga turut bertambah dan memerlukan komitmen yang lebih tinggi,” katanya yang menyifatkan ML adalah rancangan komedi yang paling berkualiti.

1 comment:

  1. sepah..the best...i like sesangat...1 family sujud syukur sebab sepah menang...hidup sepah, jgn pernah berpecah...

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: