![]() |
| ANTARA babak menarik dalam filem Rasuk yang akan menemui penonton di pawagam pada 30 Jun ini. |
DENDAM lahir dari perasaan benci atau marah. Seringkali dipendam dan akhirnya meletus pembalasan untuk memuaskan hati. Elemen ini yang diterapkan dalam filem Rasuk arahan S. Baldiv Singh.
Rasuk melangsungkan lagi genre seram dan masih menjadi pilihan pengarah tempatan walaupun mungkin penonton telah tepu dengan filem-filem seumpama ini.
Daripada judulnya saja kita sudah boleh menjangkakan filem ini adalah sebuah naskhah seram yang biasa disajikan oleh penerbit filem kita. Namun bezanya filem ini memaparkan ‘hantu’ yang berbeza dari filem seram yang biasa kita saksikan sebelum ini.
Kritikan sosial pengarah tertumpu terhadap watak hantu yang diolah dari seorang askar Jepun yang mati dibunuh ketika zaman yang berlatarkan penjajahan Jepun di Tanah Melayu seketika dulu.
Watak askar Jepun yang dicipta sebenarnya membayangkan tentang kejahatan serta kezaliman sebenar pasukan askar Jepun ketika zaman pemerintahan mereka.
Anak-anak gadis di Tanah Melayu ketika itu jika dikaji dari sudut sejarah sememangnya telah ramai menjadi mangsa kerakusan nafsu tentera-tentera Jepun. Yang menjadi persoalan dalam filem ini, pada kebiasaannya jika berbincang mengenai rasuk, ramai yang berpendapat rasuk adalah kejadian di mana satu kuasa atau roh jahat memasuki ke dalam tubuh seseorang sehinggakan berlakunya kekacauan apabila kuasa tadi memberontak.
Apa yang diolah dalam filem ini adalah roh jahat askar Jepun itu telah masuk ke dalam tubuh wanita bernama Melati bagi membalas dendam terhadap kejadian yang menyebabkan askar tersebut dibunuh.
Mengimbau kejadian yang menyebabkan dendam itu timbul sebenarnya tercetus apabila tentera Jepun dibunuh oleh orang-orang kampung ketika dia ingin memuaskan nafsunya dengan Melati.
Namun dalam satu babak filem ini, roh tersebut marah terhadap seorang watak doktor yang masa silamnya pernah merogol pesakitnya sendiri. Persoalannya kenapa roh tersebut marah terhadap kejadian yang dilakukan oleh doktor tersebut sedangkan roh itu sendiri ketika hayatnya cuba untuk memuaskan nafsunya bersama Melati?
Dalam pada itu, kehadiran watak doktor tersebut yang suka ketawa dengan kuat dalam apa-apa situasi tidak kira ketika watak utama dirasuk atau watak-watak lain yang menerima rawatan darinya menjadi tanda tanya kepada penonton yang hairan dengan tingkah laku tersebut.
Pada zahirnya, pengarah filem ini mencipta watak sedemikian adalah bagi merehatkan minda para penonton yang setelah disajikan oleh beberapa babak seram sebelumnya.
Babak ‘rehat’ sebenarnya adalah salah satu babak yang penting dalam setiap filem seram seumpama ini, namun watak yang dihasilkan oleh pengarah dalam filem ini kurang sesuai kerana dilihat keterlaluan.
Kehadiran watak doktor ini jika dikaji sebenarnya langsung tiada unsur humor, tapi kelihatan seperti watak tersebut mempunyai sedikit masalah mental.
Menyentuh kepada teknik penggambaran filem ini, pengarahnya, S. Baldiv Singh telah menerapkan teknik penggambaran gaya Bollywood dengan kawalan kamera yang kebanyakannya banyak membantu mencorakkan filem ini.
Pengarah turut menjadikan kamera sebagai watak hantu yang sering bersembunyi dan sering memerhatikan gerak geri watak utama.
Teknik seumpama ini sering digunakan dalam filem seram sebelum ini dan teknik ini adalah satu langkah bijak tanpa perlu menampilkan watak hantu yang sebenarnya.
Pada dasarnya, filem seram akan menjadi lebih seram jika teknik pencahayaannya pandai ditafsirkan oleh pengarah, dan suasana gelap sememangnya begitu sinonim dengan filem seram.
Jika dibandingkan dengan teknik yang dibawa oleh beberapa filem seram dari Korea, mereka lebih suka menggunakan cahaya hijau, dan mereka beranggapan warna hijau lebih menaikkan mood seram itu.
Dalam kebanyakan filem seram Malaysia, pencahayaan tidak diberi keutamaan dan kebanyakannya hanya menggunakan waktu malam bagi menjayakan babak huru-hara.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: