
Selepas mewakili negara ke konsert Asia Star Session sempena Festival Voice of Astana pada Februari lalu, Shila sekali lagi mengharumkan nama Malaysia kerana dijemput membuat persembahan di Kunming, China.
Pemergian Shila ke daerah Yunnan itu atas jemputan khas Pusat Penyiaran Yunnan TV bagi membuat persembahan pada Anugerah Festival Peringatan Seni TV Asia Tenggara Kali Kedua pada 5 hingga 8 Jun lalu.
Sememangnya kesempatan itu adalah satu penghormatan buat Shila kerana dapat berkongsi pentas dengan lebih 15 artis seluruh dunia yang turut membuat persembahan di tempat yang sama.
“Alhamdulillah, Shila rasa terharu dan bersyukur kerana ada rezeki membuat persembahan sekali di luar negara dan semestinya Shila tidak mensia-siakan peluang yang bukan mudah diperoleh.
“Lebih menggembirakan bila pihak penganjur memberitahu saya diberi peluang untuk membuat persembahan solo dan Shila memilih untuk menyanyi lagu Nafas Cahaya kerana mereka mahukan lagu yang mempunyai elemen tradisi,” ujarnya yang mendapat penajaan sepenuhnya dari Yunnan TV sepanjang berada di sana.
Turut ditemani ibu bapanya, ND Lala dan Fauziah Sarman. Mereka sempat melawat beberapa lokasi menarik di sana dan ia merupakan pengalaman yang sangat berharga untuk dibawa pulang ke tanah air.
Tanpa bernaung dengan sebarang syarikat rakaman, naib juara One In A Million (OIAM) musim kedua ini, menjelaskan dia perlu bekerja keras untuk memastikan karier seninya tetap bersinar.
Pengalaman lucu
Menurut Shila selesai mengadakan persembahan, dia sempat meluangkan masa melawat tempat di sekitar bandar Kunming, namun tidak menyangka telah melalui satu peristiwa mencuit hati.
“Ketika itu saya rasa hendak membuang air kecil, jadi saya mencari arah untuk ke tandas melalui simbol yang ditunjukkan. Tetapi lain pula yang jadi apabila saya sampai ke tempat itu kerana ia bukan tandas sebaliknya restoran yang berasaskan reka bentuk tandas seperti tempat duduk dan bekas makanan.
“Tapi saya tidak sempat nak ambil apa-apa gambar. Kemudian kami menaiki teksi untuk ke tempat membeli-belah seperti bazar, tapi teksi telah turunkan kami salah tempat, iaitu di tempat pakaian lelaki.
“Akhirnya terpaksalah kami berjalan lebih kurang enam kilometer ke tempat jualan pakaian wanita sebelum berpatah balik ke tempat jualan pakaian lelaki,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: