Wednesday, June 22, 2011

Izara optimis cipta nama

Nama Izara Aishah masih kedengaran janggal pada sesetengah peminat industri tanah air. Namun bakat lakonan anak kelahiran Johor Bahru ini sudah dapat dilihat menerusi drama Keranamu Laila yang disiarkan di TV3.

Manakala, drama terbitan Color Bar Pictures, Hantu Gigi, yang ditayangkan di Astro Prima adalah drama pertamanya diikuti Kasih Najihah, sedikit sebanyak membantu menaikkan namanya sebagai pelakon.

Meskipun perlu bersaing dengan bakat-bakat baru yang mempunyai pakej lengkap untuk bergelar artis, Izara tidak mudah berputus asa. Dia juga tidak takut untuk mengorak langkah yang lebih jauh di dalam dunia lakonan tanah air.

Akur dengan persaingan yang semakin sengit, masing-masing berani tampil ke hadapan dengan hasrat mahu menyerlah dan mencipta nama di persada seni tanah air.

“Saya sudah lama menyimpan hasrat untuk bergelar pelakon. Malah semenjak umur saya berusia 12 tahun saya sudah mula aktif dalam pementasan teater dan antara pementasan pertama saya ialah teater Tok Rimau dan saya berpeluang bergandingan dengan Fauziah Nawi.

“Sejujurnya saya rasa begitu bertuah kerana dapat menjayakan watak utama dalam drama Keranamu Laila kerana secara tidak langsung ia menjadi platform untuk saya memperkenalkan diri di dalam industri ini,” katanya.


Tidak bersandar rupa

Namun di sebalik sikap optimis naib juara Dewi Remaja 2009/2010 ini, terselit kata-kata nakal sesetengah pihak bahawa kehadirannya hanya bersandarkan kejelitaan semata-mata.

“Peminat semakin selektif, mereka tidak lagi peduli atau melihat kepada kecantikan serta kejelitaan seseorang itu. Apa yang penting kita mempunyai bakat dan saya sama seperti pelakon lain yang perlu melalui sesi uji bakat untuk mendapatkan sesuatu bakat.

“Malah saya juga sering dimarahi pengarah dan menerima kritikan yang dilemparkan untuk memperbaiki lakonan,” kata artis naungan KRU Studios ini.

Tambah Izara demi mendapatkan lakonan yang baik, dia tidak kisah ringan mulut bertanya sama ada kepada pengarah atau pelakon senior yang turut bersamanya membintangi sesebuah produksi mengenai watak yang dibawanya.

“Saya biasanya akan bertanya macam-macam kepada pengarah dan pelakon senior bagi memastikan dapat membawa watak sebaik mungkin. Mujur mereka tidak marah bila saya banyak bertanya.

“Memandangkan saya tidak mengambil apa-apa kelas lakonan, jadi dengan tunjuk ajar dari mereka sedikit sebanyak saya dapat memahami untuk membawa karakter dengan baik,” katanya yang menyimpan impian berlakon di samping Fauziah Ahmad Daud.



Minat menyanyi

Meskipun dikenali sebagai model dan pelakon, rupanya Izara menyimpan impian untuk memiliki album sendiri.

Jelas gadis berusia 19 tahun ini, selain berlakon dia sebenarnya turut meminati bidang seni suara dan menanti peluang untuk mempamerkan bakatnya.

“Saya meminati genre lagu seperti yang dibawakan Christina Aguilera dan berharap suatu hari nanti mempunyai album saya sendiri. Saya telah menyuarakan hasrat ini kepada KRU dan berharap ia terlaksana.

“Namun sebelum ini saya tidak pernah mencuba untuk menyanyi dalam mana-mana pertandingan kerana tidak beberapa yakin, tapi jika diberi peluang saya berani untuk mencuba,” katanya.



Elak gosip

Janji anak sulung daripada dua beradik ini, dia akan memanfaatkan kebebasan dan kepercayaan yang diberikan ibunya.

Izara mengakui ibunya cukup tegas dalam mendidik mereka kerana tidak mahu nama baik keluarga dipalit dengan cerita kurang enak terutama selepas dia memilih untuk menjadi pelakon.

“Saya akui perlu bijak merencana perjalanan karier. Sejak dulu lagi, jika mahu ke mana-mana saya akan ditemani keluarga. Kalau ada yang berjumpa saya keluar dengan lelaki, dia bukan orang lain kecuali ahli keluarga saya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: