Wednesday, June 22, 2011

4 bakal rebut gelaran ML


JAMBU bersorak kegembiraan apabila diberikan imuniti untuk bersaing di peringkat akhir.


SEPERTI yang diramalkan, empat peserta yang menjadi pilihan peminat Maharaja Lawak (ML) akhirnya berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir yang akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor, Jumaat ini.

Peserta yang layak ialah Jozan, Sepah, Jambu dan Nabil.

Dalam saingan minggu ke-12, Jozan memperolehi 61 peratus undian diikuti oleh Sepah (56 peratus), Nabil (55 peratus), Jambu (49 peratus) dan R2 (35 peratus).

Mengimbas kembali pentas separuh akhir yang diadakan di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Jumaat lalu, saat pengumuman penyingkiran yang dilakukan oleh salah seorang juri tetap Maharaja Lawak iaitu Ahmad Idham, kumpulan Jambu dan R2 tidak 'tersenarai' untuk beraksi di akhir.

Namun, setelah mencari kata sepakat dengan dua lagi juri tetap iaitu Mamat Khalid dan Saiful Apek, Ahmad Idham kemudiannya mengumumkan bahawa Jambu dipilih untuk bersama kelompok peserta akhir berdasarkan imuniti dan hanya R2 sahaja yang tersingkir.

Ketika ditanya mengapa terlalu lama 'menyimpan' imuniti itu, Ahmad Idham berkata, pihak juri sendiri terkejut kerana baru sahaja diberitahu bahawa terdapat dua penyingkiran di minggu ke-12 .

"Penggunaan imuniti tersebut adalah untuk meningkatkan mutu pertandingan akhir selain memberi saingan yang lebih sengit kepada semua yang beraksi.

"Agak kurang meriah sekiranya hanya tiga peserta yang bersaing. Ini bermakna di pentas akhir, tiga peserta mendapat tempat manakala satu peserta akan pulang dengan tangan kosong.

"Jadi berdasarkan objektif tersebut, para juri sepakat untuk memberi imuniti kepada kumpulan Jambu.

"Pemilihan tersebut berdasarkan kepada undian peminat dan keupayaan kumpulan itu menambat hati pengundi mereka," katanya yang memberikan penjelasan panjang lebar.

Dalam pada itu pengarah filem itu juga berharap, kumpulan Jambu 'terjaga' dari tidur mereka yang panjang dan memberikan persembahan terbaik semasa beraksi di pentas akhir nanti.

"Mungkin undian orang ramai untuk kumpulan Jambu banyak dipengaruhi oleh komen saya semasa persembahan pertama mereka di mana saya percaya mereka boleh memberikan lagi baik daripada itu.

"Saya pernah menyaksikan persembahan mereka yang terbaik daripada malam ini," katanya lagi.

Sementara itu, bagi kumpulan Jambu yang dianggotai oleh Yusri Edoo dan Zamaratul Amri Zakaria, peluang beraksi di peringkat akhir akan digunakan sepenuhnya untuk memberikan persembahan terbaik sebagai hadiah buat peminat mereka.

Bagi mereka, imuniti tersebut ibarat peluang kedua dan platform untuk menebus segala 'kekalahan' lampau dan mengembalikan semula kepercayaan peminat terhadap keupayaan bakat yang dipertaruhkan.

Bercerita lanjut, saat diumumkan tersingkir di di pusingan ke-12, pasangan duo Yus dan Tauke reda dengan setiap ketentuan-Nya kerana mereka percaya setiap yang berlaku pasti bersebab.

"Kami mengakui persembahan kami ada pasang surutnya. Mungkin dua tiga minggu ini adalah masa surutnya.

"Terus terang, persiapan kami untuk pusingan ke-12 juga tidak sepenuhnya akibat kekangan masa.

"Jadi, peluang kedua itu ibarat rezeki buat kami. Buat masa ini, kami tiada sasaran awal cuma akan membuat persiapan sepenuhnya bagi memastikan lawak yang kami pilih nanti adalah bermutu dan menghiburkan penonton," ujar Yus.

Sementara itu, R2 pula tetap berbangga dengan pencapaian mereka walaupuntersingkir.

"Biarpun tersingkir kami tetap juara kerana mampu bertahan sehingga ke pentas separuh akhir biarpun melalui undian masuk sekalipun," bicara Aim atau pemilik nama Rahim Mat Ali.

Kumpulan adik-beradik yang dianggotai oleh Rahim, 40, dan adiknya, Ridhzuan, 22, hanya mampu berpuas hati dengan undian sebanyak 35 peratus sekali gus menjadikan kedudukan mereka di tangga terakhir.

Ketika membuat persembahan pertama, komen Saiful Apek, persembahan mereka mempunyai pengisian dan idea yang asli.

Manakala sewaktu tugasan kedua, Ahmad Idham pula menjelaskan mereka mempunyai idea namun ada sedikit kekosongan pada tempo.

Bagi Aim, diberi peluang beraksi semula melalui undian masuk yang diadakan melalui laman sosial Facebook Maharaja Lawak pada minggu kelapan merupakan antara detik terindah bagi mereka.

Masakan tidak, selepas tersingkir pada minggu ketiga semasa Maharaja Lawak bertemakan Komedi Muzikal, mereka sekali lagi diberi peluang untuk menunjukkan bakat diri masing-masing kepada penonton dan peminat.

"Maharaja Lawak bukan sekadar pentas pertandingan tetapi ia adalah satu platfom untuk kami terus bergerak di dalam industri seni ini.

"Biarpun tersingkir, perjuangan kami tidak akan terhenti setakat ini, kami akan terus beraksi," katanya.

Bercerita lanjut, penyingkiran di minggu separuh akhir itu sememangnya sudah dijangka kerana semasa bersiaran di Pulau Pinang dan Kuantan, Pahang, mereka menduduki tangga tercorot dengan undian yang terendah.

Biarpun begitu, kata Aim, dia dan adiknya sedikit pun tidak terkesan dengan hal undian tersebut kerana fokus mereka hanyalah memberikan persembahan terbaik kepada penonton dan peminat yang tidak jemu-jemu memberi sokongan.

"Kami terima penyingkiran ini dengan reda. Adat bertanding, ada menang dan ada yang kalah namun dengan tersenarai sebagai peserta dalam pertandingan ini merupakan penghormatan untuk kami.

"Jika diikutkan pencapaian secara peribadi, kami sudahpun bergelar juara kerana mampu bertahan sehingga ke pentas separuh akhir ini," katanya seolah-olah memujuk hati.

Pertandingan Maharaja Lawak yang disiarkan di saluran Astro Warna setiap Jumaat sejak 1 April lalu.

Program yang menghimpun semua peserta akhir Raja Lawak dari musim pertama sehingga kelima itu berentap untuk dinobatkan sebagai juara Maharaja Lawak.

Mereka yang bakal bergelar juara akan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM300,000.

Naib juara pula, akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM200,000 dan pemenang tempat ketiga, RM100,000.

Penentuan pemenang Maharaja Lawak menggunakan pendekatan markah 50 peratus oleh juri dan 50 peratus lagi menerusi undian penonton.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: