Saturday, June 11, 2011

Berbasikal tempuh dingin malam


AHLI Kelab Mountain Bikes Perlis bersedia untuk menjalankan aktiviti malam dengan berkayuh basikal mengelilingi negeri Perlis ketika berkumpul di Kangar baru-baru ini.


JARANG sekali aktiviti riadah dilakukan pada ketika larut malam, sebagaimana kata orang tua-tua waktu 'embun jantan turun' paling sesuai untuk tidur atau kalau tidak pun, berada di rumah.

Namun, bagi sebahagian warga Perlis yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur, waktu seumpama itu cukup sesuai untuk aktiviti riadah seperti berbasikal.

Walaupun jarum jam menunjukkan tepat pukul 12 tengah malam, mereka tetap bersemangat mengayuh basikal secara berkumpulan tanpa mempedulikan diri yang kesejukan kerana menempuh dingin malam.

Tanpa mengira umur, malah semuda 10 tahun pun ada yang sanggup mengikut kumpulan berbasikal itu mengayuh pada lewat malam bermula pukul 12 tengah malam ke atas sebagai aktiviti riadah jika keesokannya hari rehat atau cuti sekolah.

Mohd. Fikri Ismail, 42, salah seorang yang terlibat dalam mengatur aktiviti berbasikal pada lewat malam memberitahu, kebanyakan peserta merupakan anggota Kelab Mountain Bikes (MTB) Perlis.

"Selain aktiviti kelab, kami merancang aktiviti sendiri pada waktu lapang seperti berbasikal pada lewat malam, disertai golongan muda sehingga yang berumur lebih daripada 50 tahun.

"Sesiapa sahaja boleh menyertai aktiviti ini kerana kami bukan berlumba, sekadar mengayuh (basikal) secara berkumpulan ke destinasi ditetapkan, pernah sampai sehingga 30 ke 50 kilometer," katanya yang merupakan seorang guru.

Menurutnya, aktiviti tersebut bukan sahaja dapat mengeluarkan peluh, malah merapatkan lagi hubungan sesama rakan dalam kumpulan tersebut, di samping melatih mereka berdisiplin.

"Contohnya pada malam ini (sewaktu sesi temu bual ini diadakan), kami hendak berbasikal dari Kangar ke Arau dalam jarak kira-kira 14 kilometer sehala dan kembali semula ke Kangar.

"Apabila menggunakan jalan raya atau jalan utama, kami ditetapkan supaya mematuhi peraturan jalan raya, selain basikal dan pemiliknya dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan," ujarnya.

Menurutnya, setiap anggota disyaratkan memakai topi keledar, sarung tangan dan cermin mata (cerah) untuk mengelakkan mata dimasuki serangga ketika berbasikal," tambahnya.

Selain itu, katanya, ada di antara anggota kumpulan memasang pemantul cahaya (reflector) pada basikal sebagai ciri-ciri keselamatan tambahan.

Seorang lagi anggota kelab, Salehhodin Hamzah, 54, berkata, dia cukup gemar berbasikal pada waktu malam walaupun terpaksa pulang lewat ke rumah selepas aktiviti selesai.

"Berbasikal pada waktu malam cukup selesa kerana cuaca yang sejuk kurang memenatkan," katanya.

Beliau juga berkata, anggota kumpulan yang terlibat dapat berkumpul dan berbincang mengenai hobi berbasikal, selain berkongsi pengetahuan tentang dunia basikal,

"Melalui aktiviti ini, kami bukan sekadar tahu tentang selok belok basikal, malah ada di antara kami yang sudah pandai membaiki basikal sekiranya ia mengalami kerosakan kecil," katanya.

Mengenai jenis basikal yang digunakan, katanya, pelbagai jenama boleh dilihat mengikut harga serendah RM1,000 sehinggalah mencecah RM18,000 sebuah ke atas.

"Sebenarnya, harga basikal atau jenama bukan ukuran kerana semua orang boleh berbasikal mengikut kemampuan masing-masing, asalkan ada minat dan kemahuan," tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: