Tuesday, June 21, 2011

Impi kegemilangan Feminin dan Elite

Kumpulan ditubuhkan atas nama Tiga ini mungkin masih hijau dalam industri hiburan, tetapi pengalaman dimiliki mereka bukan calang-calang.

Bergerak secara bertiga sejak awal kemunculan, Hana Amira Mohd Hatim (Hana), Stephanie Goh Mei Yee (Stephanie) dan Fazuin Mohd Yusoff (Fazz) sebenarnya sudah empat tahun menimba ilmu sebelum tuah menyebelahi mereka untuk disunting menjadi artis rakaman.

Membuka bicara, Hana mewakili kumpulannya berkata, pada asalnya mereka hanya sebuah kumpulan tarian sebelum berkembang menjadi kumpulan vokal yang turut mempertaruhkan tarian seperti kini.

“Kami berkenalan di Internet dan menubuhkan kumpulan yang digelar Selektaz atas dasar minat mendalam terhadap bidang tarian.

“Tumpuan kami ketika itu adalah tarian hip hop dan daripada situ kami mula mencipta koreografi sendiri,” katanya.

Bertapak di Lembah Klang, ketiga-tiga wanita bersemangat tinggi ini kemudiannya mencari ‘platform’ untuk mengembangkan bakat yang ada.

“Setelah yakin dengan kemampuan diri, kami tampil sebagai penari latar untuk beberapa artis terkenal.

“Nama-nama seperti Amy Search, Faizal Tahir, Stacy, Adam dan Hunny Madu adalah antara yang pernah menggunakan khidmat kami untuk mengiringi persembahan,” ujar Fazz pula.

Stephanie berkata, pengalaman demi pengalaman ditimba membuatkan mereka semakin bersemangat dan mahu mencorakkan masa depan yang lebih gemilang.

“Setelah empat tahun, kami merasakan sudah tiba masanya untuk maju ke satu tahap yang lebih tinggi.

“Kami mencuba nasib dengan KRU Studios sebelum dipanggil menjalani uji bakat dan kemudiannya diterima menjadi artis rakaman dengan nama Tiga,” katanya.


Vokal dan tarian seiring

Laluan bergelar artis tidak semudah disangka kerana tujuan KRU Studios menggilap bakat Tiga adalah untuk mengangkat mereka sebagai kumpulan vokal wanita dikagumi.

Menyedari tidak boleh sekadar bersandar bakat tarian, ketiga-tiga mereka gigih menjalani latihan vokal.

“Nyanyian bukanlah bidang kami walaupun kami memang suka menyanyi setiap kali berlatih menari.

“Tetapi, berkat kesungguhan belajar vokal kini, kami semakin yakin dengan kebolehan untuk menyanyi sambil menari,” kata Hana.

Melihatkan industri hiburan ketandusan kumpulan wanita setelah kali terakhir Feminin dan Elite mencetus fenomena, Tiga berhasrat mengembalikan kegemilangan itu tanpa dibayangi dua kumpulan terkenal tersebut.

“Kelebihan kami adalah mementingkan ‘visual performance’ yang memastikan stamina sentiasa berada di tahap tertinggi.

“Mungkin dari segi imej luaran kami nampak feminin, tetapi tenaga kami setanding dengan kaum Adam,” kata Stephanie.


Bukan cari kontroversi

Menggelar konsep mereka sebagai ‘funky pop and street’, ‘single’ pertama Tiga berjudul Lelaki Tak Guna sudah berkumandang di corong radio.

Melihatkan judul lagu ciptaan Edry itu saja sudah boleh mengundang kontroversi, terutamanya dalam kalangan lelaki yang mungkin tidak berpuas hati.

Mengakui hal itu, Hana berkata, mereka pernah di ‘boo’ oleh penonton lelaki ketika membuat persembahan.

“Kami tidak berniat pun mencetuskan kontroversi, sebaliknya lagu tersebut adalah mengenai pengalaman wanita yang mengalami kegagalan bercinta.

“Kami berharap peminat menyukai lagu tersebut dan terus memberikan sokongan kepada Tiga,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: