Tuesday, June 21, 2011

Hayunan Jean Semakin Bertenaga

Impian untuk beraksi pada Terbuka AS akan direalisasikan awal bulan depan.

SIAPA sangka di sebalik susuk tubuh kecil pemilik nama Chua Tze Jean atau lebih dikenali sebagai Jean Chua, tersimpan semangat yang cukup membara dan keberanian mengapai impiannya untuk bergelar pemain golf profesional.

Ternyata usaha keras dan pengorbanan besar yang dilakukan kerana minat, membuahkan hasil yang dianggap sebagai permulaan terbaik buat dirinya untuk mengorak langkah lebih jauh.

Selepas menamatkan pengajian di Universiti Wake Forest, Utara Carolina, Amerika Syarikat, Jean memutuskan untuk bergelar pemain golf profesional.

Keputusan tersebut hadir tepat pada masanya apabila anak jati Kuala Lumpur itu memenangi kejohanan profesional pertamanya pada Kejohanan LPGA Thailand dua tahun lalu.

Kariernya berada di kemuncak apabila atlet berusia 23 tahun itu mengisi slot ke Kejohanan Golf Wanita Terbuka Amerika Syarikat (AS) yang akan berlangsung di Colorado Springs dari 7 hingga 10 Julai ini.

Impian gadis yang tidak lokek dengan senyuman itu untuk berentap bersama pemain golf terkemuka dunia di kejohanan terulung itu berjaya direalisasikan selepas dirinya menduduki tempat pertama pada pusingan kelayakan Terbuka AS bulan lalu.

Jean menyifatkan kejayaan melangkah ke saingan Terbuka AS ibarat mimpi menjadi kenyataan yang pastinya menjanjikan pelbagai kenangan buat dirinya untuk memperbaiki mutu permainan.

“Saya tidak pernah membayangkan akan berada di peringkat ini. Pengalaman menamatkan permainan di lubang ke-18 untuk menduduki tempat pertama pada kelayakan Terbuka AS sentiasa kekal dalam ingatan,” katanya ketika ditemui Mingguan mStar baru-baru ini.

Sebagai persediaan awal, Jean kerap berkunjung ke gim untuk meningkatkan tahap kecergasannya. Apatah lagi, beliau mendapat bimbingan jurulatih Ian Triggs yang dilihat berupaya memacu teknik permainannya supaya lebih konsisten dan setanding pemain lain.

“Saya amat bertuah kerana dapat bekerjasama dengan Ian Triggs yang berjaya melahirkan ramai pemain terkemuka dunia. Saya dapat rasakan corak permainan saya menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa,” jelas anak bongsu daripada dua beradik ini.

Susulan kejayaan demi kejayaan yang dilakarnya sejak dua tahun lalu, Jean menerima tajaan berupa pembiayaan yuran penyertaan kejohanan di AS dan khidmat kejurulatihan bertaraf antarabangsa, Ian Triggs bernilai RM180,000 daripada Yayasan Sime Darby (YSD) selama tiga tahun.

Sebelum ini, Jean tidak mempunyai penaja dan kos latihan, tambang penerbangan dan yuran penyertaan dibiayai keluarganya.

Menyentuh mengenai pembabitan awalnya dalam sukan golf, Jean memberitahu minatnya mula hadir ketika berusia 14 tahun selepas mengikuti abangnya Chua Tze Ken berlatih di Kelab Golf dan Country Rahman Putra.

Bekas juara Terbuka Remaja 100 Plus itu sebenarnya terlebih dahulu berjinak-jinak dengan acara gimnastik sebelum beralih angin ke permainan lasak iaitu bola lisut ketika menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Nanas.

“Sebaik saja bermain golf, saya sedari ada persamaan di antara sukan itu dan permainan bola lisut. Saya terus mencuba dan mula meminati golf,” jelasnya.

Pada waktu itu, Jean turut aktif dalam kedua-dua sukan berkenaan. Atas nasihat kedua ibu bapanya, gadis yang amat menggemari nasi lemak itu terpaksa meninggalkan permainan bola lisut dan memberikan sepenuh perhatian terhadap sukan golf.

“Keluarga mahu saya fokus pada satu sukan saja...lagipun permainan bola lisut amat merbahaya. Jadi saya buat keputusan untuk menggembangkan karier selepas mendapat biasiswa menyambung pengajian ke Universiti Wake Forest,” katanya.

Selain mampu memukau perhatian pihak lawan di lapangan hijau, Jean punya bakat menari tarian ballroom yang dipelajari dari seorang profesor ketika menuntut di Universiti Wake Forest.“Saya tidak berlatih secara profesional. Adakalanya saya belajar teknik tarian itu daripada salah seorang profesor sepanjang tempoh pengajian dan pada musim cuti,” akhirnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: