Tuesday, June 21, 2011

Bapa Ekstrem Utamakan Survival Anak

Aiden, 5, sudah mula berjinak-jinak dengan waterski dengan sokongan bapanya.

LEBIH tiga dekad berkecimpung dalam pembangunan sukan negara, semangat speed demon Hanifah Yoong Yin Fah yang kini mencecah 63 tahun masih lagi membara demi menghangatkan lagi potensi sukan ekstrem tanah air di persada antarabangsa.

Bapa kepada pemangkin sukan lasak negara seperti Alex, Phillipa dan Aaliyah, atlet cilik luncur air bercita-cita tinggi, Hanifah bukan sekadar coach dad biasa malah merupakan contoh bapa paling ikonik menerusi sumbangan dan pengorbanan besar beliau ke arah pembangunan sukan lasak di Malaysia.

Walaupun demikian, Hanifah tidak ingin menonjol glamor sepertimana kehidupannya sewaktu bergiat aktif sebagai pelumba. Beliau mengakui bahawa ‘kegemilangan’ itu merupakan punca ramai atlet berbakat tidak mampu meningkatkan lagi potensi mereka apabila tenggelam dalam kemasyhuran yang hanya sementara.

Sebagai antara mangsa bencana tsunami 2004 yang terselamat, Hanifah yakin bahawa dunia sedang dilanda pelbagai ancaman seperti wabak penyakit dan bencana alam. Justeru, amat penting bagi generasi seterusnya untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk kehilangan keluarga tersayang.

“Saya berpesan kepada anak-anak sejak awal lagi. Hidup kita hanya sementara. Sebagai umat Islam, kita percaya kepada kedatangan Hari Kiamat. Amalan kita di dunia ini yang penting, bukan harta dan pangkat,” kata Hanifah di awal temubual eksklusif bersama Mingguan mStar di Pusat Maritim Putrajaya, baru-baru ini.

Semangat kesukanan

Nama Hanifah masih segar di ingatan peminat sukan perlumbaan apabila merangkul 18 kejuaraan dalam Production Cars Races sepanjang 1979 hingga 1994 termasuk pembabitan dalam Motor Rally selama lapan tahun (1981 - 1988) dan dinobatkan sebagai Juara Macau GP (1987, 1988) dan Malaysian Super Saga (1991).

Di bangku sekolah, beliau mula merangkul jolokan atlet negara sekitar lewat 1960-an dan mewakili negara dalam olahraga (acara 400 meter dan 400 meter berpagar) selain aktif bermain ragbi, bola sepak, hoki dan renang.

Justeru, tidak hairanlah disiplin dan etika kesukanan mempengaruhi sebahagian besar kehidupan Hanifah dan juga seluruh ahli keluarganya. Beliau juga tidak keberatan memberitahu bahawa semua anaknya ‘dicampak’ ke air sebelum berusia setahun untuk menguatkan naluri survival di awal tumbesaran mereka.

Melihatkan Aaliyah, 8, bersama adik-adiknya, Aiden, 5 dan Adam, 3 (hasil perkahwinan dengan Norzeela Sulaiman) mahir dan selesa berenang di tasik, membuatkan penulis memikirkan pendekatan corak didikan yang jauh berbeza di kalangan ibu bapa moden hari ini.

“Alangkah ruginya ibu bapa yang menghalang potensi anak dan menyekat kebebasan mereka sejak kecil lagi. Tidakkah mereka terfikir bahawa menghalang mereka memanjat, berlari dan berenang itu sama seperti menafikan hak mereka untuk belajar?

“Kanak-kanak mempunyai daya saing tinggi, bersemangat dan ikhlas melakukan sesuatu. Seperti Aaliyah, walaupun antara peserta paling kecil dalam kategorinya tetapi dia tidak peduli semua itu,” jelas Hanifah sebelum membawa bersama isterinya, Norzeela, Aidan dan Adam ke tengah tasik untuk melakukan latihan bersama Aaliyah.

Hanifah merasakan dirinya amat bertuah kerana dapat menjalani rutin harian bersama-sama Aaliyah lima kali seminggu bukan sekadar untuk mengasah bakatnya dalam sukan luncur air malah melihat kematangan dan ketabahan si puteri kecilnya itu sebelum melangkah ke alam pra-remaja kelak.

“Saya terkilan kerana bapa, seorang lelaki yang hebat, tidak mempunyai masa untuk keluarga. Beliau tiba di sini apabila Jepun sedang menakluki China pada 1933. Bapa terpaksa bekerja keras demi masa depan keluarganya,” ujar Hanifah lagi.

Penulis dan jurugambar cukup bernasib baik kerana berpeluang melihat dari dekat keunikan bakat semulajadi Aaliyah yang sedang giat menjalani latihan persediaan sebelum Kejohanan Asian 2011 Oktober ini di Putrajaya dan Sukan SEA 2011 di Palembang, Indonesia pada November ini.

Namun detik paling berharga adalah menyaksikan gandingan Hanifah, Aidan dan Aaliyah meluncur laju di atas air sambil si bongsu, Adam melaungkan dari dalam bot laju “Daddy! Me belum!”, merengek meminta dibawa meluncur bersama-sama abang dan kakaknya itu.

Daddy jurulatih pilihan saya!

Sementara Aaliyah, dalam mengejar impian merangkul kejuaraan dunia dalam kategori Womens Tricks, juga dilatih oleh kakaknua, Phillipa (hasil perkahwinan Hanifah dengan Joanna) yang juga Ketua Jurulatih MWWF dan atlet luncur air handal negara, di samping abangnya, Alex (bekas pemandu F1).

Pada usia 5 tahun, Aaliyah menunjukkan protes kepada bapanya yang merupakan Pengarah Acara World Cup International Waterski & Wakeboard Federation (IWWF) kerana bersungguh-sungguh mahu meluncur air.

Sedangkan Hanifah sehabis boleh menghalang hasratnya itu disebabkan faktor usia dan fizikalnya yang terlalu kecil berbanding peserta muda lain berusia antara 9 dan 12 tahun.

“Saya tahu saya boleh lakukan lebih baik daripada mereka. Puas saya merayu daddy selama tiga bulan, duduk di dok hanya memerhatikan peserta lain bergembira meluncur air dengan ski dan wakeboard mereka,” kata Aaliyah yang meraih kejuaraan pertamanya pada 2009 Malaysian Slalom bagi kategori bawah 10 tahun.

Dalam tempoh dua tahun, murid Tahun Dua Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Bandar Seri Putra itu berjaya memecahkan rekod kebangsaan oleh Phillipa. Menariknya, Aaliyah merasakan kejayaannya itu adalah hasil dorongan bapanya sebagai jurulatih tegas yang penuh kasih sayang.

“Saya tidak pernah merungut tentang panas, penat atau sakit kerana tidak mahu Daddy menyuruh saya berhenti (berlatih). Daddy juga kata saya paling cepat tangkap dan tidak berputus asa. Paling penting bagi saya, luncur air amat mencabar dan menyeronokkan!” kata Aaliyah sebelum mengakhiri temubual.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: