Thursday, June 16, 2011

Dayang memang memilih

MAJLIS pelancaran album Dayang Nurfaizah di Hard Rock Cafe, Hotel Concorde, baru-baru ini. - Foto Surianie Mohd Hanif
MAJLIS pelancaran album Dayang Nurfaizah di Hard Rock Cafe, Hotel Concorde, baru-baru ini. - Foto Surianie Mohd Hanif
Masih tercari-cari calon sesuai pasangan hidup

SETIAP dendangan Dayang Nurfaizah mengungkap rindu dan kasih sayang hingga apabila didengar dengan sepenuh jiwa, ia bagai melambangkan hatinya yang asyik dibuai asmara dengan jejaka idaman.
Namun akui gadis yang genap mencecah usia 30 tahun itu, apabila acap kali meluahkan pengakuan sepanjang hayat ini dia belum pernah melalui pengalaman bercinta, ramai tidak percaya hingga ada individu mengecop dirinya lesbian!
Empunya nama penuh Dayang Nurfaizah Awang Dowty mengawal perasaan sebaik mungkin apabila diajukan dengan pelbagai tohmahan tidak menyenangkan walau jauh di sudut hati kadangkala terselit rasa cemburu melihat teman sebaya sudah berkeluarga.

“Tak mungkin menjalin hubungan terlarang. Sebagai insan, kita serahkan segala-galanya kepada Yang Esa kerana Dia lebih mengetahui. Usia yang sudah mencecah 30-an membuatkan orang sekeliling risau apatah lagi di saat ini saya belum pernah berteman.

“Saya sendiri melihat semua ini dari sudut positif apatah lagi impian untuk merealisasikan sebuah konsert solo mega belum tercapai, mungkin selepas itu saya akan memikirkan soal jodoh pula,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album barunya, Sayang & Cinta.

Tawa kecilnya kedengaran sebaik saja soal jodoh dibangkitkan media malah dedah Dayang memang isu berkenaan mendominasi kehidupan sebaik saja usianya memasuki 30 tahun masuk daripada peminat.
Langsung tiada rasa kurang selesa sebaliknya soalan terbabit menunjukkan keprihatinan insan sekeliling terhadap dirinya apatah lagi selepas pengurus yang sudah bersamanya hampir sedekad, Shaliza Kader Sultan berhijrah ke Amerika Syarikat mengikut suami awal tahun ini.

Pelantun lagu Seandainya Masih Ada Cinta itu juga menafikan pengurus serta keluarga terlampau bersikap melindungi hingga lelaki takut mendekatinya apatah lagi menyuarakan rasa hati.

Sambil menyuarakan sebagai insan seni yang memulakan kerjaya sebaik tamat sekolah, kerjaya berada di tangga pertama hidupnya malah membuatkan kadangkala dia terlupa soal berpacaran.

“Saya sering ditemani keluarga ke mana-mana namun tidak bermakna mereka menyekat kebebasan. Boleh dikatakan saya juga agak pemilih tetapi bukan bersandarkan harta atau rupa fizikal, cuma sebagai gadis kita berhak menentukan siapa yang ingin kita dampingi hingga akhir hayat,” ujarnya.

Apa pun, anak jati Bumi Kenyalang itu semakin yakin melangkah dengan berbekalkan Sayang & Cahaya malah bersempena pelancaran album, Maybank Berhad mempercayai kebolehannya untuk menerajui persembahan amal pada 2 Julai di Hard Rock Cafe, di sini bagi mengutip dana untuk Majlis AIDS Malaysia.

“Ya, saya semakin matang. Sekali gus Sayang & Cahaya juga mematangkan diri apabila album yang disempurnakan dalam tempoh lebih setahun adalah sepenuhnya hasil air mata dan keringat sendiri.

“Sepanjang merealisasikan album yang memuatkan 12 dendangan, saya belajar dan menempuhi pelbagai pengalaman baru. Saya akui proses pembelajaran ini mengajar saya supaya lebih berdikari,” katanya membuka bicara mengenai buah tangan ke-lapan.

Persembahan itu juga diharap membuka laluan untuknya mengadakan konsert mega yang sudah diimpikan sejak beberapa tahun lalu namun kesukaran mendapat kerjasama penaja membantutkan usaha terbabit.

Diajukan pertanyaan mengapa sanggup melaburkan kos hampir RM100,000 sedangkan trend muat turun lagu semakin menggila, anak Bumi Kenyalang berhati waja itu punya alasan tersendiri.

Tegasnya album fizikal umpama portfolio bagi penyanyi sepertinya hingga membuatkan tidak sedikit pun rasa menyesal terselit di dada tambahan pula usahanya turut meraih sokongan peminat tegar.

“Awal dulu saya mahu membuat mini album. Saya bukan jenis kumpul dan buat pilihan tetapi lebih suka berjumpa komposer dan menulis lirik berkongsi idea. Jadi apabila satu persatu lagu yang bagus datang, alang-alang saya terus buat album penuh.

“Saya juga tetap ikut trend semasa. Apabila menghasilkan album ini, saya masih mengekalkan R&B namun masukkan kira-kira 30 peratus groove dan soul. Sekali pun mengikut kehendak pasaran, saya tidak mengenepikan kemahuan sendiri,” kongsinya lagi.

Apa pun disebabkan tidak pernah mencintai atau dicintai, hingga kini Dayang juga belum bersedia menulis bait lirik lagu sendiri apatah lagi beranggapan dirinya sukar menzahirkan rasa hati,” katanya.

Antara lagu dimuatkan adalah Sayang ciptaan Omar K lirik oleh Nuur Iman; Rahsia Cinta (Zain Almohdzar/Nuur Iman), Sabarlah (Syed Zain Almohdzar/Omar K), Kau Bintang Ku (My Sunshine) (Stella Reid/Zuriani Zonneveld/Nuur Iman) dan lagu Freedom, Mulanya Di Sini yang diberi nafas baru.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: