
SUASANA malam Jumaat awal bulan lalu di dewan serbaguna Kolej PTPL, Shah Alam, Selangor meriah apabila hampir 50 orang remaja berumur di antara 19 hingga 24 tahun menari mengikut alunan muzik. Para remaja yang terdiri daripada 75 peratus pelajar kolej PTPL dan MSU menari mengikut langkah kaki dan lenggok badan pembantu pereka tari walaupun kebanyakan mereka tidak mempunyai ilmu tarian. Mereka adalah antara 150 orang yang menyertai flash mob mengiringi persembahan penyanyi solo, Diddy yang telah berlangsung pada malam akhir Akademi Fantasia musim kesembilan baru-baru ini.
Bagi pembantu pereka tari, Fadzrol Izwan Khairol Anuar, 25, dia menyifatkan mengajar tarian flash mob lebih mencabar daripada bentuk persembahan lain. “Bilangan mereka sangat ramai dan kebanyakan tiada asas tarian malah, saya sudah diberitahu bahawa setiap hari akan ada peserta baru akan datang. “Jadi, persembahan mereka sangat sukar untuk dikawal cuma saya dapat memastikan semua langkah dan rentak seiring. “Tetapi yang penting mereka ada semangat untuk menari dan seronok melakukannya,” ujarnya yang pernah menjadi jurutari bagi pelajar Universiti Malaya.
Flash mob

Menurut pengasas kumpulan Loul Pop, Mohd. Khairulhazwan Zulhaimi, 30, flash mob membawa maksud sekumpulan orang yang hanya datang ke suatu tempat secara tiba-tiba, buat sesuatu yang menarik perhatian dan berlalu pergi. Persembahan yang datang secara tiba-tiba dengan kelompok besar akan menarik perhatian dan perasaan ingin tahu orang ramai akan dimanipulasi dengan menyuntik mesej yang ingin disampaikan.
“Kumpulan pertama yang mula-mula serius dalam menganjur flash mob adalah Improv Everywhere yang ditubuhkan oleh Charles Tod pada tahun 2001 di Amerika Syarikat. “Di sana, flash mob sudah membentuk satu budaya yang diterima ramai dan antara flash mob Improv Everywhere yang pernah mendapat perhatian berjudul No Pant pada 22 Januari tahun lalu,” katanya lagi. Acara tersebut mendapat perhatian seluruh dunia terutama warga New York apabila sekumpulan warganya tanpa rasa segan menanggalkan seluar ketika menaiki subway.
Tambah Khairulhazwan, ciri-ciri sebuah flash mob itu mestilah sebuah acara yang tidak terlalu dirancang dan tidak diketahui ramai terutama hebahan secara besar-besaran melalui media massa. Setiap persembahan perlu mempunyai tujuan yang ingin disampaikan sama ada mahu mempromosi produk atau cukup hanya untuk mewujudkan kesedaran kepada masyarakat. “Selain itu, kami juga tidak akan membuat sebarang permohonan permit untuk tempat dan persembahan bagi mengadakan flash mob. “Pihak berkuasa tidak akan mengetahui sebuah acara itu akan berlangsung, hanya orang yang berada di tempat kejadian yang akan dapat menyaksikan flash mob.

“Oleh sebab itu, flash mob mesti dilakukan ditempat tumpuan orang ramai seperti di KL Sentral, KLCC atau Bukit Bintang,” kata Hazwan ketika ditemui di Kolej PTPL, Shah Alam. Peserta yang menyertai flash mob juga akan berpakaian seperti orang biasa bagi mengelirukan orang ramai malah, terdapat beberapa acara peserta akan berlakon seperti seorang penyapu sampah dan sebagainya. “Tindakan tersebut akan dapat membangkitkan lagi perasaan ingin tahu orang ramai,” ulasnya yang juga seorang jurugambar. Bentuk persembahan pula tidak terhad kepada tarian sahaja tetapi ia bebas kepada kreativiti penganjur seperti lakonan, lakonan statik, pergerakan perlahan atau pun berbentuk usikan.
Jumlah ahli kumpulan tersebut tidak terbatas, semakin ramai menyertai sesebuah flash mob itu, ia akan menjadi semakin menarik. “Kami pernah mengadakan flash mob berbentuk lakonan hantu Cina ketika perayaan Tahun Baru Cina lalu di Asia Cafe, Subang Jaya dengan melibatkan hanya enam orang sahaja,” kata Khairulhazwan. Jika sesebuah flash mob itu sudah dirancang dan diberitahu kepada umum, ia boleh dikelas sebagai sebuah persembahan tarian sahaja. Sebab itu acara seperti Justin Bieber flash mob di Pavillion pada 19 April lalu dan Glee Flash Mob tahun lalu tidak boleh dikategori flash mob yang sebenar sebab sudah diuar-uarkan kepada orang ramai.
Cabaran

Berbicara mengenai aktiviti flash mob di Malaysia, seorang lagi pemilik bersama Loul Pop, Wan Farra Razlin, 32, mengakui berdepan pelbagai cemuhan daripada masyarakat. “Mereka mengatakan kami membuat sesuatu perkara yang tidak bermanfaat malah, ada beberapa orang menyifatkan tindakan tersebut sebagai bodoh dan mendatangkan perkara negatif. “Kami faham bagaimana suasana di sini dan kami membuat improvisasi setiap persembahan dengan budaya rakyat Malaysia,” ulas Farra yang ditemui ketika sesi latihan flash mob penyanyi Diddy. Tambah wanita itu lagi, kumpulannya turut berdepan dengan cabaran seperti dikejar polis dan pengawal keselamatan di lokasi flash mob.
“Pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah apabila salah seorang ahli kumpulan kami ditahan polis bantuan ketika flash mob di KL Sentral pada bulan Januari lalu. “Mujur Khairulhazwan datang menerangkan keadaan sebenar dan Allamdulillah sehingga kini tiada lagi yang pernah berada dalam lokap polis,” ujar Farra. Teknologi Setiap kali menganjurkan sesebuah flash mob itu, Hazwan, Farra dan seorang lagi perancang utama Loul Pop, Faizal Aswad, 25, akan duduk berbincang bagi menentukan konsep dan cara untuk sesuatu mesej itu dapat disampaikan. “Apabila semua sudah muktamad, kami akan menyebarkan informasi melalui laman sosial Facebook, Loul Pop dan SMS (khidmat pesanan ringkas) sahaja.
“Kami mempunyai pangkalan data nombor telefon yang kini sudah mencecah 500 orang pengikut, manakala bagi mereka yang baru berminat, boleh menghantar mesej mengenai maklumat mereka ke inbox (peti masuk) Facebook. “Maklumat yang akan dipapar dalam Facebook hanya memberitahu sebuah acara flash mob akan diadakan dengan tarikh, masa dan tempat bagi menjaga kerahsiaan,” ujar Farra lagi. Sesi latihan akan dilakukan di antara tiga hingga empat minggu dan mereka bebas untuk datang tanpa kekangan waktu atau disiplin yang ketat. “Bagaimanapun, kami tetap mempunyai waktu latihan yang tetap iaitu lima hari seminggu dengan empat ke lima jam pada hujung minggu. “Selain itu, klip video seperti langkah tarian akan dimuat naik ke laman web YouTube supaya mereka yang tinggal jauh dapat berlatih,” tambah Farra. Pada masa dan tarikh ditetapkan setiap pengikut yang telah memberi maklum balas akan berkumpul di tempat yang telah dirancang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: