Monday, June 13, 2011

Pemuliharaan khazanah alam


SEBAHAGIAN daripada 600 peserta yang menyertai projek pemuliharaan alam sekitar bergambar bersama sampah-sarap yang berjaya dikutip di Pantai Teluk Lipat, Dungun, Terengganu, baru-baru ini.


DUNGUN 12 Jun – Projek pemuliharaan alam sekitar anjuran Ocean Elements dan ditaja Scomi Marine Berhad di Dungun baru-baru ini, memang di luar jangkaan.

Apa tidaknya, perancangan awal hanya menganggarkan sekitar 100 peserta sahaja akan menyertai program tersebut.

Lazimnya memang sukar mendapatkan penyertaan yang ramai kerana program pemuliharaan alam sekitar hanya melibatkan kerja-kerja gotong-royong dan mengutip sampah-sarap.

Tambahan pula, ia lebih bersifat kerja-kerja sukarela tanpa sebarang habuan atau insentif.

Program-program pemuliharaan alam sekitar lebih bersifat kesedaran dan tanggungjawab bersama atas sifat prihatin terhadap khazanah sedia ada.

Dalam program di Dungun itu, adalah di luar jangkaan, apabila penyertaan program di Pantai Teluk Lipat itu amat mengagumkan kerana lebih 600 peserta menyertainya.

Semua ini kerana sikap kesedaran, prihatin dan tanggungjawab bersama yang terdapat pada diri setiap peserta.

Susulan kehadiran sebegitu ramai peserta itu, program tersebut berjalan lancar, malah sampah-sarap terutama batang-batang pokok yang berjaya dikutip, bertan-tan jumlahnya.

Hasilnya, sepanjang pantai Teluk Lipat tempat berlangsungnya program berkenaan didapati bersih.

Selesai sahaja program itu, orang ramai yang sentiasa berkunjung ke kawasan berkenaan dilihat begitu gembira dengan suasana kebersihan serta kecantikan pantai Teluk Lipat.

Pengarah projek yang juga Pengarah Ocean Elements, Mohd. Halimi Abdullah melahirkan rasa terkejut dengan jumlah penyertaan daripada penduduk Dungun itu.

Menurut Halimi, beberapa program yang dijalankan sebelum ini tidaklah mendapat penyertaan sebegitu ramai peserta.

Kata beliau, pihaknya hanya menjangkakan kira-kira 100 orang sahaja yang berminat menyertai program seperti itu.

‘‘Namun, sebaik sahaja kami tiba di Dungun dari Kuala Lumpur, ia sesuatu yang memeranjatkan kerana lebih 600 orang sudah menunggu bagi menyertai program ini.

‘‘Pihak penganjur tidak memberikan sebarang bayaran kepada para peserta.

‘‘Program ini lebih merupakan satu tanggungjawab sukarela dan kami bangga dengan jumlah penyertaan yang begitu besar,’’ katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada program itu, sejumlah besar sampah-sarap seperti kayu-kayu reput dan kayu hanyut, botol, plastik, kertas, tin, besi dan banyak lagi, berjaya dipungut.

Para peserta tanpa menghiraukan panas terik matahari dilihat bersungguh-sungguh mengutip sampah-sarap bagi membersihkan kawasan pantai Teluk Lipat.

Malah, beberapa buah lori milik pihak berkuasa tempatan terpaksa diguna untuk mengangkut sampah-sarap berkenaan terutama kayu-kayu hanyut.

Program itu dijayakan dengan berkesan melalui penyertaan daripada pihak berkuasa tempatan, warga pelajar terdiri daripada pusat pengajian tinggi, sekolah menengah, warga tentera dan banyak lagi.

Menurut Halimi, selain memastikan kawasan riadah bersih dan terus dipulihara, program berkenaan juga bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat terutama generasi pelapis mengenai pentingnya pemuliharaan alam sekitar.

‘‘Ini secara langsung membolehkan masyarakat berkunjung ke kawasan-kawasan riadah yang memang banyak terdapat di negara ini.

‘‘Kawasan-kawasan riadah ini perlu dijaga bersama agar generasi pelapis dapat memanfaatkan pada masa depan,’’ katanya.

Selain program di Teluk Lipat itu, pihak Ocean Elements turut mengadakan penerangan mengenai pentingnya pemuliharaan terumbu karang kepada para pelajar sekolah.

Penerangan berbentuk pendidikan ini mengenai pentingnya pemuliharaan alam sekitar dengan memberi fokus kepada khazanah dan hidupan laut yang terdapat di negara ini.

‘‘Penerangan ini kita adakan dalam setiap kali pengajuran program seumpamanya,’’ katanya.

Selain itu, beberapa pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Dungun pula buat pertama kalinya berpeluang belajar kemahiran skuba di Pulau Tenggol.

Kemahiran skuba scara percuma itu dilaksanakan melalui tunjuk ajar oleh ahli-ahli Ocean Elements.

Ia antara lain bertujuan memberi gambaran lebih dekat mengenai keadaan apabila berada di dasar laut.

Di Pulau Tenggol, Ocean Elements bersama Scomi Marine dan para pelajar UiTM tersebut turut menjalankan projek pembersihan pantai serta dasar laut.

Banyak sampah-sarap berjaya dikutip bagi memastikan terumbu karang di kawasan Pulau Tenggol dapat terus dipelihara.

Sampah-sarap yang dikutip itu dibawa ke permukaan air dan dimusnahkan kemudiannya.

Seorang peserta, Mohd. Hudzaifah Mohamad Sam, Eksekutif Kanan Komersial, Scomi Marine Bhd. berkata, dia dan rakan-rakan lain berasa bangga kerana dapat menyertai program tersebut.

‘‘Scomi Marine sendiri mempunyai tanggungjawab sosial dalam memulihara alam sekitar dan penyertaan kami dalam program seperti ini adalah keputusan yang tepat.

‘‘Kami bercadang untuk terus menyertai program seperti ini pada masa hadapan kerana ia banyak memberi manfaat kepada alam sekitar,’’ katanya.

Bagi Syazwani Hamzah, pelajar Diploma Pengurusan Perkhidmatan Makanan UiTM cawangan Dungun, peluang mengenali dunia skuba adalah satu kesempatan yang amat dinantikan.

‘‘Semasa menyelam kami berkesempatan menjalankan aktiviti pembersihan pantai dan dasar laut.

‘‘Ia secara tidak langsung membuka minda kita sebagai pelajar mengenai tanggungjawab bersama bagi memulihara alam sekitar,’’ katanya.

Mohd. Afiq Mohd. Saufi, seorang pekerja Penyelenggaraan dan Operasi di ibu negara pula mengakui, sejak mengenali Ocean Elements, beliau begitu tertarik dengan pelbagai program alam sekitar.

‘‘Bila ada program seperti ini, saya akan bersama bagi mengisi masa lapang,’’ katanya.

Mereka yang berminat menyertai program-program sama boleh menghubungi Halimi melalui e-emel halimi@oceanelements.my atau www.oceanelements.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: