Thursday, June 23, 2011

Emyza, Eliza perlukan bantuan


Masalah saraf yang dihadapi sejak kecil membuatkan dua beradik ini, Emyza Fazliena (kanan) dan Eliza Aina sukar berjalan.


"KALAU ikutkan, hati asyik berfikir tentang apakah nasib bakal menimpa anak-anak saya ini apabila saya dan ayahnya sudah tiada nanti, rasanya mahu jadi gila. Tapi akhirnya saya reda, sekarang semuanya saya berserah kepada Allah."

Itulah kata-kata seorang ibu, Halimatun Saadiah Harun, 47, yang membayangkan kebimbangannya mengenangkan nasib dua orang anaknya apabila ditakdirkan dia pergi buat selamanya nanti.

Emyza Fazliena Baharuddin, 20, dan Eliza Aina, 16, merupakan anaknya yang ketiga dan keempat daripada enam orang adik-beradik.

Melihat daripada keadaan fizikal, kedua-duanya memanglah tidak nampak kesan kecacatan. Namun ia boleh dibuat perbandingan dari segi perbezaan umur dengan tumbesaran mereka yang terbantut.

Menurut Halimatun Saadiah, kedua-dua anaknya itu merupakan orang kelainan upaya (OKU) dengan masalah dipanggil ataxiat elanggiectasia, yang melibatkan saraf. Ia dikesan sejak mereka berumur tujuh tahun lagi.

"Ketika mereka kecil dahulu memang tidak nampak sebarang kelainan. Mereka ceria sebagaimana kanak-kanak lain. Kami juga memberikan suntikan imunisasi yang lengkap buat mereka. Namun tahun demi tahun pembesaran mereka semakin terbantut.

"Mereka tidak lagi boleh berjalan, pergerakan tidak seimbang, pertuturan bermasalah, fizikal lemah dan tidak boleh membaca tetapi boleh mengenal huruf.

"Tambah memilukan apabila Eliza Aina sekarang menderita bronkitis akibat selalu demam dan batuk," katanya ketika ditemui di rumahnya di Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Menurut si ibu, anak-anaknya itu perlu dipimpin setiap kali hendak bergerak atau berjalan.

Pergerakan dua remaja iaitu seperti kanak-kanak yang baru sedang belajar berjalan perlu dipimpin atau berpapah pada sesuatu objek sebelum mampu melangkah, bertatih dan jatuh.

Jika tiada sebarang sebab, kedua-dua mereka tidak akan bangun kecuali untuk ke tandas.

Namun sebagai ibu yang penyayang, kedua-dua anaknya ini disekolahkan di Sekolah Menengah di Jalan Reko, Kajang, Selangor, dalam kelas pendidikan khas.

Latihan akademik buat mereka lebih kepada bagaimana untuk melatih mereka berdikari.

Sekarang, hanya Eliza Aina yang masih bersekolah, manakala Emyza Fazliena sudah menamatkan persekolahan.

"Jika mereka di sekolah, mereka akan memakai lampin pakai buang agar tidak menyusahkan cikgu yang perlu menghantar mereka ke tandas," ujarnya.

Bagi menyara kehidupan, Halimatun Saadiah memberitahu, dia dan suami, Baharuddin Salamat, 53, hanya bergantung kepada pendapatan membawa van sekolah untuk anak-anak di persekitaran kejiranan rumah pangsa di situ.

Selain untuk meraih rezeki, van tersebut juga untuk kemudahan membawa kedua-dua anak mereka ke Hospital Kajang, Selangor, untuk pemeriksaan kesihatan empat kali dalam sebulan.

"Dahulu ayah mereka bekerja di sebuah kilang tetapi melihat kepayahan saya membawa anak-anak ke hospital dia mengambil keputusan untuk mengambil skim pemberhentian kerja secara sukarela (VSS).

"Memang dengan keadaan mereka yang sukar bergerak, tugas membawa mereka ke hospital sesuatu yang mencabar lebih-lebih lagi dengan kudrat wanita seperti saya. Itu belum lagi soal perbelanjaan ulang-alik ke hospital dalam keadaan pendapatan suami 'cukup-cukup makan' saja.

"Tetapi sukar atau senang perlu juga dilakukan bagi membolehkan mereka menjalani terapi fizikal dan pelbagai pemeriksaan lain.

"Sebagai orang tua sudah tentu kami mahukan yang terbaik untuk anak-anak tidak kira sesusah mana sekalipun," katanya.

Halimatun Saadiah memberitahu, mungkin disebabkan kecacatan yang dialami hubungan keda-dua anaknya sangat rapat dan jarang berenggang.

Justeru bagi menghilangkan kebosanan ketika adiknya ke sekolah, Emyza Fazliena berniaga makanan ringan di luar beranda rumahnya.

"Jika kewangan mengizinkan saya bercadang untuk belikan dia tong ais krim, dia tentu akan lebih ceria kerana bukan hanya kerana dapat berjualan tetapi dapat bergaul dengan kanak-kanak sekeliling," katanya.

Namun apa yang penting bagi Halimatun Saadiah ialah sekiranya pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat mempercepatkan proses sumbangan elaun OKU untuk anak-anaknya agar sedikit terbela masa depan mereka.

"Kami sudah memohon, tetapi pihak JKM memberitahu proses seperti itu memakan masa.

"Dahulu ketika bersekolah, Emyza Fazliena menerima bantuan JKM RM150 sebulan tetapi dihentikan selepas dia habis sekolah. Begitu juga Eliza Aina yang bakal ditamatkan elaunnya selepas tamat sekolah nanti," jelasnya tenang.

Tutur Halimatun Saadiah, sumbangan bulanan daripada JKM diperlukan agar masa depan anak-anaknya itu terbela.

"Kita tidak tahu siapa antara kami yang akan pergi dahulu. Sekiranya ada peruntukan untuk anak-anak saya, redalah sedikit kebimbangan saya memandangkan mereka mungkin boleh dijaga oleh adik-beradik yang lain.

"Maklumlah individu OKU seperti mereka memerlukan banyak duit. Saya tidak mahu mereka menjadi beban kepada adik-beradik lain yang sudah tentu mempunyai keluarga sendiri nanti," katanya memikirkan nasib masa depan anak-anaknya itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: