Tuesday, June 21, 2011

Gaun Marilyn Monroe dilelong RM14j


Marilyn Monroe


BEVERLY HILLS 20 Jun - Gaun berlisu berwarna putih gading yang dipakai aktres Marilyn Monroe dalam filem The Seven Year Itch dijual pada harga AS$4.6 juta (RM13.8 juta) dalam satu acara lelongan kostum Hollywood, jauh lebih tinggi berbanding jangkaan asalnya.

Gaun yang digelar subway itu merupakan satu daripada pakaian yang paling diingati dalam sejarah perfileman.

Dalam satu babak filem Billy Wilder pada 1995 itu, sebuah keretapi yang melintas menyebabkan gaun tersebut terangkat ditiup angin ketika Monroe sedang berdiri diikuti dialog 'Bukankah ia menyeronokkan?' yang dilafazkan aktres tersebut.

Gaun rekaan William Travilla itu pada mulanya dijangka mengutip AS$1 hingga AS$2 juta (RM3 juta hingga RM6 juta) dalam acara lelongan selama 12 jam yang turut menampilkan 600 kostum dan memorabilia yang dijual aktres Debbie Reynolds di Beverly Hills, kelmarin.

Satu lagi gaun merah berlabuci yang dipakai Monroe dalam filem Gentlemen Prefer Blondes berjaya dilelong pada harga AS$1.2 juta (RM3.6 juta), lebih tinggi berbanding jangkaan asal lelongan sebanyak AS$200,000 (RM600,000).

Gaun Ascot Audrey Hepburn dari filem My Fair Lady pula dilelong pada harga AS$3.7 juta (RM11.1 juta).

Turut dilelong dalam acara tersebut adalah koleksi kostum Hollywood yang pernah dipakai Grace Kelly, Natalie Wood, Elizabeth Taylor, Madonna dan Mike Myers.

Reynolds, 79, mula mengumpulkan koleksi menarik tersebut semasa berlakon di bawah kontrak MGM sebelum studio itu melelong semua semua hartanya kecuali hartanah pada 1970.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: