Tuesday, June 21, 2011

Kekal aktif demi anak-anak

Thanuja dan bapanya sama-sama gemarkan ais krim.

USIANYA kini mencecah 67 tahun namun masih bersemangat dan aktif. Alasannya mudah, dia mahu kekal sihat untuk terus memberikan sokongan kepada empat cahaya mata yang menjadi nyawanya.

Bapa kepada Miss World Malaysia 2009/2010, Thanuja ini berulang kali memberitahu bahawa dia begitu sayangkan anak-anaknya dan ingin menjaga mereka selagi nyawa dikandung badan.

“Saya sangat sayangkan mereka dan akan terus menyayangi mereka tidak kira semasa susah atau senang dan akan menjaga mereka sebaik mungkin walaupun mereka semua telah besar dan mempunyai kehidupan sendiri,” ujar Ananthan ketika ditemui Mingguan mStar baru-baru ini.

Teruja dengan temubual pertama bersama anaknya pada hari itu, Ananthan ketika menceritakan rahsia awet mudanya berkata, pengambilan makanan sihat dan senaman secara konsisten adalah dua elemen penting demi mengekalkan kesihatannya.

“Walaupun saya gemar makan aiskrim, tetapi saya mengimbangkan amalan pemakanan secara sihat dengan mengambil banyak sayur-sayuran dan melakukan aktiviti joging setiap hari,” ujarnya sambil diperhatikan oleh anaknya, Thanuja.

Pernah menetap di London dan Ireland bersama dua anaknya yang menetap di sana selepas bersara, Ananthan berkata, walaupun seronok dapat bertemu anak-anak tetapi kehidupan menjadi bosan dan dia mengambil keputusan untuk kembali bekerja.

Bertugas sebagai konsultan di sebuah firma di ibu negara, Ananthan berkata, walaupun usianya telah lanjut tetapi bekerja dapat membuatkannya terus aktif dan bersemangat.

Thanuja tidak senang dibuli

Rancak bercerita mengenai Thanuja, Ananthan berkata, anaknya itu dan kembarnya Anu bijak membawa diri sejak kecil, lasak selain tidak mudah dibuli oleh sesiapa dan kualiti itu membuatkannya tidak gusar tentang keselamatan anak-anaknya itu.

Ananthan memberitahu minat Thanuja dalam pertandingan ratu cantik telah bermula sejak dia kecil apabila isterinya sering merakamkan pertandingan itu dan Thanuja akan menontonnya berulang kali.

“Pada asasnya saya tidak pernah menyangka dia serius untuk menyertai pertandingan ratu cantik tetapi apabila dikenangkan zaman kanak-kanaknya tidak ada apa yang perlu dikejutkan,” katanya yang pernah berkhidmat sebagai seorang pegawai bank.

Tambahnya, walaupun pada mulanya sukar untuk menerima hasrat hati anak gadis kesayangannya itu untuk menyertai pertandingan ratu cantik tetapi dia dan isterinya akur dengan kehendak Thanuja.

“Walaupun saya kurang bersetuju tetapi setelah difikirkan tidak salah saya memberikan sokongan kepadanya kerana tidak mahu dia terlepas peluang yang datang sekali seumur hidup dan menyesali kemudian hari,” ujarnya yang banyak membantu anaknya ketika menyertai Miss World Malaysia 2009/2011.

Harap anak-anak taat kepada ibu bapa

Ditanya mengenai sambutan Hari Bapa pada tahun ini, Ananthan berkata, dia tidak tahu apakah kejutan yang bakal diberikan oleh Thanuja dan anak-anaknya yang lain namun tidak mengharapkan kejutan luar biasa daripada mereka.

“Mereka taat kepada keluarga dan dapat menjaga diri sendiri dengan baik adalah sudah memadai kepada saya. Pada usia begini, saya hanya mahu mereka sentiasa ada dengan saya dan dekat dengan mereka,” katanya penuh harap.

Tidak risau mengenai anak-anaknya kerana kepercayaan yang diberikan kepada mereka sebelum ini tidak pernah disalahguna dan mereka pandai menjaga diri masing-masing.

“Saya sentiasa memberikan nasihat yang baik kepada mereka tentang kehidupan dan menunjukkan contoh yang baik dan bersyukur kerana mereka bijak menggunakan kebebasan yang diberi dan tidak pernah lupa asal usul,” katanya sambil memandang ke arah Thanuja penuh makna.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: