SUDAH lama Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani ingin menyunting Erra Fazira dan Aaron Aziz sebagai peneraju utama teater Badai Semalam.
Baginya, watak Mazni dan Karim dalam novel Badai Semalam karya hebat Khadijah Hashim itu sangat sesuai dilakonkan oleh kedua-dua artis hebat Malaysia dan Singapura itu.
“Apabila Istana Budaya mahu pentaskan teater Badai Semalam, saya sudah membayangkan siapakah yang sesuai melakonkan watak utamanya iaitu Mazni dan Karim. Jadi, bagi saya Erra dan Aaron sangat sesuai memegang kedua-dua watak ini kerana mereka mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar memperkenalkan barisan utama pelakon teater Badai Semalam di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Katanya, pemilihan barisan pelakon lain seperti Datin Paduka Umie Aida, Ziela Jalil dan Fizz Fairuz secara tidak langsung akan mencantikkan dan menguatkan lagi perjalanan teater tersebut.
“Sebenarnya saya masih tidak puas bersama Fizz, Ziela dan Umie selepas mereka menjayakan teater Natrah. Disebabkan itu, saya terfikir untuk mendapatkan khidmat mereka sekali lagi.
“Walaupun Fizz pada mulanya menolak kerana pengalaman bersama Natrah cukup memenatkan dan katanya pementasan juga terlalu lama, saya tetap memujuknya berlakon dalam teater Badai Semalam,” katanya yang bersungguh-sungguh mengharapkan yang terbaik untuk teater tersebut.
Ditanyakan pula mengenai pemilihan Aaron dalam teater itu, kata Joe, naskhah Badai Semalam itu sangat popular sehingga ke Singapura dan pihak Singapura sendiri ada bertanyakan mengenai nashkah tersebut untuk dipentaskan di Esplanade, Singapura. Disebabkan itu pemilihan Aaron dijadikan pancing untuk menarik khalayak Singapura menonton teater tersebut.
Merupakan produksi ulung Istana Budaya tahun ini, menurut Abang Joe, pemilihan novel Badai Semalam untuk diangkat sebagai teater di IB disebabkan nashkah sastera itu mempunyai mesej yang cukup kuat dan novel tersebut sangat popular.
“Kisah Badai Semalam mempunyai mesej yang berguna tentang seorang wanita yang hidup pada zaman 1970-an yang mahu berjuang untuk mengenali serta mencari siapa dirinya. Cerita itu juga memaparkan kehebatan seorang wanita,” katanya yang menjanjikan teater tersebut pastinya akan menambat hati penonton kerana dihiasi dengan props dan tatarias pentas yang menarik selain akan mengadakan beberapa kejutan.
Tambahnya, terdapat juga beberapa babak yang memerlukan Erra menyanyi.
Menurut Erra pula, pemilihannya untuk menjayakan watak Mazni memberi satu penghormatan kepadanya. Lebih-lebih lagi karya tersebut mempunyai impak yang besar.
“Karya ini sangat ulung dan memberi impak yang besar kepada orang ramai. Apabila ia dipentaskan dan watak utama sebagai Mazni diserahkan kepada saya, ia sememangnya satu penghormatan kepada saya,” katanya yang anggun mengenakan gaun rekaan 1970-an.
Bagaimanapun, Erra mengaku yang dia belum lagi berkesempatan membaca karya tersebut tetapi sudah tahu keseluruhan jalan cerita.
Menurutnya, bukan mudah untuk membawakan watak Mazni dan dia terpaksa benar-benar mendalami watak tersebut agar dapat memberikan yang terbaik untuk teater Badai Semalam.
“Satu tugas yang berat perlu saya pegang untuk merealisasikan watak Mazni. Saya juga perlu buat kajian mengenai watak ini agar ia tidak akan mengecewakan peminat novel tersebut serta peminat teater secara keseluruhannya.
“Selain itu, saya amat teruja untuk terlibat dalam teater ini kerana saya berpeluang bekerjasama bersama dua rakan baik saya, Umie Aida dan Ziela Jalil,” katanya lagi.
Bagi Fizz pula, ia merupakan kali kedua penglibatannya dalam teater selepas Natrah. Katanya, dia menerima watak Zaki dalam teater tersebut kerana tidak mampu menghampakan pemintaan abang Joe selain teruja ingin berlakon dengan Erra.
“Walaupun saya tahu berlakon teater ini penat dan mengambil masa yang lama tetapi disebabkan dua individu tersebut, saya menerimanya,” katanya.
Beralih pula kepada Umie, dia mengaku begitu teruja menjayakan watak Rohana iaitu ibu kepada Karim kerana dapat berlakon di samping rakan baiknya Erra.
Umie juga mengaku tidak sabar untuk membelasah Erra dalam teater tersebut kerana ada babak yang memerlukan Umie menaikkan tangan ke atas Erra.
“Saya sangat teruja menjayakan watak Rohana kerana mahu bekerjasama dengan Erra. Memang saya hendak sangat berlakon di samping dia selepas sama-sama berlakon dalam cerita Cinderella.
“Malah saya juga tidak sabar untuk membelasah Erra dalam teater Badai Semalam,” katanya dalam nada bergurau.
Bagi Aaron yang kini sibuk membuat promosi filem KL Gangster, walaupun pementasan Badai Semalam akan bertembung dengan pengambaran untuk sebuah drama lakonannya di TV3, dia tetap menerimanya dan berjanji akan memberikan yang terbaik untuk kedua-dua projek tersebut.
Dalam pada itu, Ziela Jalil turut menyatakan hasrat tidak sabar untuk menjayakan pementasan teater Badai Semalam dan berharap pementasan tersebut akan memberi impak yang baik dan berjaya.
Teater Badai Semalam akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 11 hingga 20 November ini. Maklumat lanjut berhubung teater itu boleh diperoleh melalui laman sesawang www.istanabudaya.gov.my.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: