
BUKAN sekadar metafora tetapi grup yang berasal dari Pekan Baru, Indonesia ini tekad menjadikan lapangan terbang sebagai latar belakang kulit album.
Grup yang dianggotai oleh lima anak muda ini punya visi dan impian. Mereka mahu menjelajah negara demi negara melalui lapangan terbang bagi menyebarkan virus muzik Geisha.
"Kami keluar dengan album kedua yang bertajuk Meraih Bintang. Melalui album ini kami mahu mencapai bintang kerana perjalanan kami masih panjang. Album pertama sudah membawa kami ke Hong Kong dan kami berharap selepas ini kami dapat singgah di lapangan terbang antarabangsa negara lain pula," kata vokalis Geisha, Momo yang gembira kerana sudah bertapak di Malaysia.
Mendarat di Malaysia pada Ahad lalu, Geisha membawa buah tangan untuk peminat di sini. Meraih Bintang dipersembahkan sebagai bukti kesungguhan mereka dalam bermuzik.
"Kami bermula sebagai finalis festival muzik A Mild Wanted di Pekan Baru pada 2007. Melalui lima peringkat saringan dan akhirnya ke pertandingan akhir. Ini sebuah batu loncatan. Kami tidak menjadi juara tetapi dipanggil oleh syarikat rakaman untuk membuat album," ujar Roby mengenai grup yang berawal dengan nama Jingga dan berkonsepkan muzik alternatif progresif rock.
Diterima baik dengan album perdana, Anugerah Terindah, kini Meraih Bintang memberi pesan cinta buat khalayak terutamanya remaja yang baru berjinak-jinak dengan aura tersebut.
"Melalui album pertama, kami mendaki perlahan-lahan tetapi dapat bertahan lama. Lagu kami berada lama di carta dan kami juga mendapat anugerah Pendatang baharu Terbaik dan Band Terdahsyat di acara anugerah di Indonesia," ujar Roby yang merupakan penulis lagu untuk album kedua Geisha.

Terlalu banyak grup yang tumbuh di Indonesia tetapi itu tidak membuahkan gundah buat grup yang terkenal dengan lagu Cinta dan Benci ini. Buat mereka menjadi diri sendiri dan berdiri dengan muzik yang mereka percaya ada keteguhan prinsip untuk berjaya.
"Kami menjadi diri sendiri. Tidak mahu melatah dalam bermuzik. Kita suka muzik pop yang kami bawakan sekarang. Tetapi kami tidak menutup mata, telinga dan hati untuk terus belajar perkembangan muzik," ujar Momo yang percaya ciri khas atau karakter muzik tersendiri akan membuatkan sesebuah grup itu bertahan dalam arena muzik.
Menarik perhatian ramai juga apabila grup ini melancarkan album kedua mereka secara maya di Jakarta, Indonesia. Idea daripada grup kegemaran ramai U2 yang pernah menggunakan cara yang sama di California, Geisha menjadi artis pertama Indonesia yang menggunakan kaedah live streaming untuk pelancaran album.
"Kalau cuma berada di satu tempat, kita tidak dapat mencapai semua peminat. Jadi kami gunakan format 'live streaming' untuk sampai kepada para peminat yang berada di Indonesia, Hong Kong, Malaysia, Thailand dan Australia.
"Respons sangat baik dan kami kebanjiran komen di laman sosial Twitter dan Facebook. Sesuatu yang baru buat para peminat kami. Malah mereka juga dapat melihat kami menjalani latihan di studio sehari sebelum pelancaran dengan format live streaming," ujar Momo.
Buat Geisha yang tampil dengan tujuh buah lagu di malam media Universal Music Malaysia pada selasa lalu, mereka sedang dalam perjalanan panjang.
Menjejaki kaki ke Malaysia membuahkan harapan dan berharap dapat bertemu MyGeisha (nama panggilan peminat Geisha) di waktu-waktu mendatang dengan bukti bahawa muzik mereka mampu mendarat di negara-negara luar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: