Wednesday, June 22, 2011

Air bersih untuk semua


SEBAHAGIAN daripada sukarelawan antarabangsa yang menjalankan Projek Air Bersih Untuk Komuniti di pedalaman Sabah selama sembilan minggu, baru-baru ini.


HUJAN yang mencurah pada petang itu tidak sedikitpun menjejaskan kegembiraan kira-kira 100 orang penduduk di pedalaman Sabah yang hadir untuk meraikan majlis penuh bersejarah di kampung mereka.

Tanpa kerusi dan meja yang mencukupi, majlis di bawah khemah berlantaikan tanah yang sudahpun becak ketika itu tetap meriah.

Pada wajah mereka terpancar seribu kesyukuran.

Perasmian Projek Air Bersih Untuk Komuniti yang disiapkan pada April lalu menandakan berakhirnya penantian penduduk di Kampung Toboh Pahu dekat Ranau untuk menikmati bekalan air bersih.

Hari tersebut menjadi hari pertama bagi suku kaum Dusun yang mendiami kawasan kaki Gunung Kinabalu itu melihat curahan air dari batang paip.

Siapa sangka ketika kebanyakan kita sudah lama menikmati kemudahan asas itu, ada lagi sebilangan penduduk di negara ini yang masih bergantung kepada air tadahan hujan dan saliran air dari celah bukit.

Perasmian yang cukup sederhana itu disambut dengan sorakan dan tepukan para tetamu.

Majlis bersebelahan dengan perpustakaan desa itu kemudiannya dimeriahkan lagi dengan tarian Sumazau oleh murid-murid sekolah.

Majlis disempurnakan oleh wakil Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun iaitu Pengerusi Rakan Pengguna Sabah (RPS), Datuk Amisah Yassin.

Amisah berkata, Kerajaan Negeri Sabah berterima kasih kepada Raleigh dan Coca-Cola Malaysia di atas sumbangan yang amat bererti kepada penduduk pedalaman di situ.

Katanya bekalan air yang lebih bersih bukan sahaja memudahkan kehidupan seharian bahkan dapat mengurangkan risiko penyakit akibat pencemaran air.

"Hari ini saya sendiri dapat merasakan kegembiraan di hati penduduk kampung," katanya sebelum merenjis para tetamu menggunakan air dari saluran paip yang disambung dari puncak bukit.

Berkongsi kegembiraan pada hari itu ialah 15 orang 'mat dan minah salleh' yang merupakan tulang belakang kejayaan projek bekalan air graviti di Toboh Pahu, kampung yang terletak kira-kira 100 kilometer dari Kota Kinabalu.

Kumpulan remaja berusia antara 17 hingga 25 tahun itu merupakan sukarelawan Raleigh Borneo yang bertungkus-lumus selama sembilan minggu menyiapkan projek yang ditaja bersama syarikat minuman Coca-Cola.

Selain Toboh Pahu, beberapa buah kampung seperti Solungkapit, Bompong dan Monguwou turut menikmati kemudahan daripada Projek Air Bersih Untuk Komuniti pada tahun ini.

Terlebih dahulu menerima kemudahan yang sama adalah Kampung Himbaan, Kemborongoh, Linapasan, Mohimboyon, Pasu, Pitas, Randugung, Ratau, Rugading, Sosondoton, Tampasak, Tongou, Tudan dan Vunui Locos.

Sehingga kini, program yang dimulakan sejak 2006 itu telahpun membantu meringankan beban kira-kira 12,000 penduduk di lebih 16 buah kampung di Sabah.

Sebelum menerima kemudahan air graviti, penduduk di Toboh Pahu dan pedalaman Ranau menggunakan kaedah tradisional iaitu membuat penyambungan buluh dari anak sungai.

Selain itu, mereka juga bergantung kepada tadahan air hujan.

Penulis yang tiba sebelum perasmian pada hari itu sempat merasai sebahagian daripada kesukaran hidup penduduk di kawasan tanah tinggi itu yang masih bergantung pada air bukit.

Lokasinya yang terpencil di puncak bukit menyukarkan penyaliran air bersih melalui paip.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: