Wednesday, June 22, 2011

MASiF himpun penggiat fesyen, muzik


Karyawan muzik dan fesyen bergambar bersama para tetamu selepas sidang akhbar MASiF 2011 di Kuala Lumpur baru-baru ini.


SUSULAN kejayaan yang dicipta tahun lalu, Music, Arts, Style, International Festival (MASiF 2011) akan menemui rakyat Malaysia untuk kali kedua bermula 15 September ini.

Selain diadakan bersempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September, festival tersebut yang akan berlangsung selama tiga hari dijangka mampu memberi pendedahan dan manfaat khususnya buat generasi muda mengembangkan bakat.

Festival unik tersebut yang akan berlangsung di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) itu, berteraskan tiga genre seni iaitu muzik, lukisan dan fesyen.

MASiF 2011 membuka pintu terutama dalam menghimpunkan bukan sahaja penyanyi dan penggiat muzik, malah pereka fesyen dan model serta beberapa cabang seni halus lain termasuk lukisan dan arca.

Ketiga-tiga elemen utama tersebut akan bersatu pada satu pentas dan dijangka mendapat sambutan bukan sahaja di kalangan rakyat Malaysia tetapi juga pelancong luar.

Menurut Presiden MASiF 2011, Ir. Adam Salim, tahun ini festival tersebut dilihat mampu menarik lebih ramai penyertaan memandangkan ia tahun kedua diadakan.

"Jika tahun lalu ia berjaya menarik minat seramai 25,000 orang, tahun ini apa yang diharapkan jumlahnya akan melebihi 100,000 pengunjung.

"Apa yang menjadikan MASiF satu festival unik ialah selain merangkumi pelbagai lapisan masyarakat yang berbilang kaum. Ia merupakan satu festival yang mengenengahkan acara kesenian terbesar yang merangkumi muzik, fesyen dan seni halus.

"Insya-Allah kali ini pengisian aktivitinya akan lebih banyak dan sebenarnya kebanyakan acara seperti pertandingan fotografi, reka bentuk poster serta pertandingan boling telah pun bermula 1 Jun lalu," ujarnya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tahun ini selain KLCC, jalinan kerjasama turut diberikan oleh Saphire Screen Sdn. Bhd., Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan; Kementerian Pelancongan; Kementerian Belia dan Sukan; Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar; Radio Televisyen Malaysia (RTM); UiTM Holdings; Nona, Don't Panic; Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL); GJA; Art Malaysia; Kapas; Petronas; Suria KLCC; KLCC Property Holdings Berhad dan Proton.

Menurut Adam lagi, kebanyakan acara akan diadakan di Concourse Suria KLCC, KLCC Esplanade dan Galeri Petronas.

Sementara itu, pada sidang akhbar yang sama, Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Mohd. Mahyidin Mustakim berkata, MASiF 2011 mampu membantu melonjakkan bakat-bakat di kalangan rakyat Malaysia.

"Malaysia sebenarnya tidak ketandusan bakat-bakat baru dan muda cuma mereka ini tidak dikenali kerana tidak diberi pengiktirafan yang sewajarnya.

"Dalam hal ini, kerajaan turut memberi penekanan dengan melancarkan dana industri kreatif sebanyak 200 juta pada tahun lalu.

"Melalui dana inilah kita cuba membantu mereka yang berbakat dalam bidang seni dan kreatif dan mereka tidak seharusnya melepaskan peluang yang telah disediakan ini," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: