Wednesday, June 22, 2011

Aril teringin berlakon filem


SEBAGAI anak seni, Aril ingin merebut peluang untuk berlakon di layar perak.


PENGALAMAN berlakon dalam beberapa buah drama seperti Kau Dan Aku musim pertama dan kedua serta Shuffle Milikku memberikan iltizam buat bintang Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7), Aril untuk mencapai misi seterusnya sebagai anak seni.

Pemilik nama penuh Mohd. Khairil Azam Pilus, 26, itu menyatakan, dia ingin meneroka dengan lebih mendalam erti bergelar insan seni apabila hasratnya untuk berlakon filem tercapai suatu hari nanti.

Baru-baru ini, selepas terbabit dengan penggambaran klip video lagu Hanya nyanyian Aril sendiri, keinginannya untuk melebarkan bakat lakonannya ke layar perak begitu berkobar-kobar.

Kata Aril, watak sebagai lelaki lurus bendul yang dilakonkannya dalam klip video arahan Shuhaimi Lua itu amat memuaskan hatinya.

"Pengarah juga memberikan komen positif terhadap lakonan saya dan ia membuatkan saya lebih bersemangat untuk menjadi pelakon berkaliber dan komited.

"Sejak bertapak dalam bidang seni, saya sudah lama mengimpikan diberi peluang untuk berlakon filem.

"Tidak kira watak yang diberikan sebesar mana, saya tidak kisah asalkan peluang berlakon filem menjadi realiti.

"Mungkin sehingga kini, rezeki yang saya harapkan itu belum menjadi milik saya dan saya sabar menunggu saat itu," ujar Aril yang juga adik kepada penyanyi Izwan Pilus itu.

Berbalik kepada kisah klip video lagu tema filem Tolong Awek Aku Pontianak (TAAP) itu, Shuhaimi memberitahu, Aril merupakan stand-in kepada watak Zahiril Adzim yang merupakan pelakon utama TAAP.

Sama seperti lakonan Zahiril, pengarah filem kontroversi Chukang itu cuba mengklonkan watak tersebut ke dalam diri Aril menerusi klip video lagu Hanya.

"Aril berjaya menghayati karakter yang sama seperti mana yang dilakonkan Zahiril walaupun dia belum lagi menonton filem berkenaan.

"Saya hanya memberi gambaran terhadap apa yang perlu Aril lakukan dalam klip video ini. Alhamdulillah, dia mampu membawakan watak lelaki lurus bendul itu dengan baik.

"Memandangkan TAAP adalah sebuah filem komedi seram, saya turut menerapkan pendekatan yang sama terhadap klip video ini kerana itu adalah permintaan Tayangan Unggul Sdn. Bhd. selaku penerbit," jelas Shuhaimi.

Menceritakan kisah di sebalik tabir sepanjang penggambaran klip berkenaan yang diadakan di Teratak Angah, Kemensah, Hulu Klang, Selangor itu, Shuhaimi memberitahu, dia diuji apabila sebatang pokok sebesar pemeluk tumbang tatkala penggambaran mahu dimulakan.

Lebih menghairankan, keadaan cuaca ketika itu begitu tenang tanpa adanya tiupan angin kencang mahupun hujan lebat dan ia membuat Shuhaimi terdiam seribu bahasa.

"Bagaimanapun, di tengah-tengah hutan yang gelap sebegitu, saya hanya membatukan diri tanpa meluahkan segala yang bermain di minda kepada sesiapa.

"Bak kata orang tua, benda pelik jangan ditegur," ceritanya ketika majlis pelancaran klip video berkenaan di pusat karaoke Red Box, The Gardens Mall, Petaling Jaya baru-baru ini.

Menurut Shuhaimi lagi, walaupun bekalan elektrik ketika itu turut terputus akibat daripada pokok tumbang tersebut, dia tetap gigih mahu meneruskan penggambaran dan berdoa tiada lagi sebarang kejadian aneh yang berlaku.

Akhirnya, Shuhaimi memanjatkan rasa syukurnya apabila klip video yang dijadualkan bermula pukul 7 malam itu berjaya disiapkan sekitar pukul 3 pagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: