Saturday, February 19, 2011

Mahkamah Arah Persatuan Karyawan Mohon Maaf Kepada Prism

Pengurus Besar Prism, Ong Peng Chu

AMPANG: Pengurus Besar, Badan Hak Pelaku dan Persembahan Artis Sdn Bhd (Prism), Ong Peng Chu menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dalam tempoh 30 hari bermula 14 Februari lalu ekoran fitnah yang disebarkan terhadap badan itu.

Kegagalan berbuat demikian menyebabkan Karyawan boleh diperintahkan untuk membayar pampasan sejumlah RM10,000, selain turut bertanggungjawab menanggung segala kos guaman kes tersebut.

Menurut Ong yang ditemui pada sidang media pengumuman keputusan kes saman Prism terhadap Karyawan, Jumaat, Mahkamah Tinggi pada Isnin lalu telah memerintahkan Karyawan membuat permohonan maaf secara terbuka di atas kenyataan-kenyataan akhbar berunsur fitnah sekitar tahun 2002.

"Keputusan mahkamah pada Isnin lalu memerintahkan pihak Karyawan memohon maaf secara terbuka kepada Prism dalam tempoh 30 hari di atas segala fitnah yang disebarkan terhadap Prism selama ini.

"Jika gagal berbuat demikian, maka Karyawan ditetapkan untuk membayar pampasan sejumlah RM10,000 kepada Prism," katanya.

Sehubungan itu, Ong turut menegaskan bahawa fitnah yang dilakukan oleh persatuan artis itu bukan sahaja meninggalkan impak besar kepada Prism malah turut menjejaskan reputasinya.

"Kesan daripada pertuduhan yang dilakukan Karyawan bukan sahaja menimbulkan kecurigaan artis dan masyarakat terhadap kredibiliti Prism. Ia turut mencalarkan reputasi saya di kalangan ahli Prism sendiri.

"Bayangkan saya terpaksa menjawab panggilan telefon yang bertalu-talu daripada pelbagai pihak setiap hari kerana inginkan penjelasan berhubung fitnah yang timbul itu," katanya.

Mengulas mengenai jumlah tuntutan saman yang hanya berjumlah RM10,000, Ong berkata, pihaknya tidak menetapkan sebarang jumlah terhadap kes tersebut.

Sebaliknya, ia ditetapkan oleh pihak mahkamah sebagai pampasan di atas pertuduhan yang dilemparkan.

"Kita tidak menetapkan sebarang jumlah terhadap kes saman ini. Apa yang lebih penting adalah untuk menyelesaikan perkara ini dan sekali gus memulihkan kembali persepsi masyarakat terhadap ketelusan Prism.

"Karyawan hanya perlu minta maaf secara terbuka dan semuanya akan selesai," jelas Ong.

Menjawab pertanyaan mengenai dakwaan penyelewengan wang Prism, Ong mengalu-alukan mana-mana pihak untuk datang melihat sendiri akaun dan penyata kira-kira yang mengandungi bukti lengkap bagi menyangkal pertuduhan tersebut.

"Saya alu-alukan sesiapa sahaja yang ingin melihat sendiri segala akaun dan penyata kira-kira Prism bagi membuktikan sejauh mana kebenaran dakwaan yang dikemukakan.

"Saya boleh buktikan perjalanan saya ke luar negara telah ditaja oleh badan-badan antarabangsa tertentu dan bukannya menggunakan duit royalti artis seperti yang didakwa Karyawan," katanya.

Persengketaan di antara Prism dan Karyawan bermula pada sekitar 2002 apabila persatuan itu melalui presidennya Datuk Freddie Fernandez menuduh badan pengutip royalti artis itu menipu jumlah bayaran royalti artis-artis tanah air.

Tidak reda di situ, Freddie pada sekitar tahun 2009 meneruskan serangan ke atas Prism yang mengaitkan kononnya penyelewengan wang royalti artis telah disalahgunakan oleh Ong untuk melancong ke luar negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: