Sunday, August 1, 2010

Selepas Ariel, kini KD


KEMESRAAN Raul dan KD jelas terbayang melalui senyuman dan sentuhan manja mereka.


KISAH video lucah Ariel-Luna Maya-Cut Tari masih menjadi titik perbualan khalayak. Sudah berbulan-bulan ketiga-tiga selebriti Indonesia itu menjadi tumpuan.

Namun, paparan gambar Kris Dayanti atau KD dan kekasihnya Raul Lemos berkucupan mesra berjaya mengubah topik perbualan.

Malah, gambar ciuman terang-terangan yang menunjukkan kasih sayang mereka menjadi kritikan ramai.

KD sudah tidak malu alah untuk muncul bermesra-mesraan dengan Raul, lelaki asal Timor Leste yang kini bertakhta di hatinya.

Ciuman yang diberikan oleh Raul tepat ke bibir KD itu berlaku ketika mereka berhadapan media Indonesia pada 21 Julai lalu.

Restoran Excelsior di Jakarta Selatan menjadi saksi mereka sedang mabuk cinta dan tidak menghiraukan pandangan ramai.

Ciuman itu juga dilihat sebagai satu balasan terhadap ciuman Anang di kening penyanyi duetnya, Syahrini tidak lama dahulu.

Akibatnya, mereka menerima pelbagai reaksi. Puteri sulung KD, Aurel malah menjadi individu yang meramaikan kolum Say No To Krisdayanti di laman sosial Facebook.

Melihat kematangan anak yang berada di bawah jagaannya kini, Anang mengaku tidak mempengaruhi minda gadis kecil itu.

Kata Anang, dia tidak dapat melarang kehendak anaknya dan sekadar memberikan gambaran mana yang baik atau sebaliknya supaya anaknya itu boleh berfikir sendiri sebelum bertindak.

Kakak kandung KD, Yuni Shara sempat bersuara menyatakan kekesalannya atas aksi berani adiknya itu.

"Ya, saya kesal. Ciuman di kening sahaja sudah jadi perbualan, malah ramai yang mengatakan ia tidak wajar," ujar Yuni yang pernah dikritik kerana pernah dicium oleh kekasihnya, Raffi Ahmad dalam satu acara.

"Saya tidak ingin mencari alasan. Mungkin saat itu adik saya khilaf. Dia tidak dapat menjaga kata hatinya.

"Saya mohon kesalahan itu dimaafkan," ucap Yuni lagi mewakili adiknya yang sedang mabuk cinta.

Tahu ada hati yang terluka dengan aksi cium itu, KD muncul meminta maaf.

"Buat semua orang tua di Indonesia, seluruh wanita dan anak-anak, daripada lubuk hati yang paling dalam saya menyatakan permohonan maaf," ucap KD dalam sebuah acara televisyen seraya menyatakan dia tidak berniat untuk menyakiti hati sesiapa atau mengundang reaksi.


CIUMAN mulut inilah yang menjadi bahan kritikan umum hinggalah KD tampil memohon maaf.


KD turut memohon maaf kepada keluarga terutama ibunya. "Saya minta maaf pada ibu saya, saya malu," ucapnya.

Bagi yang tidak merasai gejolak jiwa sang diva, ada yang sengaja menghasilkan sekeping gambar palsu yang dibuat menggunakan perisian Adobe Photoshop CS5.

Ciuman asal di bibir itu diubah menjadi ciuman Raul di dada KD. Jelas ada yang sengaja mahu memercik api kontroversi.

Kini, seorang diva sedang melalui fasa kontroversi hebat dalam kehidupan cintanya. Namun yang pasti, dia seperti lebih mendahulukan rasa cinta daripada kutukan umum.

Menurut KD, Raul adalah sosok yang penuh dengan aura cinta dan tidak peduli jika hubungan asmaranya itu bakal mencetuskan polemik.

"Pada 11 April lalu, saya putus (bercerai) dengan orang yang saya cintai," ucap KD sambil melirik manja ke arah Raul sewaktu pertemuan dengan media Indonesia.

KD turut menyebut akronim CLBK iaitu 'cinta lama bersemi kembali' dengan Raul. Menurutnya: "Raul buat saya jatuh cinta. Tatapannya sahaja sudah mesra."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: