|
|
BAYANGKAN Angelina Jolie boleh memanjat bangunan tinggi, melompat dari sebuah trak ke sebuah trak yang sedang bergerak tanpa mengalami sebarang kecederaan, menunggang dan memecut laju motosikal berkuasa tinggi di tengah Washington DC serta cekap memasukkan peluru di dalam pistol.
Tidak terhenti di situ, seumpama "orang terbang," dia juga berkebolehan bergayut di dalam sesalur lif dengan melompat dari satu tingkat ke satu tingkat tanpa rasa gayat bagi memastikan buruannya berada dalam genggaman.
Itu belum ditambah dengan kehebatannya berdiri di atas kaki sendiri menumpaskan lebih 50 orang lelaki. Jelas, wanita jelita kepunyaan aktor Brad Pitt dan ibu kepada Maddox, Pax, Zahara, Shiloh, Knox dan Vivienne ini berjaya membuatkan semua penonton berkata "wow!"
Pun begitu, ada yang tidak percaya dan berkata mana mungkin Jolie boleh melakukan semua ini. Benar. Sebab kita bukan memperkatakan mengenai diri Jolie. Sebaliknya watak Evelyn Salt yang dipegangnya menerusi filem baru terbitan Columbia Pictures berjudul Salt.
Salt garapan pengarah Phillip Noyce sememangnya dihasilkan untuk memberi idea kepada penonton dengan memaparkan Jolie sebagai seorang wanita agresif yang serba boleh.
Seperti watak dalam filem Wanted, Mr. & Mrs. Smith dan sedikit percikan watak Lara Croft dalam filem Tomb Rider, kemampuan Jolie ternyata dirasakan berbaloi oleh peminat-peminat filem aksi di seluruh dunia.
Karakter Salt banyak terdedah dengan bahaya. Ia membawa penonton ke setiap elemen kejutan yang ada tanpa sedikit pun tercalar dengan sebarang kelemahan watak.
Proses ini ternyata membuktikan bahawa Jolie tidak pernah gagal dalam mempamerkan kecemerlangannya menjiwai watak sebegini yang dilihat begitu 'kena' dengannya.
Evelyn Salt (Jolie) seorang ejen terbaik yang berkhidmat dengan CIA. Seorang yang taat setia dan sanggup melakukan apa sahaja demi negara.
Namun, kemunculan seorang pembelot Rusia bergelar Orlov lakonan Daniel Olbrychski telah merubah segala-galanya apabila dia dituduh sebagai perisik negara tersebut.
Dari saat itu, Salt sedar dirinya bukan sahaja menjadi buruan CIA, ejen Peabody lakonan Chiwetel Ejiofor, tetapi juga oleh rakan setugasnya, Ted Winter lakonan Live Schreiber.
Orlov menuduh Salt mempunyai agenda untuk membunuh Presiden Rusia, Matyveyev lakonan Olek Krupa ketika beliau menghadiri majlis pengkebumian Timbalan Presiden Amerika Syarikat (AS).
Selepas berjaya meloloskan diri daripada pemburu-pemburu menggunakan segala kemahiran yang dimiliki, Salt menuju ke gereja di mana majlis pengkebumian itu diadakan. Bagaimanapun, sasaran sebenar Salt tidak dijelaskan secara terus.
Dia kemudiannya 'bermain' pula dengan jiwa penonton yang sedang keliru memikirkan sama ada dia benar-benar seorang pembelot Rusia yang mahu membunuh presidennya sendiri atau muncul sebagai seorang individu teraniaya yang mahu menuntut keadilan. Persoalan siapa sebenarnya Salt kekal menjadi misteri dalam filem ini.
Jolie dalam filem ini juga dipaparkan sebagai seorang wanita yang kejam terhadap individu sasarannya. Namun, bagi peminat filem aksi ganas, Salt sedikit mengecewakan kerana kekejaman wanita ini dilihat 'bersih' tanpa pertumpahan darah. Mungkin itu satu sebab filem Noyce ini diklasifikasikan PG-13.
Sifat kedekut Noyce juga terserlah apabila dia seboleh-bolehnya meminimumkan aspek penjelasan keseluruhan jalan cerita termasuk penamat Salt yang memerlukan penonton untuk berfikir selain sukar diramalkan.
Durasi 95 minit ternyata tidak mencukupi untuk meneka apa yang cuba disampaikan oleh Noyce menerusi Salt. Penulis tidak menolak kemungkinan besar filem ini akan muncul dalam bentuk sekual.
Apa pun, Salt berjaya menonjolkan Jolie setanding dengan karakter James Bond. Cuma Salt dizahirkan dalam versi wanita.
Apa yang menarik, gender juga bukan lagi menjadi satu isu dalam filem ini khususnya bagi karakter lasak yang sebelum ini sinonim dengan lelaki.
Itu membuktikan bahawa Jolie berjaya menampilkan satu dimensi berbeza dan bukan sekadar memukau penonton menggunakan bibir seksinya sebagai senjata untuk memancing peminat menonton filem tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: