SETIAP kali tibanya Ramadan, Fatima Bibi akan menyediakan pelbagai hidangan tradisi yang lazat dan menyelerakan untuk berbuka puasa.
Antara hidangan yang menjadi kegemaran keluarganya ialah Khyber Pakhtunkhwa, Balochistan dan Gilgit-Baltistan yang terkenal di barat, Pakistan. Ia dimakan bersama roti naan dan nasi, tidak terkecuali hidangan pencuci mulut seperti buah-buahan, yogurt dan lasi.
Kemeriahan yang sama turut dirasai di sekitar perkampungan wanita berusia 50 tahun itu yang terletak di pinggir bandar Multan. Berbuka puasa beramai-ramai disertai kunjungan ke masjid untuk menunaikan solat fardu dan Tarawih sudah menjadi satu tradisi.
Bagaimanapun, hujan lebat monsun yang berterusan sejak pertengahan Julai lalu mengubah kehidupan Fatima sekeluarga. Mereka kini hidup sehelai sepinggang dengan rumah, tanaman dan haiwan ternakan hilang dalam sekelip mata.
Banjir pertama berlaku di wilayah Baluchistan pada 22 Julai lalu, sebelum ia merebak ke wilayah-wilayah berhampiran. Limpahan air dari Sungai Indus menyebabkan satu pertiga daripada negara itu termasuk wilayah barat laut sehingga ke Punjab dan Sindh yang menempatkan bandar raya terbesar dan pusat komersial, Karachi, ditenggelami air.
Lebih memilukan, ketika lebih satu bilion umat Islam di seluruh dunia memulakan ibadah puasa pada 11 Ogos lalu dengan penuh kegembiraan, kira-kira 20 juta rakyat di Pakistan kini menderita akibat banjir terburuk dalam tempoh 80 tahun.
"Ramadan kali ini amat berbeza. Dulu saya mampu menyediakan pelbagai jenis makanan untuk berbuka, kini kami hanya bergantung kepada nasi yang diberikan oleh pekerja bantuan.
"Bagaimanapun saya bersyukur kerana kami sekeluarga terselamat," kata Fatima yang menetap di sebuah khemah penempatan mangsa-mangsa banjir.
Sistem komunikasi rosak teruk manakala jalan raya yang menghubungkan kebanyakan wilayah masih ditenggelami air dan sukar dilalui kenderaan biasa. Sebanyak 700,000 kediaman, beratus ribu hektar kawasan pertanian dan 200,000 haiwan ternakan musnah dalam bah besar itu.
Jumlah angka korban juga semakin meningkat. Dianggarkan seramai 1,600 orang maut dalam kejadian itu manakala ribuan yang lain cedera.
Kebanyakan mangsa yang terselamat dan menetap di khemah-khemah sementara berdepan dengan kekurangan makanan dan sumber air bersih serta terdedah dengan pelbagai jenis penyakit.
Jurucakap operasi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Maurizio Guiliano berkata, sekurang-kurangnya 36,000 orang dipercayai berpotensi dijangkiti cirit-birit dan menerima rawatan bagi mengelakkan penularan wabak taun.
"Ia adalah gelombang pertama kematian disebabkan banjir. Jika kita tidak bertindak pantas akan ada gelombang kedua kematian berpunca daripada kekurangan air bersih, makanan dan penyakit yang disebarkan melalui air dan haiwan," katanya.
Rindu bertukar juadah
Seorang mangsa, Sheraz memberitahu setiap hari dia dan keluarganya berharap diberikan makanan untuk membolehkan mereka menjalani Rukun Islam ketiga itu.
Dia yang merupakan seorang tukang masak, kini kehilangan segala-galanya. Bukan sahaja rumahnya dihanyutkan banjir, restoran tempatnya bekerja turut rosak teruk.
"Kami bukan berasal daripada golongan kaya, tetapi mempunyai rumah yang dibuat daripada lumpur. Banjir bagaimanapun memusnahkan kampung kami. Saya tidak pernah terfikir ada di antara kami yang akan merempat dan terpaksa berpuasa di tepi jalan raya," katanya.
Lelaki itu bagaimanapun bernasib baik berbanding mangsa banjir yang lain kerana dibantu oleh saudara-maranya.
"Kami diberi tempat tinggal tetapi mereka juga miskin dan tidak mampu menyediakan makanan secukupnya kepada kami sekeluarga," tambahnya.
Isterinya, Nazia yang masih trauma bercerita tentang pengalaman yang dilalui semasa rumah mereka dinaiki air.
"Saya bangun pada tengah malam apabila mendengar suara orang menjerit. Saya memegang anak-anak dan meninggalkan rumah kami apabila air sudah mencecah ke paras lutut.
"Situasi itu sangat sukar dengan air mulai meningkat ke paras dada dan arus semakin deras. Saya gagal mengimbangi diri kerana ditolak arus kuat sehingga terjatuh ke dalam air bersama anak-anak," ceritanya yang bersyukur kerana berjaya diselamatkan oleh suaminya.
Nazia memberitahu dia akan merindui jiran-jirannya dan tradisi bertukar juadah berbuka puasa yang sering dilakukan setiap kali ketibaan Ramadan.
"Perkongsian dan bersedekah merupakan amalan yang digalakkan sepanjang bulan ini. Kini semuanya tinggal kenangan, ada di antara mereka yang menetap di khemah pelarian dan menumpang di rumah saudara-mara," jelasnya.
Tetap berpuasa
Penderitaan mangsa-mangsa banjir turut mendapat perhatian Mufti Pakistan, Muneebur Rehman yang menyatakan kelonggaran berpuasa dibenarkan namun ia perlu diganti semula selepas Ramadan berakhir.
Bagaimanapun, majoriti penduduk tetap tabah meneruskan ibadah berkenaan.
"Kami akan terus berpuasa, tetapi kami tidak tahu bagaimana untuk berbuka nanti, sama ada kami berjaya mendapat makanan atau tidak. Hanya Allah S.W.T sahaja yang mengetahui," kata Nusrat Shah yang menjadikan sebuah jambatan di Sukkur sebagai penempatan sementara dia dan keluarganya.
"Berdoalah untuk kesejahteraan kami," ujarnya, sambil menjerang teh di bawah timbunan kayu api.
Naseer Somroo yang diselamatkan oleh sebuah bot tentera laut selepas rumahnya di wilayah Sindh ditenggelami air memberitahu, dia dan keluarganya sakit serta kelaparan selepas tidak makan selama berhari-hari.
Namun apa yang berlaku tidak langsung menjejaskan keimanan mereka untuk tidak berpuasa.
"Kami telah berpuasa sejak hari pertama. Kami menghayati bulan ini dan menjalankan ibadah yang ditetapkan tetapi tidak pasti bagaimana sambutan Aidilfitri nanti," katanya.
Kebanyakan mangsa banjir juga semakin terhimpit berikutan banyak kedai yang ditutup. Harga makanan meningkat berkali ganda di beberapa kawasan sepanjang bulan Ramadan ini atas alasan kesukaran mendapat bekalan.
"Bila saya bertanya kepada pekedai mengenai harga sayur yang dijual, saya seperti terkena kejutan elektrik. Semuanya mahal," jelas Zahida Khatoon, 46, ketika membeli-belah di sebuah pasar di tengah Islamabad. "Apa yang hendak dibeli di sini pun saya tidak pasti. Saya tidak mampu membayar harganya."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: