Saturday, August 28, 2010

Nostalgia Jamil Sulong


DATUK JOHAN JAAFAR memberi ucapan tahniah kepada Datuk Jamil Sulong pada Malam Lagenda Perdana Tiada Kata Secantik Bahasa, sempena Pelancaran Buku Warisan Dan Wawasan Datuk Jamil Sulong.


MELANGKAU usia 60 tahun mengerah kudrat di daerah seni, tiada lain dimahukan oleh penggiat seni veteran, Datuk Jamil Sulong atau lebih akrab disapa Pak Jamil selain berehat dan menghabiskan hayatnya bersama isteri, Datin Rosnani Jamil serta seisi keluarga.

Bahkan, memasuki usia 84 tahun pada 6 Ogos lalu, tokoh perfileman itu kini hanya mahu menjadi pemerhati kepada gelanggang hiburan ditambah kondisi kesihatan diri kurang mengizinkan untuk terlibat secara aktif dalam bidang begitu dicintainya. Lebih mudah bertindak selaku orang di belakang tabir, itu luah Pak Jamil sambil tersenyum puas.

Lantaran itu, Pak Jamil mengambil kata putus untuk memuntahkan segala momen dan suka duka melibatkan diri sebagai anak wayang menerusi penerbitan buku riwayat hidupnya - Warisan dan Wawasan. Tiada lain, jiwanya berbunga ingin berkongsi pengalaman diraih selama enam dekad dengan peminat termasuk generasi baru.

“Pembikinan buku ini lahir daripada minat saya menulis sejak menuntut di bangku sekolah rendah di Batu Pahat, Johor. Selepas menulis beberapa buah buku didedikasikan buat Tuanku Abdul Rahman, Datuk Usman Awang dan Tan Sri P. Ramlee, sekarang tiba giliran saya menulis tentang kisah hidup sendiri.

“Bayangkan, selama bergelar anak seni, saya sudah menjalani pelbagai benda. Bagai menjadi satu kemestian, pasang dan surut juga berlaku kepada saya selain dirasai oleh pelakon era sama dan muka-muka baru. Cabaran ini yang sebenarnya banyak mematangkan kita agar menjadi insan lebih tabah dalam hidup.

“Alhamdulillah, saya telah ada semua dalam umur sekarang. Baik melibatkan hal peribadi atau kerjaya, saya sudah lihat segala pencapaian membanggakan satu demi satu,” katanya ketika ditemui di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur minggu lalu.

Menyambung bicara yang sedikit tersangkut-sangkut, keazaman bintang legenda itu bagaimanapun tetap membakar di dada. Hal itu dibuktikan apabila Pak Jamil masih ingin memberi sumbangan kepada industri perfileman Malaysia menerusi penulisan sementelah dia sebenarnya sebahagian naratif besar filem bangsa kita.

“Saya harap dengan coretan ini terutama selepas Warisan dan Wawasan, saya dapat menyediakan lebih banyak karya bertulis kepada karyawan seni lain. Terus-terang, saya cukup gembira dapat melancarkan buku tentang kisah hidup ini. Tidak dapat digambarkan betapa bahagianya saya apabila dapat menabur jasa dengan cara tersendiri.

“Biarpun saya hanya mampu memandang perjalanan bidang ini, saya berdoa agar ia terus berkembang dengan lebih baik lantas berupaya menerobos ke persada antarabangsa. Bukan satu keajaiban lagi buat kita untuk mencapai kejayaan pada peringkat tertinggi kalau ada usaha keras,” jelas Pak Jamil yang menghidap pelbagai penyakit tua.

Memperlihatkan apresiasi terhadap sosok prolifik tanah air itu, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) mengadakan sebuah acara khas, Malam Legenda Perdana – Tiada Kata Secantik Bahasa serta pelancaran naskhah Pak Jamil itu.

Selain melancarkan Warisan dan Wawasan, majlis yang dirasmikan oleh Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaafar dengan dihadiri lebih 20 artis veteran serta pelakon-pelakon generasi baru itu memperkenalkan buku Tiada Kata Secantik Bahasa yang diisi dengan himpunan lirik lagu popular hasil tulisannya disertakan nota muzik.

Malam penuh signifikan yang menyambut ulang tahun kelahiran Pak Jamil itu turut diserikan dengan pertunjukan daripada artis-artis senior dan baru mendendangkan lagu-lagu hasil ciptaannya seperti Merak Kayangan, Berkorban Apa Saja, Engkau Laksana Bulan, Tiada Kata Secantik Bahasa, Joget Pahang dan Tiru Macam Saya.

Antara artis yang menjayakan persembahan pada malam itu ialah Hail Amir, Ogy Rashid, Salwa Abdul Rahman, Nasir Wahab, Aishah, Razali Hussin, Ibnor Riza, Azlina Aziz, Liza Aziz, Musly Ramlee, Zehra Zambri, Asha Al-Fayyed, Fiona, Iqbal, Zaki dan Shamimi.

Acara yang dikemudikan oleh Ogy Ahmad Daud dan Irfan Roslan itu turut diserikan dengan pementasan babak filem perdana arahannya pada tahun 1957, Batu Belah Batu Bertangkup sebelum acara memotong pulut kuning untuk individu diraikan sekali gus menutup tirai pada malam indah tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: