Saturday, August 14, 2010

Luahan rasa peniaga kantin


INILAH Kantin Stesen Keretapi M. Hassan yang menyimpan pelbagai kisah dan kenangan bagi penumpang KTMB di Stesen Tanjong Pagar.


STESEN Tanjong Pagar di Singapura memiliki ambiens yang tersendiri, lebih rileks biarpun tanpa keselesaan pendingin hawa di ruang menunggu. Kata orang, inilah satu-satunya tempat anda boleh merasai suasana Malaysia di tengah-tengah hutan konkrit kota Singa.

Tempat makannya tidak pernah surut. Dari siang hingga ke malam, meja dan kerusi yang disusun di atas platform ketibaan tren sentiasa bersedia menyambut pelanggan 24 jam setiap hari. Malah, ada di kalangan penulis blog tempatan yang sanggup meredah kesesakan jalan demi sepinggan nasi beriani atau segelas teh tarik di situ.

Seorang pesara, Mahmod Abdullah, 59, berkongsi cerita bahawa menikmati teh tarik yang lebih berlemak di Kantin Stesen Keretapi M. Hassan di stesen Tanjong Pagar itu sememangnya satu nikmat.

Dengan aneka pilihan makanan seperti mi Siam, mi rebus, laksa Singapura dan roti canai, kemuncak gastronomi di kantin itu biasanya berlangsung pada sebelah malam.

"Waktu malam, nasi lemak akan dijual dengan hampir 15 jenis lauk dan pelanggan seperti saya pasti rambang mata memilih," ujarnya yang sering mengunjungi kantin tersebut.

Penyewa Kantin Stesen Keretapi M. Hassan, Masudul Hassan, 63, pula berkata, kantin yang sudah berusia lebih separuh abad itu pada asalnya ditempatkan di luar kawasan stesen.

Biasa menerima pelanggan tetap yang ada ketikanya hanya datang sekadar berbual kosong, nostalgia di stesen Tanjong Pagar terlalu pekat untuk diceritakan satu persatu.


PENANGAN nasi beriani di stesen Tanjong Pagar dikatakan menyebabkan kebanyakan pelanggan kembali semula.


Cukup beremosi apabila diminta untuk berkongsi dengan Kosmo!, Masudul sekadar memberitahu hatinya pilu. Hakikatnya, dia mengakui hilang semangat untuk meneruskan perniagaan apabila mengetahui tentang kesahihan berita penutupan stesen Tanjong Pagar mulai Julai tahun hadapan.

Tarikan kantin

"Macam mana tak sedih? Banyak pelanggan di sini saya lihat mereka dari muda hingga berusia. Anak-anak saya pun dibesarkan dengan duit berniaga di sini," kata bapa kepada lima orang anak itu.

Kerisauan terhadap punca pendapatan selepas ini cukup difahami. Selama bertapak di stesen itu untuk mencari rezeki, bukan sahaja amaun pendapatan yang menjadi ukuran kebahagiaan, malah hubungan rapat sesama pelanggan yang terbentuk sejak lebih lima dekad lalu adalah 'buah tangan' paling berharga pernah dihadiahkan oleh sebuah stesen bernama Tanjong Pagar.

Perkara itu turut diakui oleh Ajimul Naseerullakhan, 36 tahun. Generasi ketiga penjaga kedai, Habib Railway Bookstore di stesen itu tidak menafikan bahawa Kantin Stesen Keretapi M. Hassan itu menjadi antara tarikan utama pengunjung ke Tanjong Pagar. Jika tidak ingin makan makanan berat, sekadar menjamah karipap atau keladi goreng sebesar saiz sejengkal pun cukup berbaloi.


AJIMUL merupakan generasi ketiga yang mewarisi kedai buku Habib Railway.


"Ada yang datang ke sini pun semata-mata nak makan di kantin kerana sedap. Bukan untuk menaiki kereta api," katanya yang menetap di Johor Bahru kepada Kosmo!.

Anak kedua daripada lima adik-beradik ini turut mempunyai memori indah tentang stesen Tanjong Pagar. Sewaktu berusia sekitar 16 tahun, dia dan sahabat baik sering menjadikan ruang Platform 3 sebagai tempat bersukan.

"Itu...(sambil menuding ke arah satu kawasan) tempat kami bermain bola sepak dan kadang-kadang badminton setiap kali musim cuti sekolah. Suasananya sangat santai. Patutlah orang lama suka datang ke sini untuk menenangkan fikiran," jelasnya yang yakin akan merindui stesen ini apabila ia dipindahkan nanti.

Kelibat-kelibat warga berusia turut kelihatan melayan fikiran sendiri sambil duduk di ruang lobi yang hanya ditemani kipas-kipas siling. Stesen yang pernah dikenali dengan gelaran FMSR atau Federated Malay States Railway itu banyak mengingatkan golongan peniaga di situ tentang sejarah hubungan kedua-dua buah negara.

Biarpun nasib peniaga-peniaga yang merangkumi tiga buah kantin, sebuah kedai pengurup wang dan sebuah kedai buku belum dapat dipastikan lagi, sejujurnya Ajimul tidak kisah jika dia ditempatkan di Terminal Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP) nanti.

"Memang tak ada masalah untuk berpindah. Cuma perasaan itu tidak akan sama lagi selepas ini," ujarnya sambil merenung jauh.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: