Saturday, August 7, 2010

Kurung moden pilihan jiwa muda

PADA pagi lebaran, kebanyakan wanita memilih busana tradisional seperti baju kurung dan kebaya untuk digayakan.

pix_middle



Biarpun terdapat lambakan pelbagai fesyen busana terbaru di pasaran, ia masih tidak dapat menarik minat wanita yang dikatakan lebih senang tampil sederhana, tetapi bergaya pada pagi Aidilfitri.


Seiring kemajuan arus aliran fesyen, busana tradisional berkenaan turut mengalami perubahan sama ada dari segi potongan mahupun perincian tambahan.


Pemilik butik fesyen terkenal, D’Rias, Marziani Mohd Zain berkata, fesyen baju tradisi seperti kurung kini mengalami revolusi untuk disesuaikan dengan perubahan aliran fesyen semasa.


Sesuai dengan namanya, keistimewaan kurung moden dikatakan terletak pada potongan bajunya yang tidak terlalu longgar berbanding rekaan biasa.


Selain itu, kebanyakan potongan bajunya juga mengikut pinggang dan tidak terlalu labuh sehingga melebihi paras lutut.


“Baju kurung moden memang mempunyai kelompok penggemarnya sendiri terutama golongan muda.


“Ini disebabkan rekaan leher baju dan kainnya lebih pelbagai serta menepati cita rasa wanita hari ini,” katanya.


Seperti tahun sebelumnya, koleksi Aidilfitri butik berkenaan kali ini juga tidak kurang menarik untuk dijadikan pilihan.


Selain kurung moden, kurung Pahang (Riau) juga boleh didapati di butik ini dengan pelbagai pilihan rekaan seperti leher potongan bulat ala sampan, tangan kembang dengan pilihan kain serong atau belah depan.


Sebagai pembaharuan, dia turut menggunakan fabrik kapas sutera serta sari India yang bukan saja menarik, malah memberi keselesaan kepada pemakai.Untuk lebih bergaya, setiap rekaan hadir dengan perincian tersendiri seperti jahitan manik serta tampalan renda di bahagian tangan, leher dan dada baju.


“Koleksi berkenaan boleh didapati dalam pelbagai pilihan rona menarik antaranya hitam, biru, merah jambu dan hijau.


“Fesyen berkenaan memang kian diminati lantaran rekaan menarik busana bercorak yang dihiasi sulaman manik di bahagian bawah baju, menyerlahkan lagi gaya si pemakai menyambut Syawal,” katanya.


Biarpun ada yang menganggap busana tradisional itu hanya sesuai untuk golongan pertengahan mahupun mereka yang bekerja di pejabat kerajaan, harus diakui ia sentiasa diminati tanpa mengira musim.

Seiring dengan perkemba­ngan semasa, baju kurung kini antara pilihan fesyen popular untuk digayakan dalam pelbagai acara.


Untuk meninjau rekaan D’Rias, butik berkenaan terletak di pusat beli-belah Shah Alam City Centre (SACC), Shah Alam dan Great Eastern Mall, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: