Saturday, August 28, 2010

Khazanah berharga Ataullah


al-quran milik Dr. Ataullah Bogdan Kopanski hanya sebesar duit siling 50 sen kini telah diserahkan kepada Perpustakaan UIAM, Gombak.


AL-QURAN merupakan mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhamad SAW dan ia akan terpelihara hingga hari kiamat.

Sebab itu naskhah al-Quran tersebar luas di seluruh dunia dengan isi kandungannya tidak pernah berubah atau diubah.

Usaha memulihara kesucian al-Quran pula dilakukan oleh umat Islam dalam pelbagai cara termasuk mencetaknya dalam pelbagai bentuk.

Naskhahnya ada yang besar dan ada pula hanya sekecil duit syiling 50 sen.

Bagi Profesor Dr. Ataullah Bogdan Kopanski seorang pensyarah Sejarah dan Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, naskhah al-Quran sebesar syiling 50 sen yang dimiliki merupakan hadiah yang cukup berharga dari seorang kawan.

Dr. Ataullah, 62, berasal dari Poland dan kini warganegara Amerika Syarikat memeluk Islam pada tahun 1974 ketika di Turki. Beliau telah 17 tahun bermastautin di Malaysia.

Menceritakan peristiwa bagaimana memiliki al-Quran tersebut Dr. Ataullah berkata, ia adalah pemberian daripada seorang kenalan baiknya ketika di Poland iaitu pada tahun 1977. Ia sebagai ucapan tahniah di atas pengislamannya.

"Teman saya itu memiliki sebuah kedai buku terpakai. Sungguhpun, dia bukan beragama Islam, tetapi apabila dia mengetahui yang saya sudah memeluk Islam, dia terus menghadiahkan al-Quran tersebut bagi meraikan berita gembira itu, sekali gus satu tanda kegembiraannya serta meraikan saya.

"Ini adalah hadiah yang paling bermakna, lebih-lebih lagi bagi seorang yang baru memeluk Islam.

"Saya sangat gembira kerana ia begitu unik. Saiznya amat kecil dan saya difahamkan, al-Quran ini cuma ada enam naskhah sahaja di dunia dan ia dicetak di Czechoslovakia.

"Malah, menerusi jenis kertas kulit serta baunya saya menganggarkan usianya antara tahun 1918 hingga 1920.

"Al-Quran yang saya miliki ini mempunyai sejarahnya yang tersendiri kerana ia tidak pernah berpisah daripada saya. Daripada mula dimiliki hinggalah ke hari ini, lebih 30 tahun lamanya.

"Malah ia juga bersama saya semasa mengharungi zaman revolusi, era gerakan perpaduan, sehinggakan sewaktu dipenjarakan oleh rejim komunis di Poland, al-Quran ini setia bersama tuannya," jelasnya ketika ditemui di pejabat Ketua Pustakawan UIAM, Nooraini Ismail, baru-baru itu.

Al-Quran mini itu di simpan dalam kotak khas telah bersama dalam pengembaraan beliau ke hampir seluruh dunia seperti ke Amerika Syarikat, Afrika Selatan, Pakistan dan sampai ke Malaysia. Al-Quran ini tetap tidak berenggang dengannya.

Selain itu, Dr. Ataullah mengaku, beliau juga memiliki al-Quran terjemahan dalam bahasa Poland tua, bertarikh 1848.

Namun, demi menghargai khazanah yang dimilikinya itu dan untuk membolehkan ia dikongsi bersama masyarakat Islam lain, Dr. Ataullah telah menyerahkan al-Quran mini kesayangannya itu kepada Perpustakaan UIAM.

Pada 5 Ogos lalu, Dr. Ataullah telah menyerahkan khazanah berharga itu kepada warga UIAM. Al-Quran itu lebarnya 3.5 sentimeter (cm) dan panjang 1.4 cm diakui berkemungkinan antara yang terkecil di dunia.

Katanya, beliau tidak pernah merancang untuk menyerahkan al-Quran itu yang lebih 30 tahun menjadi milik peribadinya kepada mana-mana pihak.

"Namun, pada Ramadan kali ini, entah bagaimana, selepas menunjukkannya kepada para pelajar dalam satu kuliah saya, hati ini terus tergerak untuk menghadiahkan naskhah unik ini kepada perpustakaan UIAM.

"Niat saya ikhlas iaitu agar ia menjadi tatapan umum pula. Saya cuma berharap pemberian yang tidak seberapa ini dapat dipelihara sebaik mungkin sekali gus menjadi tatapan untuk generasi umat Islam akan datang.

"Sebagai seorang sejarawan, hubungan dengan perpustakaan umpama bagai aur dengan tebing, saling lengkap melengkapi. Jadi tempat terbaik untuk artifak berharga ini ialah di sini," akui Ataullah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: