Friday, August 27, 2010

Kaki ekor dicekup

SUBANG JAYA – Ketika umat Islam lain sedang berasak-asak membeli juadah untuk berbuka puasa di bazar Ramadan, 13 lelaki beragama Islam di sekitar Subang Jaya di sini pula sibuk beratur di kedai nombor ramalan membeli nombor ekor.

Perbuatan mereka yang bukan sahaja tidak menghormati bulan Ramadan dan tidak menghormati sensitiviti masyarakat itu akhirnya membawa padah apabila dicekup anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di sini lewat petang kelmarin.

Difahamkan, ketika serbuan anggota terpaksa bergelut apabila ada kaki nombor ekor yang cuba melarikan diri bagi mengelakkan diri mereka dicekup.

Tidak cukup dengan itu, ada di antara pengunjung beragama Islam yang tidak mengaku membeli nombor ramalan selepas membuang tiket dibeli dalam kedai.

Bagaimanapun, helah yang cuba dibuat tidak menjadi kerana aktiviti dan perbuatan haram di sisi agama yang dilakukan sudah diintip pegawai berkuasa beberapa jam sebelum itu.

Ketua Seksyen Tindakan Khas Bahagian Penguatkuasaa Jais, Mohd Haffizi Mohd Roslan berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya menyerbu tiga premis di SS15, USJ1 dan USJ 21 bersama 10 anggota.

Kata beliau, hasil serbuan 13 lelaki lelaki berusia 25 hingga 50 tahun ditahan ketika membuat pembelian nombor ekor di premis itu.

“Kesemua yang ditahan dibawa Ibu Pejabat Jais untuk siasatan dan tindakan lanjut. Mereka yang ditahan akan didakwa di bawah Seksyen 13 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 kerana kesalahan berjudi bagi orang Islam.

“Sekiranya sabit kesalahan, mereka berdepan tindakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali,”katanya.

Sementara itu Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, operasi turut disertai 30 anggota penguatkuasaannya.

Katanya, operasi dijalankan setelah menerima maklumat daripada orang awam yang menyatakan terdapat orang beragama Islam membeli nombor ekor pada bulan Ramadhan.

“Operasi seperti ini akan dijalankan dari semasa ke semasa dengan kerjasama Jais,”katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: