Wednesday, August 18, 2010

Dahsyat 13 ajak penonton bertaubat


mashitah ibrahim pada majlis pelancaran Taubat 13 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


JIKA dibandingkan 10 tahun dahulu, program berbentuk keagamaan di media elektronik seperti di kaca televisyen boleh dikira atau terlalu

sedikit jumlahnya. Zaman berubah, begitu juga dengan penerimaan serta permintaan orang ramai terhadap program-program keagamaan yang semakin mendapat tempat dan perhatian.

Ini rentetan daripada kesedaran di kalangan umat Islam mengenai pelbagai pancaroba yang menganggu gugat akidah dan keimanan umat Islam.

Ditambah pula, nilai kebendaan yang sering menjadi kayu pengukur kepada pencapaian hidup masa kini. Secara tidak langsung, masyarakat kini semakin dihimpit pelbagai gejala yang jika tidak dicari penawar dan penyelesaiannya, kelak membinasakan diri, sama ada di dunia mahupun di akhirat.

Lantaran itu, apabila orang mula berjinak-jinak kepada pencarian kerohanian yang berlandaskan agama Islam, ia turut mempengaruhi permintaan terhadap program-program keagamaan.

Justeru, kelompangan inilah yang cuba diisikan oleh sebuah syarikat penerbitan anak tempatan, Karyawan Bestari Sdn. Bhd. yang tidak putus menghasilkan program agama yang berbentuk majalah televisyen.

Alhamdulillah, usaha murni itu telah menjadi satu bentuk dakwah terkini yang berjaya disampaikan kepada lingkungan orang yang lebih luas, jika dibandingkan menerusi pengajian tradisional iaitu yang disampaikan di masjid atau di surau.

Kalau sebelum ini, Karyawan Bestari boleh berbangga dengan penerimaan penonton terhadap program terbitan mereka sebelum ini seperti; Sehiris Peria, Secawan Madu, Zuriat Kita. Kini sebuah lagi program berbentuk majalah televisyen yang memaparkan 13 episod tentang dosa-dosa besar berjudul Dahsyat 13 telah menemui penonton bermula 2 Ogos lalu pada setiap hari Isnin, pukul 7.30 malam di saluran Astro Oasis (106).

Baru-baru ini, pada majlis pelancaran dan sidang akhbar program Dahsyat 13 , Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim mengakui pengalaman beliau sebagai seorang penceramah suatu ketika dahulu agak sukar dalam menyampaikan dakwah yang menyentuh perlakuan dosa-dosa besar di kalangan umat Islam.

"Namun dengan adanya program sebegini di televisyen, ia diharap menjadi satu mekanisme bentuk baru dakwah kepada masyarakat Malaysia.

"Televisyen umpamanya, adalah medium paling berpengaruh, mudah dan cepat dalam menjadi jambatan dakwah, didikan dan informasi Islam. Oleh itu, televisyen secara audio dan visual, dapat menyampaikan mesej-mesej dakwah dengan lebih berkesan.

"Malah usaha yang dilakukan oleh Karyawan Bestari ini boleh membawa arus gelombang perubahan kepada warga masyarakat masa kini. Sedar atau tidak, sememangnya masyarakat Islam di Malaysia hari ini, amat dahagakan rancangan-rancangan keagamaan yang disampaikan dalam bentuk yang lebih segar," katanya yang mengakui bahawa bukan sahaja tajuk Dahsyat 13 itu sesuatu yang menarik tetapi dapat merasakan ada satu kelainan yang dibawa menerusi program itu.

Sebelum itu, Penerbit merangkap Pengarah Dahsyat 13, Abdullah Abdul Hamid dalam ucapannya berkata, beliau terpanggil untuk menerbitkan program tersebut adalah respons terhadap kes-kes dalam kategori dosa-dosa besar yang semakin menjadi-jadi dan umat Islam, khasnya tidak segan silu melakukannya.

"Kes pembuangan bayi, zina, haruan makan anak, penganiayaan terhadap ibu bapa, minum arak, murtad, meninggalkan solat, merompak, berjudi, penipuan, rasuah, perbomohan yang membawa kepada syirik, makan harta anak yatim, waima mengumpat juga membawa kerosakan besar sekiranya ia tidak ditangani secara berhikmah.

dosa besar

"Insya-Allah menerusi empat segmen iaitu penjelasan atau definisi, diikuti dengan segmen hukum, punca dan balasan serta keempat, jalan penyelesaian. Kami berharap penonton dapat gambaran dan maklumat jelas berkaitan setiap satu daripada 13 perbuatan yang membawa kepada dosa besar.

"Walau bagaimanapun, program ini bukan mahu menakutkan penonton. Dengan slogan, sesungguhnya sebaik-baik manusia bukanlah mereka yang tidak pernah melakukan dosa tetapi adalah mereka yang sentiasa mahu bertaubat di atas dosa-dosanya. Justeru, Dahsyat 13 mengajak penonton atar sentiasa mahu bertaubat, mendekatkan diri kepada Allah dan kembali ke pangkal jalan iaitu kepada ajaran Islam," katanya.

Sepintas lalu mengenai program Dahsyat 13 yang menampilkan pengacara berpengalaman iaitu Aziz Desa selaku hos rancangan dan penulis skrip ialah Ustaz Gunawan Che Ab. Aziz dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menariknya, setiap kupasan topik akan diulas oleh tokoh-tokoh agama tersohor seperti; Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz, Prof. Madya Dr. Sharifah Hayati Syed Ismail, Datuk Abdul Majid Omar, Kamal Affendi Hashim, Dr. HM Tuah Iskandar Al-Haj, Datuk Che Mat Che Ali dan ramai lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: