Saturday, August 7, 2010

CIC tumpukan perkembangan rohani


Sebahagian kanak-kanak yang menyertai aktiviti di Children Islamic Centre di Putrajaya.


SETIAP anak yang dilahirkan ibarat kain putih yang bersih. Mereka hadir di muka bumi ini dalam keadaan fitrah. Maka baginda Rasulullah SAW mengingatkan kepada setiap ibu bapa bahawa mereka yang akan mencorakkan anak-anak sama ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.

Kealpaan atau kesilapan mendidik anak-anak membuatkan zuriat yang dilahirkan putih bersih mungkin boleh berubah menjadi pengikut firqah-firqah yang sesat seperti yang disebutkan itu.

Di zaman moden ini sudah tentu lebih banyak firqah atau aliran, pemikiran mahupun gaya kehidupan yang menyimpang daripada landasan Islam sebagai satu agama fitrah.

Tempoh masa kanak-kanak antara usia setahun hingga tujuh tujuh merupakan fasa terpenting dan kritikal untuk diberikan tumpuan.

Unsur-unsur tidak Islam perlu dipastikan tidak menyerap dalam pembentukan rohani anak-anak.

Tunggak utama ajaran tauhid perlu mengambil tempatnya lebih awal daripada unsur-unsur negatif dan fasad menerobos masuk ke dalam jiwa anak-anak.

Kesedaran ini antara lainnya menjadi faktor utama Pengasas Children Islamic Centre (CIC), Qutren Nada Ahmad, 39, mengorak langkah menubuhkan pusat perkembangan kanak-kanak pada 1997.

Bagi lulusan jurusan ekonomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu, pada mulanya prasekolah pertama yang dibuka di Puchong adalah untuk memenuhi keperluan anak-anaknya sendiri dengan konsep pendidikan Islam selain memberikan penekanan kepada penguasaan bahasa Inggeris.

"Ini kerana kesedaran bahawa anak-anak perlu dididik secara betul dari tangan mereka yang betul.

"Malah yang lebih penting, anak-anak selain dibentuk dari segi kemampuan keilmuannya, mereka juga perlu diasuh secara terdidik untuk menjadi pemimpin untuk masa depan,'' katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya di Presint Diplomatik, Putrajaya, baru-baru ini.

Menurut Qutren Nada, pada peringkat permulaan, beliau melihat tidak banyak pusat asuhan berteraskan pendidikan Islam dan bahasa Inggeris malah jika ada yang berteraskan Islam, operasi mereka didapati tidak profesional.

"Sedangkan kalau kita lihat orang Islam di Malaysia khususnya orang Melayu, mereka menjadi harapan kepada umat Islam di seluruh dunia

"Jadi kita tidak mahu melihat umat Islam negara ini lemah dari segi dalamannya walaupun Malaysia menuju menjadi negara maju,'' katanya.

Kini hampir 13 tahun CIC beroperasi, cawangannya bertambah saban tahun dengan angka terkini pusat perkembangan kanak-kanak kendalian Proquaz Sdn .Bhd. itu mencecah 13 cawangan.

Antaranya di lokasi-lokasi utama di Putrajaya, Puchong Utama, Puncak Jalil, Bangi, Kota Damansara, The Strand Damansara, Bandar Tun Hussein Onn, Taman Permata, Setapak, Kota Bharu, Kelantan dan Kedah.

Jumlah pelajar di seluruh cawangan CIC kini kira-kira 1,000 orang.

Qutren Nada yang mendapat sokongan kuat suaminya, Azizi Ahmad, 39, berkata, visi awal beliau menubuhkan CIC akhirnya berubah yang menjadi satu misi besar memenuhi keperluan masyarakat Islam yang mementingkan pembentukan anak-anak berkualiti dari segi ilmu dan moralnya.

"Pembentukan anak-anak tidak sekadar mahu melihat mereka boleh membaca, mengira dan menulis sebaliknya dibangunkan karakter kepimpinan, hubungan dengan keluarga, masyarakat termasuk di peringkat antarabangsa.

"Dalam hal ini, aspek berkomunikasi cukup penting kerana melaluinya kita bentuk anak-anak mempunyai keyakinan diri dan mempunyai strategi untuk menang selain memberikan pendedahan awal dan keseimbangan spiritual serta akademik,'' katanya.

Ini kerana, katanya, ibu bapa perlu menanamkan jati diri anak-anak seawal kecil bagi merangsangkan minat dan membentuk jiwa beragama serta ketekunan.

"Jangan sampai sudah menjadi 'buluh', ketika itu jangan salahkan anak-anak apabila mereka begitu liat atau menolak untuk melaksanakan ajaran agama,'' katanya.

Sehubungan itu, katanya, CIC mengamalkan kaedah pengajaran berasaskan tema tertentu sewaktu pembelajaran seperti sempena kedatangan bulan Ramadan, para pelajar menjalani latihan berpuasa.

"Masuk saja Nisfu Syaaban, kami lewatkan sikit waktu makan mereka sebagai satu persediaan mental serta fizikal anak-anak dan pada Ramadan tahun ini, kami telah menyediakan lebih banyak aktiviti seperti hafazan, pertandingan doa dan tilawah al-Quran.

"Begitu juga pada sambutan Nuzul al-Quran atau Maulidur Rasul kita sediakan aktiviti kebudayaan bagi mengingatkan mereka tentang al-Quran sebagai pedoman umat Islam dan ingatan terhadap kepentingan mengingati kelahiran junjungan Nabi Muhammad SAW,'' katanya.

Tambah beliau, tidak ketinggalan semasa musim Piala Dunia 2010 baru-baru ini, pihaknya menyediakan sudut sesi 'FIFA @ CIC' iaitu dengan memperkenalkan bendera setiap negara yang layak memasuki kejohanan bola sepak berprestij itu termasuk kebudayaan yang diamalkan setiap negara berkenaan.

Katanya, tema-tema tersebut akan disusun dari masa ke sesama ke dalam sistem pengajaran bagi panduan tenaga-tenaga pengajar CIC.

"Guru cuma perlu mengikuti sahaja setiap arahan dan modul yang disediakan oleh kami, jadi tidak timbul masalah sekiranya berlaku pertukaran guru atau sebagainya, sistem yang tersedia akan terus berfungsi,'' katanya.

Qutren Nada menyatakan, antara pendidikan yang ditawarkan oleh CIC pada masa ini adalah bagi kanak-kanak berusia dari dua hingga enam tahun melalui program CIC Leader Zamrud Playschool and Preschool yang menekankan kemahiran membaca dalam Bahasa Melayu, Inggeris, latihan matematik, memahami tema, menulis, mengeja dan bercerita serta pendidikan Islam.

Katanya, bagi kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun pula, CIC menawarkan program Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) dan Transit dengan penekanan kepada kemahiran membaca al-Quran hingga khatam, solat berjemaah, menulis Jawi, memahami Bahasa Arab, kaligrafi, menyiapkan kerja rumah selain memahami Islamic Worldview dan menguasai Bahasa Inggeris.

Program asuhan kanak-kanak (taska) juga disediakan bagi bayi berusia dua bulan hingga kanak-kanak dua tahun.

Dalam pada itu beliau menyatakan, ibu bapa juga berpeluang menilai prestasi perkembangan anak-anak mereka di CIC melalui laporan-laporan berkala secara manual serta sistem dalam talian yang kini masih dalam proses pembangunan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: