SIAPA yang tidak kenal pelakon, pengacara dan model, Wardina Safiyyah Fadlullah yang sentiasa kelihatan anggun bergaya.
Wardina yang kini turut berjinak dalam penulisan buku keibubapaan dan kanak-kanak juga dikenali sebagai antara personaliti yang mengamalkan penyusuan eksklusif untuk anaknya.
Ibu muda kepada Amna Nafeesa, Azra Sareera dan Imran Arrazi itu menganggap hak seorang anak daripada ibunya sejurus dilahirkan adalah penyusuan badan.
“Saya akui, menyusu badan sebenarnya bukan mudah, hanya mereka yang bersungguh sahaja boleh berjaya,” katanya.
Bagi anak kacukan Australia dan Acheh ini, kesungguhan ibunya menyusukan beliau dan adik-beradik ketika kecil menjadi inspirasi buatnya untuk meneruskan tabiat baik itu.
Sehingga kini, anak bongsunya, Imran yang berusia setahun 10 bulan masih menyusu secara eksklusif dan belum meneguk susu formula.
Wardina mengakui menyusu menjadikan beliau mudah kembali kepada bentuk asal badan sebelum mengandung dan tiada sebab untuk dia berasa malu.
“Jika ada ibu yang berpendapat menyusu menjadikan fizikal mereka tidak cantik, bagi saya ibu itu sangat pentingkan diri sendiri dan dia bukan ibu yang sejati,” katanya.
Baginya, menjadi ibu bukan sekadar melahirkan, malah tanggungjawab mereka melebihi daripada itu. Dan tentunya tanggungjawab pertama yang dipikul oleh seorang wanita saat dia bergelar ibu adalah menyusu.
Wardina sama sekali tidak berasa segan atau malu untuk menyusukan bayinya di khalayak. Bagi wanita bertudung sepertinya, itu satu kelebihan yang memudahkan lagi dia menyusu anaknya walau di mana sahaja.
“Walaupun pada awalnya kita berasa sedikit leceh dan tidak selesa, namun lama-kelamaan perasaan itu hilang bila ia menjadi kebiasaan.
“Saya menganggap menyusu dan menyediakan stok susu sebahagian daripada rutin harian seperti solat. Jika sudah biasa, kita tidak akan rasa terbeban,” katanya yang masih mengamalkan sesi mengepam susu hingga kini bagi menggalakkan pengalirannya.
Demi menambah pengetahuan dalam bidang penyusuan, pengacara Malaysia Hari Ini (MHI) itu sanggup mengikuti kursus berkaitan yang dianjurkan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selama 18 jam.
Ibu jelita itu turut berkongsi maklumat mengenai penyusuan dalam buku nukilan yang bertajuk “Mama, saya lapar...” yang diterbitkan baru-baru ini.
“Saya rasa ilmu yang baik harus dikongsi bersama. Kerana itu saya mengambil keputusan menghasilkan buku sedemikian dalam usaha menghebahkan kebaikan susu ibu,” katanya.
susu ibu banyak kelebihannya. saya bangga dapat menyusukan kesemua 6 orang anak2 saya sehingga 2 tahun.saya bangga kerana mereka dapat membesar hanya dgn susu ibu diawal usia. kini bila mereka x lagi menyusu, saya merasakan kesunyian didalam diri.
ReplyDelete