Thursday, August 19, 2010

Aneka rasa stimbot


PELBAGAI jenis sajian stimbot ditunjukkan pengusaha Silver Pot, Johan Tai Abdullah.


MUNGKIN anda sudah jemu berbuka puasa dengan menjamah menu ruji iaitu nasi dan aneka lauk pauk. Apa kata sesekali anda mencuba juadah lain daripada yang lain.

Jika ada kelapangan dan inginkan menu yang tidak menyebabkan anda terasa muak, singgahlah ke restoran Silver Pot yang terletak di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.

Di sana, kira-kira 60 jenis pilihan makanan stimbot sedia dinikmati. Kunjungan anda juga disambut konsep separa layan diri kerana periuk elektrik diletakkan secara berasingan bagi memudahkan pelanggan di meja makan.

"Pelanggan tidak perlu berkongsi periuk untuk memanaskan aneka pilihan makanan laut. Jadi anda boleh makan sepuas-puasnya dengan rencah tersendiri.

"Apa yang anda inginkan hanya perlu direndamkan di dalam periuk berisi sup ayam atau tom yam. pelanggan boleh menambah telur atau bahan lain ke dalamnya bergantung kepada selera masing-masing," jelas pemilik Silver Pot, Johan Tai Abdullah.

Variasi set yang terdapat di Silver Pot boleh dipilih secara ala carte. Antara yang popular adalah tofu makanan laut rangup dari Taiwan, kupang hijau dari New Zealand, gegelang sotong Amerika Syarikat serta kepingan abalon dari Australia.


PILIHAN makanan laut yang semestinya lazat.


Selain itu, set standard yang lengkap dengan bahan-bahan seperti mi, tofu, jagung, sayuran dan bebola ikan boleh dicampur dengan pelbagai set berasingan.

Set berasingan ini terdiri daripada pilihan makanan seperti kepingan daging ayam, udang, sotong, ikan merah, kambing mahupun makanan laut. Semuanya pada harga berpatutan.

Pilihan sayur pula termasuk kangkung, tomato, kacang pea, tofu putih, bendi, brokoli dan cendawan tiram.

"Anda tidak perlu risau berhubung status halal di restoran ini. Silver Pot sudahpun lama memperoleh sijil halal daripada syarikat pengeluaran," jelasnya sambil menunjukkan sijil halal.

Sementara itu, Johan turut menyediakan kemudahan surau bagi memudahkan pelanggan menunaikan solat. Jadi mereka tidaklah perlu terburu-buru menghabiskan makanan semata-mata ingin pulang ke rumah kerana mengejar waktu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: