ZIZAN(kiri) dalam program Dapur di TV2. |
MINATNYA begitu mendalam terhadap bidang masakan tetapi ayahnya pula beranggapan sesuatu kerjaya yang boleh dibanggakan dan satu simbol kejayaan hidup sekiranya dia memegang jawatan sebagai arkitek. Namun Rahman berkeras memilih jalan yang bercanggah dengan impian ayahnya, Abdullah yang juga bekas seorang jurutera.
Watak Rahman direalisasikan pelakon kacak Zizan Nin yang sebelum ini biasa membawakan peranan eksekutif di pejabat dan kali ini menerusi drama berjudul Dapur. Drama bersiri arahan Zamani Ibrahim dari Unit Drama TV RTM ini banyak mengambil ruang dapur sebagai subjek utama.
Zizan memerlukannya banyak beraksi di ruang dapur sebagai seorang tukang masak yang turut menyaksikannya bergandingan dengan pelakon Sharifah Nadia, Abu Bakar Juah, Kartina Aziz, Atie AF, Shahronizam dan Ruminah Sidek.
Dapur akan disiarkan sebanyak empat episod bermula tengah malam ini setiap Isnin jam 12 tengah malam di TV2.
Bermula dengan babak menarik menerusi watak Abdullah iaitu ayah Rahman yang tidak faham mengapa dia dihadiahkan sebuah dapur sempena hari pencennya dan kehadiran dapur menyebabkan kemarahan Abdullah semakin bertambah. Abdullah tidak dapat melihat kebolehan dan keistimewaan yang dimilikinya lantaran pegangan hidupnya yang menganggap memasak adalah tanggungjawab dan bukannya perniagaan. Lebih-lebih lagi dapur adalah tempat mutlak orang perempuan.
Dia tidak menyedari kebolehannya sebagai tukang masak nasi beriani yang dipuja ramai oleh masyarakat setempat mula menjadi inspirasi kepada anaknya untuk mendalami bidang masakan. Bermula dengan Rahman anak kesayangannya dan secara perlahan-lahan diikuti oleh Hasan adik kepada Rahman.
Minat Rahman terhadap masakan juga menyebabkan isterinya Azizah terasing dan tersisih. Dia merasakan kemahiran Rahman menutup ruang untuknya membelai hati suaminya. Tanggungjawab menyediakan makan minum semuanya diambil oleh Rahman sehingga Azizah tidak pernah berpeluang untuk memasak bagi Rahman.
Kepulangan Rahman ke kampung untuk meraikan hari pencen ayahnya menjadi sebaliknya. Tindakan Rahman menggunakan dapur baru dan mengenepikan dapur lama seolah-olah mencabar Abdullah sebagai ketua rumah. Aminah isterinya yang setia juga menerima tempias kebencian Abdullah sehingga beliau sanggup menghalau Aminah keluar rumah.
Kekosongan yang ditinggalkan Azizah diisi oleh Siti, pembantu Rahman di Cafe Sinar Jiwa. Tugas dan minat yang sama membibitkan bunga cinta dan akhirnya disaksikan sendiri oleh Azizah. Adakah Azizah mahu mengalah atau mempertahankan cintanya dan adakah Abdullah dapat menerima takdir segala-galanya hanya boleh dirancang dan takdir adalah milik ketentuan Tuhan?
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: