BEN 10 dan makhluk asing akan muncul di Kuala Lumpur Convention Centre, mulai 27 hingga 29 November. |
Janji pengalaman berbeza buat penggemar siri kartun popular di Plenary Hall Kuala Lumpur
ANAK anda penggemar siri kartun Ben 10? Jika benar, maka jangan berlengah lagi untuk mendapatkan tiket bagi membolehkan mereka berhibur dengan watak popular itu secara langsung pula. Si wira, Ben Tennyson bersama rakan yang lain dalam siri berkenaan bakal muncul dalam persembahan diberi nama Cartoon Network Live on Stage! Power of the Omnitrix di ibu kota.
Persembahan aksi sebenar itu dibuat berdasarkan siri kartun masyhur siaran saluran popular Cartoon Network dan akan dipentaskan di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre, pada 27 hingga 29 November.
Pengarah Urusan Asiapromote, Wan Zaleha Radzi berkata, kerana ia sebuah persembahan secara langsung, pementasan itu menjanjikan sebuah pengalaman cukup berbeza buat penggemar siri kartun ini.
"Kombinasi kesan khas bunyi dan visual, pemandangan hasil teknologi terkini serta pelakon yang mengenakan kostum watak siri popular ini akan membawa penonton ke sebuah alam yang lain.
"Di benua Asia saja, Ben 10 menjadi wira kepada 75 juta kanak-kanak. Jadi, saya percaya, Ben 10 akan menggegarkan Malaysia apabila persembahan ini membuka tirainya sedikit masa lagi," kata Wan Zaleha.
Naib Presiden, Cartoon Network Enterprises, Asia Pasifik, Dulce Lim-Chen berkata, selepas Cartoonival mencatatkan kejayaan memberangsangkan, Cartoon Network Enterprises begitu teruja untuk mempersembahkan pula Cartoon Network Live on Stage! Power of the Omnitrix yang serba baru, menampilkan watak kegilaan kanak-kanak, Ben 10, kepada penonton mereka.
"Di Cartoon Network, matlamat kami adalah untuk melakar kehidupan kanak-kanak dengan hiburan yang menakjubkan, sama ada di TV, online, kedai mahupun pentas. Persembahan terbaru ini pula tentu saja akan membuatkan kanak-kanak melompat dari kerusi masing-masing," kata Lim-Chen.
Dipersembahkan selama tiga hari, The Power of Omnitrix menggabungkan cerita terbaik daripada siri Ben 10 dan siri susulannya, Ben 10: Alien Force, dalam sebuah pementasan teater luar biasa sepanjang 90 minit.
Peminat setia, kanak-kanak serta penggemar aksi lasak akan diundang memasuki dunia hebat Ben 10 apabila mereka dihidangkan dengan aksi lagak ngeri papan lungsur, akrobatik, babak aksi mengagumkan, yang digabung bersama kesan khas multimedia sewaktu pengembaraan si wira berlangsung di pentas.
Power of the Omnitrix menampilkan bintang antarabangsa 14 karakter dinamik termasuk Ben dan sepupunya, Gwen Tennyson, Kevin Levin dan Grandpa Max. Muncul buat kali pertama secara langsung di pentas ialah Rocks dan Squidstrictor, adiwira makhluk asing baru daripada siri Ben 10: Alien Force.
Mereka akan menyertai adiwira terkenal seperti Four Arms, Wildmutt dan Headblast serta si jahat Komander Highbreed, Vilgax.
Sementara itu, buat kali pertama, kanak-kanak mempunyai kuasa untuk membantu menentukan bagaimana kisah Power of the Omnitrix berakhir. Mereka boleh melayari laman web www.ben10.net, lawati laman permainan interaktif dan undilah satu daripada tiga penamat cerita yang mereka ingin saksikan. Penamat dengan undian tertinggi akan dipersembahkan pada pementasan itu nanti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: