| KEMUNCULAN band baru terutama daripada aliran bergerak bebas (indie) sedikit sebanyak mewarnai dunia seni tanah air. Ini sekali gus memberi saingan positif kepada band sedia ada untuk mengukuhkan kedudukan dalam bidang seni. |
Justeru jika tersilap percaturan, band yang hanya mahu melepas batuk di tangga mungkin muncul untuk single mahupun satu album saja sebelum hilang entah ke mana. Begitupun, tidak bagi kumpulan Sofaz yang menaruh kepercayaan tinggi setiap band mempunyai pengikutnya tersendiri.
Biarpun fenomena dunia seni tempatan semakin dimeriahkan dengan kemunculan artis dan kumpulan indie, Sofaz yang pernah meraih Duo/Kumpulan Paling Popular di Anugerah Planet Muzik (APM) 2006/2007 dan pemenang trofi Artis Berkumpulan/Duo Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007 bukan hanya mempunyai kekuatan tersendiri malah menampilkan identiti dalam melodi lagu yang ternyata mempunyai tarikan.
Bermula dengan pelancaran album pertama, Cintai Aku sekitar Mei 2004, kumpulan anak muda yang dianggotai vokalis, Amir Mahiyiddin atau Are-Meer, Wan Shahbaharin Niktah (Syah/ gitar), Ahmad Fairouz Mohammad (Fairouz/ bass), Wan Shah Baharom Niktah (One/ dram), Zarimi Zahari (Zimi/ vokal/ gitar kedua) dan Rodie Jamun (Rodie/ keyboard) gigih mencipta nama.
Kemunculan album kedua, Janjiku pada 2006 semakin mengukuhkan kedudukan mereka sehingga berjaya meraih pencapaian dan anugerah membanggakan. Sofaz turut mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menembusi pasaran Indonesia menerusi album Janjiku.
Menurut Zimi, kepercayaan yang diberikan syarikat rakaman Suria Records Sdn Bhd (SRC) membolehkan mereka berkarya malah pengalaman terbabit dalam dunia seni lebih enam tahun lalu menjadikan mereka lebih matang.
"Kami percaya setiap kumpulan mempunyai peminat yang tersendiri. Biar muncul persaingan seperti fenomena band indie, lagu daripada negara jiran, artis baru serta program realiti, bagi kami persaingan ini sihat dalam dunia seni tanah air.
"Ini menjadikan kami perlu berusaha dengan lebih gigih dan sentiasa menitikberatkan soal kualiti dalam karya kami.
"Sepanjang bergelar anak seni pelbagai pengalaman susah dan senang kami lalui. Malah mengajar kami untuk lebih berdikari," katanya ketika ditemui pada Lunch Break bersama Sofaz dan pratonton muzik video Hingga Hujung Pernafasan Langit Ku (HHPLK) di Redbox 101 Mall Puchong baru-baru ini.
Menerusi klip video yang mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu semua anggota kumpulan terbabit menjayakan penggambaran berkenaan yang berlangsung di sekitar Lembah Klang.
| |
"Sebenarnya kami sudah merancang menghasilkan album kompilasi sudah lama. Malah selepas album ketiga, Kepantasan Ku 2007 selesai kami mula memilih lagu yang peminat muzik suka dengar dan dikumpulkan dalam satu album.
"Di samping lagu terbaik dan popular, kami turut menampilkan dua lagu baru yang kini disiarkan hampir semua stesen radio tempatan. Ini juga sebagai hadiah kepada peminat yang menyokong pembabitan kami dalam dunia seni. Tidak dinafikan pasaran dunia seni yang tidak menentu kebelakangan ini selain saingan digital mendorong kami menghasilkan album kompilasi," katanya.
Mengenai video klip HHPLK yang mencecah kos perbelanjaan sekitar RM10,000 itu, ia juga menampilkan anggota kumpulan Sofaz sebagai pasukan polis. Klip video yang turut dihasilkan dalam versi karaoke berkenaan menyampaikan mesej mengenai persahabatan dan menghargai kasih sayang kepada seseorang.
Kata vokalis, Are-Meer sebelum ini hanya dia yang membabitkan diri dalam lakonan sebaliknya selepas penggambaran video klip HHPLK membuktikan semua anggota kumpulan ini melalui sendiri pengalaman berlakon.
"Keutamaan saya masih pada nyanyian walaupun mula berjinak-jinak dalam lakonan. Secara tidak langsung menerusi pembabitan dalam pembikinan video klip ini memberi pengalaman berguna kepada kami.
"Video klip ini mengisahkan mengenai kehidupan dan persahabatan yang sesuai kepada semua peringkat termasuk yang berkahwin. Selain cinta kepada wanita, klip video ini memaparkan mengenai kasih sayang seorang sahabat.
"Idea untuk menghasilkan video klip ini timbul menerusi pandangan dan perbincangan daripada semua ahli kumpulan dan pengurusan SRC. Malah dengan sentuhan pengarah berpengalaman seperti Paul Loh rakaman yang berlangsung di sekitar Lembah Klang berlangsung dengan jayanya. Walaupun rakaman ketika itu dilakukan pada Ramadan lalu.
"Memang ketika itu kami kurang cergas kerana terpaksa menahan lapar dan dahaga. Masing-masing cukup teruja untuk menjalani penggambaran sebagai anggota polis. Di bawah bimbingan PDRM kami dapat melaksanakan penggambaran yang mengambil masa selama sehari suntuk itu," katanya.
Hadir sama pada majlis pelancaran itu, Pengurus Besar SRC, Edwin Tan, Pengarah Pemasaran & Pembangunan Perniagaan Redbox, Desmond Chin dan Pengurus A & R SRC, Zulkefli Majid.
Mengenai perancangan menghasilkan album pula, Zimi berkata setakat ini mereka masih dalam peringkat mengumpul bahan dan pemilihan lagu. Jika tiada aral, album keempat akan diterbitkan tahun depan. Pihaknya juga sedang mengadakan perbincangan untuk bekerjasama dengan kenalan yang juga komposer di Indonesia untuk album ketiga nanti.
"Semuanya masih dalam perbincangan. Kerjasama dengan komposer dari Indonesia itu masih dalam perancangan. Kami cuma menampilkan kelainan dalam setiap album kami. Namun, kami sudah mengenal pasti identiti lagu yang boleh diterima peminat kami," kata Zimi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: