Monday, November 9, 2009

Wanita ketagih miliki ramai anak


NADYA SULEMAN (tengah) bersama bayi kembar lapan yang diletakkan di sebuah meja khas di Los Angeles baru-baru ini.


LOS ANGELES - Ibu bayi kembar lapan di Amerika Syarikat (AS), Nadya Suleman ketagih untuk memiliki lebih ramai anak walaupun terpaksa mengupah beberapa pengasuh bagi menjaga lapan anaknya, lapor sebuah akhbar semalam.

"Sesetengah orang ketagihan dadah. Saya pula ketagih memiliki anak," kata wanita berusia 34 tahun itu yang mengimpikan sebuah keluarga besar setelah menjadi anak tunggal kepada pasangan suami isteri, Ed dan Angela Suleman.

Setiap kali tiba waktu makan, suasana kediamannya di sini bingit dengan tangisan bayi manakala empat orang pengasuh bergegas membantu memberi susu kepada kelapan-lapan bayinya kerana Nadya tidak mampu melakukan tugas tersebut berseorangan.

"Setakat ini mereka sihat dan tidak menghadapi sebarang masalah kesihatan," katanya.

Nadya mencuri perhatian masyarakat dan media AS apabila menjadi ibu bayi kembar lapan kedua di dunia pada Januari lalu selepas 11 tahun kelahiran kembar lapan Chukwu di Houston, Texas.

Namun, perasaan kagum orang ramai bertukar benci apabila media mendedahkan bahawa Nadya menganggur serta memiliki enam orang anak berusia bawah 8 tahun namun dia secara sengaja melahirkan kembar lapan itu menerusi rawatan persemanian luar rahim (IVF).

Wanita itu yang masih bujang, menyara 14 orang anaknya menerusi bantuan kebajikan kerajaan California yang berjumlah AS$4,153 (RM14,133) sebulan selain tajaan pihak swasta.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: