Saturday, November 21, 2009

Walt Disney semarakkan 2010



Prince of Persia

11 filem animasi, aksi, drama dan komedi menunggu kaki wayang

WALT DISNEY STUDIOS meneruskan tradisi penghasilan filem penuh kreativiti dan sarat hiburan untuk peminat di seluruh dunia. Sepanjang tahun depan, deretan judul dengan pelbagai kisah menarik (usah dilupakan teknologi pembuatannya) disediakan syarikat gergasi ini demi menghidangkan hiburan terbaik untuk penggemar filem terbitan mereka.

Daripada genre animasi ke aksi, filem bercorak drama ke komedi romantik, semuanya disediakan syarikat perfileman antarabangsa ini. Sebahagiannya disajikan dalam bentuk tiga dimensi (3D) yang menambahkan lagi keseronokan menonton judul keluaran Disney.

Sebelum tirai 2010 disingkap, studio terbabit terlebih dulu menghidang sajian pembuka selera yang enak menerusi A Christmas Carol, animasi 3D arahan Robert Zemeckis. Ditayangkan mulai 19 November, filem animasi yang dihasilkan daripada buku tulisan Charles Dickens ini menyaksikan Jim Carrey melakonkan tujuh watak berbeza.

Selain Carrey, turut berlakon ialah Gary Oldman, Colin Firth, Bob Hoskins, Robin Wright Penn, Cary Elwes dan Fionnula Flanagan. Ia mengisahkan lelaki tua yang mementingkan diri sendiri, Ebenezer Scrooge, didatangi tiga roh untuk menyedarkannya mengenai kesilapan diri dan membuka jalan baru buat kehidupan lebih bererti.

Pada 3 Disember ini, filem animasi yang dihasilkan secara tradisional, The Princess and the Frog, bakal menghiburkan penonton. Filem dari Walt Disney Animation Studios ini diarahkan John Musker dan Ron Clements, serta menggunakan suara Anika Noni Rose, Keith David, Jenifer Lewis dan John Goodman.

Rapunzel

Dikatakan sebagai puteri kulit hitam pertama ciptaan Disney, filem ini mengisahkan Tiana, seorang gadis yang mengimpikan perniagaan sendiri suatu hari nanti bertukar menjadi seekor katak selepas mencium katak jantan yang disumpah. Kini, kedua-duanya perlu mencari penawar untuk kembali ke bentuk manusia.

Berlatarkan New Orleans, filem ini muncul filem animasi ke-49 Walt Disney Animated Classics dan judul animasi tradisi 2D Disney pertama ditayangkan sejak Home on the Range pada 2004.

Keseronokan menonton diteruskan dengan filem Old Dogs lakonan John Travolta, Robin Williams, Kelly Preston, Seth Green, Ella Bleu Travolta, Lori Loughlin dan Matt Dillon pada 7 Januari. Filem komedi arahan Walt Becker ini mengisahkan bagaimana kehidupan dua lelaki bujang separuh umur menjadi tunggang langgang apabila mereka diminta menjaga kanak-kanak kembar berusia enam tahun. Ketika itu, mereka berada di ambang urusan perniagaan paling besar dalam karier kedua-duanya.

Pelakon hebat, Johnny Depp pula akan muncul di layar lebar sebagai Madhatter menerusi filem fantasi Alice in Wonderland pada 4 Mac. Menguatkan filem itu ialah aktres Anne Hathaway, Mia Wasikowska, Alan Rickman, Michael Sheen, Matt Lucas dan Helena Bonham Carter. Filem ini diarahkan sutradara tersohor, Tim Burton.

Alice in Wonderland

Dipersembahkan dalam bentuk 3D, filem yang kaya dengan visual mengagumkan ini sekali lagi membawa penonton mengikuti perjalanan seorang kanak-kanak perempuan ke alam penuh khayalan, di mana haiwan dapat bertutur dan keajaiban pula bukan lagi sebuah mimpi.

Penggemar artis remaja, Miley Cyrus, sekali lagi dapat berhibur bersamanya apabila bintang muda itu muncul dalam The Last Song, yang ditayangkan mulai 1 April. Filem arahan Julie Anne Robinson itu turut dilakonkan Liam Hemsworth, Bobby Coleman, Hallock Beals, Nick Lashaway, Kelly Preston dan Greg Kinnear.

Dihasilkan berdasar kepada buku tulisan Nicholas Sparks, ia berkisar pada seorang lelaki di sebuah pekan kecil tepi laut Selatan yang berpeluang menghabiskan musim panas bersama anak perempuannya. Namun remaja itu lebih rela berada di New York. Si bapa cuba mengeratkan hubungan mereka menerusi satu-satunya persamaan yang ada, iaitu kecintaan kepada muzik.

Dua minggu kemudian, Disney mempersembahkan pula komedi romantik lakonan Kristen Bell, Josh Duhamel, Hon Heder, Anjelica Huston, dan David Devito berjudul When in Rome.

Filem ini bercerita mengenai wanita kurang bernasib baik dalam percintaan, Beth Harper, yang mengembara ke Rom untuk menziarahi adik perempuan yang baru berkahwin. Di sana, dia mencuri beberapa syiling daripada kolam air pancut. Selepas itu, beth mula diburu beberapa lelaki pelik yang menagih cintanya.

Bagi penggemar filem aksi, jangan lupa kemunculan Jake Gyllenhaal dalam filem Prince of Persia: The Sands of Time, filem dibuat berdasarkan permainan video dengan nama sama. Diarahkan Mike Newell dan diterbitkan Jerry Bruckheimer, filem ini bakal menggegarkan pawagam mulai 27 Mei.

Filem yang turut dijayakan Ben Kingsley, Alfred Molina dan Gemma Arterton berkisar pada seorang putera yang bergabung tenaga dengan puteri jelita misteri untuk menentang kuasa jahat daripada merampas belati purba yang mampu menjadikan pemiliknya menguasai dunia.

Peminat setia Toy Story pula dapat mengikuti lanjutan kisah sekumpulan mainan dalam edisi ketiganya pada 17 Jun depan. Dibuat dalam bentuk 3D, Toy Story 3 arahan Lee Unkrich menyaksikan Tom Hanks kembali beraksi sebagai Woody, Tim Allen sebagai Buzz Light Year, Joan Cusack sebagai Jessie, Jodi Benson sebagai Barbie dan Michael Keaton sebagai Ken.

Ikuti pengembaraan kumpulan mainan tadi apabila mereka terperangkap di sebuah tadika, setelah berlaku salah faham bersama pemilik mereka, Andy, yang kini bersedia untuk ke kolej.

Nicolas Cage dan Jay Baruchel pula bersatu tenaga dalam filem The Sorcerer's Apprentice, yang mula ditayangkan pada 22 Julai. Diarahkan oleh Jon Turtletaub, filem aksi pengembaraan ini membawa kisah ahli sihir hebat yang hidup pada masa kini di New York. Dia perlu mencari pelatih untuk mewarisi ilmunya. Seorang budak lelaki biasa, langsung tidak menyangka dialah waris Merlin yang ditakdirkan untuk menyelamatkan dunia.

Sebuah lagi animasi, Rapunzel, yang menggunakan suara Mandy Moore akan ditayangkan pada 25 November. Menggunakan khidmat dua pengarah, Byron Howard dan Nathan Greno, filem yang diperkuatkan komposer Alan Menken ini dikategorikan filem penuh aksi, komedi dan muzik.

Kisahnya pula tentulah mengenai seorang gadis dengan rambut sakti sepanjang 70 kaki. Diculik ketika masih bayi, Rapunzel dikurung di sebuah menara rahsia yang tinggi. Dia yang dahagakan kehidupan luar, melarikan diri daripada penjara itu dengan bantuan seorang lelaki.

Akhir sekali, sebuah filem yang juga dihasilkan dalam bentuk 3D, Tron, akan mengaum di pawagam pada 27 Disember tahun depan. Dikategorikan sebagai filem fiksyen sains dan pengembaraan, ia dibintangi Jeff Bridges, Garrett Hedlund, Olivia Wilde, Bruce Boxleitner, James Frain, Beau Garrett dan Michael Sheen.

Pengarah Joseph Kosinski membawa peminat mengembara ke dunia digital yang belum pernah disaksikan di layar lebar. Sam Flynn, anak muda yang pintar teknologi berusaha menjejaki kehilangan bapanya, ditarik masuk ke program yang penuh kekejaman serta permainan ala gladiator, dunia yang didiami bapanya selama 25 tahun.



Carta pecah panggung:

1 - 2012

2 - Pisau Cukur

3 - Phobia 2

4 - Poker King

5 - Jennifer's Body

6 - Michael Jackson's This Is It

7 - Raging Phoenix

8 - Ninja

9 - The Box

10 - The Time Traveler's Wife

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: