Monday, November 9, 2009

TV9 gilap bakat si kecil


ALIF Satar (berdiri empat dari kiri) bersama 10 orang peserta Idola Kecil 2.


KEBELAKANGAN ini, stesen-stesen televisyen saling berlumba untuk menerbitkan rancangan realiti pencarian bakat baru dalam bidang seni terutamanya bidang nyanyian.

Konsep rancangan realiti TV ini kebanyakannya sama, dimana ingin mencari penghibur serba-boleh yang bakal menjadi pelapis kepada artis-artis yang sudah sedia ada.

Kebanyakan rancangan realiti TV ini lebih fokus dan memberi peluang kepada golongan remaja untuk mewarnai industri seni tanah air.

Berbeza dengan rancangan yang diterbitkan oleh TV9 ini, Idola Kecil yang telah menemui musim kedua dan merupakan platform khas bagi si kecil untuk menyinarkan bakat mereka kepada umum.

Idola Kecil 2 yang sudah mula menemui penonton pada 31 Oktober lalu, bersiaran setiap Sabtu pukul 9.30 malam.

Setelah berakhir pencarian bakat si cilik di beberapa lokasi seperti Sri Pentas dan Pulau Pinang, TV9 berjaya menemui 10 orang kanak-kanak berbakat berusia 10 hingga 12 tahun.

Ditaja oleh Dutch Lady, Idola Kecil 2 diacarakan oleh artis remaja, Alif Satar dan juri tetapnya pula ialah Atilia bersama dengan juri jemputan pada setiap minggu.

Antara juri jemputan yang bakal turut sama mengadili Idola Kecil musim kedua ini ialah Zainal Abidin, Salamiah Hassan, Shahrizan Borhan, Misha Omar, Liza Hanim, Jaclyn Victor, Faizal Tahir dan ramai lagi.

Menurut Eksekutif Penjenamaan Kumpulan TV9, Faiz Zainal Abidin, ini merupakan salah satu cara TV9 untuk menarik minat penonton dari kalangan kanak-kanak dalam menerapkan nilai-nilai murni menerusi rancangan yang cuba diketengahkan oleh stesen ini.

"Rancangan ini juga bertujuan untuk memberi peluang kepada kanak-kanak menonjolkan bakat mereka di samping menjadi satu aktiviti bermanfaat sambil bersantai semasa cuti sekolah yang akan tiba.

"Idola kecil 2 dapat melahirkan idola untuk kanak-kanak sebagai panduan untuk berusaha serta tekad dalam mencapai cita-cita.

"Pada masa yang sama, Idola Kecil 2 juga dapat mencungkil bakat-bakat terpendam mereka dalam bidang lakonan dan juga kebolehan mereka dalam bermain alat-alat muzik," ujarnya.

10 orang peserta yang terpilih ialah Syafienaz Shari, 11 tahun; Muhammad Fhazrill Fesol, 11; Khor Bim Sam, 12; Nurul Ain Sollehah Anuwar, 11; Muhammad Azzamuddin Lop Hisham, 12; Naranajihah Yunus, 12; Mohd Farid Mohd Azmi, 12; Nurul Natsha Jaffri, 11; Siti Amirah Dayana Moh Amerullah, 10; dan Zur'Ain Abd Rahim, 12.

Tambah Faiz, Idola Kecil 2 masih seperti rancangan realiti TV yang lain dimana setiap minggu mereka akan membuat persembahan nyanyian berdasarkan tema yang ditetapkan seperti indie rock, balada, retro, lagu kenangan Sudirman dan banyak lagi.

Membezakan Idola Kecil 2 dengan rancangan realiti TV yang lain ialah penilaian dan pemarkahan setiap minggu adalah berdasarkan seratus peratus kepada penilaian juri tetap dan jemputan.

Selain itu, peserta bukan sahaja fokus dalam bidang nyanyian, mereka turut diberi bimbingan dalam bidang tarian dan lakonan supaya dapat melahirkan bakat baru yang versatil.

Sebagai pemantauan, mereka ditempatkan di satu lokasi untuk memudahkan mereka menghadiri kelas-kelas latihan.

Latihan vokal akan diajar oleh cikgu Delly, kelas persembahan tarian pula dibawah bimbingan cikgu Affizal dan cikgu Alfa pula merupakan pengarah muzik sepanjang rancangan itu nanti.

Peserta bukan sahaja didedahkan dengan aktiviti nyanyian dan tarian semata-mata, mereka juga bakal didedahkan dengan aktiviti-aktiviti luar seperti kelas motivasi, aktiviti riadah dan pelbagai aktiviti lain.

Juara Idola Kecil 2 akan mendapat wang tunai berjumlah RM10,000, tempat kedua pula RM5,000 dan RM3,000 bagi pemenang tempat ketiga.

Bagi yang tidak berjaya mereka akan menerima hadiah saguhati RM1,000 setiap seorang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: