Monday, November 9, 2009

Ikon Gadis Melayu mesti bertudung?


Fiqa mampu tersenyum puas apabila usaha kerasnya dalam Gadis Melayu 2 selama ini berbaloi.


PROGRAM televisyen (TV) realiti Gadis Melayu seolah-olah meneruskan kesinambungan musim pertama apabila pertandingan anjuran stesen TV9 itu sekali lagi mengangkat peserta bertudung sebagai juara atau Ikon Gadis Melayu musim keduanya, baru-baru ini.

Fiqa atau Siti Nur Syafiqa Amirul Melvin merupakan juara Ikon Gadis Melayu musim kedua selepas Aida (pemenang musim pertama) yang juga tampil dengan imej bertudung telah diangkat sebagai juara pertandingan tersebut.

Menurut Ketua Pengurusan Penjenamaan Kumpulan TV9, Rozaina Zainul Abidin, bertudung atau tidak bukan menjadi ukuran, sebaliknya juara Ikon Gadis Melayu dipilih berdasarkan 50 peratus pemarkahan para juri, sementara 50 peratus lagi melalui undian khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada para penonton.

"Saya tidak rasa isu bertudung atau tidak menjadi kayu pengukur dalam pertandingan ini. Ini kerana, kalau dari mula semua peserta bertudung dan kemudian ada juaranya yang tidak bertudung, maka mungkin ia akan menjadi persoalan. Dalam isu ini, ia berlaku secara kebetulan," komennya.

Beliau yang ditemui pada sidang media selepas berakhirnya pertandingan akhir Gadis Melayu musim kedua di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, baru-baru ini menjelaskan, pemenang juara program itu sebenarnya ditentukan oleh pelbagai kriteria lain.

Rozaina sebagai contohnya, mengulas kemenangan Fiqa sebagai Ikon Gadis Melayu musim kedua berdasarkan pelbagai pakej yang dimiliki juara terbabit antaranya keyakinan diri, keterampilan imej dan juga atas pilihan panel juri profesional serta undian SMS daripada para penonton.

"Kita dapati malam ini, Fiqa paling menonjol berdasarkan penampilan diri dan corak persembahannya. Beliau berjaya membuatkan lebih separuh daripada penonton di dewan ini menitiskan air mata menyaksikan persembahan sketsa lakonannya.

"Fiqa juga konsisten dalam persembahan dan tugasan-tugasan yang telah diberikan kepadanya dari minggu pertama hinggalah ke final pertandingan ini. Cuma SMS sahaja yang membezakan sedikit Fiqa dan pesaing-pesaingnya.

"Pesaing utama Fiqa ialah Lin yang lebih banyak mendapat markah daripada panel juri, manakala Nadia pula paling menonjol melalui undian SMS. Apa pun, setiap finalis ada kelebihan masing-masing. Ada di antara mereka yang boleh menyanyi, berlakon dan menari," ujarnya.

Bagaimanapun, Rozaina mahupun pihak TV9 enggan mengumumkan kepada wakil-wakil media massa jumlah dan peratusan SMS yang diterima para finalis pada pertandingan yang diacarakan oleh pasangan pelakon suami isteri, Adlin Aman Ramlie dan Emelda Rosmila itu.

Dengan kemenangan meraih gelaran Ikon Gadis Melayu, Fiqa menggondol hadiah wang tunai RM10,000, plak dan hamper barangan kecantikan. Pada masa sama, beliau turut mengungguli kategori Gadis Safi Balqis dengan membawa pulang wang tunai RM3,000.

Hadiah kemenangan Fiqa itu disampaikan oleh Sultanah Kedah, Tuanku Hamina Hamidun sambil diiringi oleh Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaaffar.

Anak sulung daripada lima beradik perempuan ini berkata, biarpun mengungguli program realiti TV itu, namun dia tidak menafikan kehebatan empat finalis lain iaitu Shazfinas Hasim (Finas), Nadia Adrianna (Nadia), Hazlin Hussain (Lin) dan Putri Noor Nawal Ramlan (Putri).

Malah, memegang gelaran Ikon Gadis Melayu buat Fiqa bukan sesuatu yang mudah kerana beliau pada masa sama harus menjaga nama baiknya sesuai dengan gelaran tersebut.

"Saya sedar bahawa ini adalah tanggungjawab yang berat buat saya kerana masyarakat mungkin menjadikan saya idola mereka. Semasa mula-mula ujibakat Gadis Melayu lagi saya sudah bersedia fizikal dan mental. Kemudian saya serahkan dan bertawakal kepada Yang Esa," jelasnya.

Namun, pelajar tahun dua jurusan Sains Mikro Biologi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor, ini bersyukur kerana segala usaha kerasnya sepanjang bertanding dalam program TV realiti itu akhirnya telah membuahkan hasil.

Fiqa juga berpuas hati apabila sketsa lakonannya mengisahkan tentang seorang gadis yang terpaksa berdepan dengan kekejaman abangnya yang menagih dadah, lakonan Fauzi Nawawi, berjaya meruntun hati para penonton.

Sketsa lakonan finalis berusia 20 tahun itu bukan sahaja menyentap hati para penonton tetapi ia juga berjaya membuatkan pelakon Rosyam Nor yang menjadi juri pertandingan itu menitiskan air mata.

"Sebenarnya, saya memang mencari komen-komen yang positif. Saya bersyukur kalau ada penonton yang berasa sebak dengan persembahan itu. Ini bermakna, apa yang saya rancang telah membuahkan hasil kerana mesejnya sampai kepada para penonton. Itu yang paling penting.

Gementar

"Ini juga adalah kali pertama saya berdiri di atas pentas di depan orang ramai. Tidak dinafikan, saya berasa gementar juga tetapi apabila melihatkan ibu saya ada di depan, 'kekuatan' itu datang kembali. Saya cuba buat yang terbaik untuk ibu.

"Saya mengambil masa hampir seminggu untuk mengadakan persiapan termasuklah menghayati watak tersebut. Saya memilih Fauzi Nawawi untuk berlakon dengan saya kerana dia sinonim dan arif dengan watak-watak lelaki yang agresif," katanya.

Apabila diajukan persoalan tentang perancangannya selepas ini, gadis kacukan Melayu, Serani dan Jepun ini berkata, dia mahu menceburi bidang penyiaran biarpun pada masa sama masih melanjutkan pengajiannya di UKM.

"Saya memang minat dalam bidang penyiaran.Kalau diberikan peluang menjadi pengacara di TV9 atau mana-mana stesen TV Media Prima Berhad saya sanggup buat PJJ (Pendidikan Jarak Jauh) atau belajar di luar kampus.

"Kata orang alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lenggan. Saya sanggup berkorban demi mencapai impian itu tetapi pada masa sama saya tidak akan menghentikan pengajian saya di UKM," ujarnya lagi.

Selain Fiqa, seorang lagi finalis Gadis Melayu musim kedua iaitu Finas memenangi kategori Gadis Bijaksana dengan merangkul hadiah wang tunai RM2,000, plak dan hamper barangan kecantikan.

Sementara itu, pesaing rapat Fiqa iaitu Lin tidak tahu bahawa Ikon Gadis Melayu itu bersaing sengit dengannya sehinggalah pada malam kemuncak itu.

"Malam ini baru saya tahu saya adalah pesaing Fiqa. Saya sudah buat yang terbaik tetapi ia bukan rezeki saya. Namun, saya bersyukur kerana berjaya pergi hingga ke final," tuturnya.

Gadis Melayu musim kedua membariskan panel juri yang terdiri daripada Nurfarahin Jamsari, Syafinaz Selamat, Adam Salleh, Izza Safinaz Ibrahim dan Rosyam Nor. Tomok dan Black (Mentor 3) pula tampil sebagai artis undangan dengan mengadakan persembahan selingan pada pertandingan tersebut.

1 comment:

  1. Bapak kepada pemenang ni btul2 dayus lar...x tau ke agama?

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: